MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF PEMENANG-PEMENANG PINGAT SUKAN MALAYSIA KE-20, MSN 2022 KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF PEMENANG-PEMENANG PINGAT SUKAN MALAYSIA KE-20, MSN 2022
KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG
28 NOVEMBER 2022 | 8.45 MALAM
TINGKAT 10, HOTEL ST GILES. WEMBLEY
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, marilah kita semua memberikan satu tepukan gemurah kepada seluruh Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang telah beraksi dengan cemerlang di Sukan Malaysia Ke-20, MSN 2022 pada 16 hingga 24 September 2022 yang lepas.
Well done warriors!
Dengan kejayaan pungutan pingat sebanyak 30 pingat emas, 28 pingat perak dan 42 pingat gangsa mengatasi sasaran pingat yang ditetapkan, pujian harus diberikan kepada semua atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan urusetia yang telah mencurahkan segala kudrat dan komitmen dengan penuh dedikasi dalam meletakkan Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam kedudukan yang cukup membanggakan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang telah saya umumkan pada Majlis Penyerahan Bendera pada 5 September 2022 yang lalu, untuk menghangatkan lagi semangat perjuangan Kontinjen Negeri Pulau Pinang dan tanda komitmen Kerajaan Negeri, insentif galakan kepada pemenang-pemenang pingat di kejohanan SUKMA ini akan diberikan melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.
Justeru, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah sebanyak RM325,100.00 bagi tujuan pemberian insentif kepada para pemenang pingat Kontinjen Negeri Pulau Pinang di SUKMA Ke-20, MSN 2022 pada malam ini. Kadar insentif bagi setiap atlet, jurulatih dan Persatuan Sukan Negeri adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, sukacita saya untuk memaklumkan majlis pada malam ini juga akan turut menyaksikan penyerahan Skim Insentif Kemenangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada dua (2) individu istimewa yang telah mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
Dua (2) atlet yang dimaksudkan ini adalah pemain snuker negara yang berasal dari negeri, iaitu Saudara Moh Keen Hoo dan Saudara Lim Kok Leong yang telah berjaya merangkul gelaran Juara Berpasukan Lelaki Snuker Amatur Dunia pada 9 Oktober 2022 di Kuala Lumpur.
Satu tepukan gemurah kepada dua (2) atlet ini!
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM24,000.00 (RM12,000.00 seorang) kepada kedua-dua atlet ini atas kejayaan yang cukup membanggakan ini.
Adalah diharapkan dengan pemberian insentif-insentif pada malam ini, ianya akan mendorong setiap atlet untuk terus gigih berusaha bagi menaikkan lagi prestasi semasa ke tahap yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Sebelum saya mengakhiri ucapan pada malam ini, izinkan saya untuk merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua Persatuan Sukan Negeri, khususnya pasukan jurulatih dan pengurus pasukan serta ibu bapa yang selama ini menjadi tulang belakang dan sentiasa ada dalam mengukuhkan sistem sokongan kepada para atlet negeri kita.
Tanpa komitmen dari anda semua secara kolektif dan berterusan, kejayaan para atlet yang diraikan pada malam ini pastinya tidak akan tercapai. You are the backbone of our victory!
Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan terima kasih kepada Penang Forward Sports Club, khususnya kepada Encik Tom Khoo selaku Penasihat Kelab ini atas sumbangan dua (2) buah motosikal untuk hadiah bagi slot cabutan bertuah yang turut akan diadakan pada malam ini.
Semoga semua bergembira dan berharap majlis pada malam ini dapat memberikan suatu kenangan indah kepada kita semua.
Sekian, terima kasih.