MAJLIS TAUTAN KASIH ONE HOPE CHARITY TAHUN 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS TAUTAN KASIH ONE HOPE CHARITY TAHUN 2022
4 Disember 2022
Concept Hall, Auto City, Juru
Yang Berbahagia Dato’ Chua Sui Hau
Pengerusi One Hope Charity & Welfare
Yang Berbahagia Dato’ Seri R. Arunasalam
Penasihat One Hope Charitty & Welfare
Para Jemputan
Wakil-wakil Pertubuhan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) atas jemputan ke Majlis Tautan Kasih One Hope Charity & Welfare Tahun 2022 pada pagi minggu yang berbahagia ini.
Sudah tentunya saya tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta bersama dengan para tetamu yang lain, sebagai tanda sokongan dan galakan berterusan kepada seluruh warga kerja One Hope Charity yang sungguh komited dalam meneruskan gerak kerja yang cukup murni ini.
Sebagaimana yang diucapkan oleh Pengerusi, Dato’ Chua Sui Hau sebentar tadi, ini merupakan program tahunan One Hope Charity dengan objektif utama adalah untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan terutama dalam kalangan B40.
Seramai 5,000 isi rumah yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai di seluruh negeri ini telah dipilih untuk menerima beg makanan bernilai RM150 dan wang tunai sebanyak RM200.
Saya dimaklumkan bahawa jumlah kos yang telah dibelanjakan untuk menjayakan program ini adalah RM2.0 juta, iaitu satu angka yang dikira besar bagi sebuah badan kebajikan.
Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di bahagian KADUN yang cukup prihatin dan telah memberikan kerjasama dengan mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa penduduk dari kawasan masing-masing untuk hadir ke program ini memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pengangkutan atau tinggal di kawasan yang agak jauh dari tempat program.
Sesungguhnya jalinan kerjasama ini adalah sangat penting untuk kita mengukuhkan komitmen masing-masing, selain menjadi cerminan dan ikon kolaborasi di antara Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan kebajikan rakyat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selama 20 tahun berkecimpung dalam kerja-kerja amal ini, gerak kerja yang dipamerkan oleh One Hope Charity adalah cukup baik sekali. Sistem agihan bantuan yang diwujudkan sangat sistematik dan teratur bersesuaian dengan peralihan dan perubahan masa kini.
Perkhidmatan yang diberikan bukan setakat ditumpukan kepada rakyat, tetapi juga disalurkan secara menyeluruh termasuklah dalam meringkan beban sistem perubatan negeri dan negara ketika pandemik COVID-19 yang lalu.
Pelbagai inisiatif telah digerakkan termasuklah menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dan saluran bantuan kepada hospital telah diperluaskan sehingga ke negeri Sabah dan Sarawak.
Saya kira usaha kebajikan yang dijalankan oleh One Hope Charity ini telah membolehkan organisasi ini berhak digelar pertubuhan kebajikan yang terulung di Pulau Pinang dan seluruh negara. Satu tepukan gemuruh kepada One Hope Charity!
Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat bangga dengan kejayaan dan prestasi yang dipamerkan oleh One Hope Charity secara keseluruhannya. Semoga One Hope Charity akan terus mengusahakan kerja kebajikan yang lebih mampan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Sekian, terima kasih.