MAJLIS PECAH TANAH BANGUNAN PENYIMPANAN MAYAT INDIA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

BANGUNAN PENYIMPANAN MAYAT INDIA

 

2 DISEMBER 2022

PADANG TEMBAK, BANDAR AIR ITAM

YB. Prof. Dr. P. Ramasamy A/L Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

Merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang

YB. Tuan Jagdeep Singh Deo

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri & Parlimen

Dato' Ir. Rajendran A/L P Anthony,

Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang

Wakil-Wakil dari NGO dan Kuil Hindu,

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (HEB) yang telah mengatur Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat bagi masyarakat India pada pagi ini.

Sesungguhnya, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif daripada jawatankuasa HEB yang cukup prihatin dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk penyediaan lebih banyak tempat penyimpanan mayat dan tempat upacara yang dikenali sebagai ‘karumakiriyai’ khusus bagi masyarakat berketurunan India di negeri ini.

Sepertimana yang dimaklumkan oleh Profesor Dr. P Ramasamy sebentar tadi, kos pembinaan keseluruhan bangunan di atas tanah dengan keluasan 1873 kaki persegi ini adalah sebanyak RM302,000 dan dijangka siap dalam tempoh dua (2) hingga tiga (3) bulan.

Setakat ini, Pulau Pinang mempunyai sebuah pusat sebegini, dan saya percaya pembinaan Bangunan Penyimpanan Mayat baharu di kawasan Padang Tembak tersebut akan membawa manfaat dan memberikan keselesaan bukan sahaja kepada penduduk tempatan di kawasan ini, malahan juga kepada seluruh masyarakat India di seluruh negeri ini.

Kerajaan Negeri meletakkan keyakinan yang cukup tinggi kepada HEB untuk menguruskan bangunan berkenaan secara efektif, sebagaimana kepercayaan yang telah diberikan selama ini dalam mengendalikan hal-hal berkaitan pemerkasaan komuniti India sejak HEB dibentuk pada tahun 1906.

Menerusi HEB juga, tanah-tanah perkuburan turut telah dipulihkan serta diguna pakai secara lebih tersusun untuk keselesaan masyarakat India. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri komited untuk terus menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta setiap tahun bagi membolehkan HEB melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Profesor Dr. P. Ramasamy dan seluruh jawatankuasa Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang atas komitmen yang diberikan dalam merealisasikan penubuhan Bangunan Penyimpanan Mayat Masyarakat Berketurunan India di sini.

Semoga dengan pengoperasian di lokasi baharu ini, ia dapat mengukuhkan komitmen bersama kita dalam membentuk perpaduan dan keharmonian masyakarat berbilang bangsa di negeri ini, sekaligus membantu merealisasikan Visi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang