MAJLIS PENGHARGAAN BIASISWA KECIL NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN

BIASISWA KECIL NEGERI PULAU PINANG

TAHUN 2022

 

15 DISEMBER 2022

THE LIGHT HOTEL

 

 

YB Azrul Mahathir bin Aziz

Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas

Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

Yang Berusaha Encik Mohamad Said bin Ibrahim

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang

Para Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah

Para Pengetua dan Wakil Sekolah

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) yang telah memastikan majlis pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Majlis Penyerahan Cek Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang ini telah pun menjadi acara tahunan bagi Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008.

Pemberian biasiswa ini diberikan tanpa mengira kaum, agama dan yang penting sekali latar belakang politik, selaras dengan Visi Penang2030 yang yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat. 

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita akan terus berusaha untuk memastikan agenda penting ini akan menjadi keutamaan.Justeru, pemberian Biasiswa Kecil ini telah menjadi komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan usaha-usaha penjanaan dan pembangunan modal insan di negeri ini.

Sejak 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM29.5 juta yang mana telah memanfaatkan seramai 14,754 orang pelajar di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Mulai tahun 2021, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan Tabung Biasiswa Kecil Negeri dari RM2.0 juta kepada RM3.0 juta setahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah yang cemerlang dalam pencapaian akademik dan dari keluarga berpendapatan rendah untuk diberikan Biasiswa Kecil Negeri ini.

Manakala pada tahun 2022 ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian biasiswa kepada 1,554 orang pelajar baru dari 121 sekolah di seluruh Negeri Pulau Pinang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,040,670.00 keseluruhannya.

Untuk Daerah Timur Laut sahaja, pemberian biasiswa ini melibatkan seramai 362 orang pelajar dari 34 buah sekolah dengan perbelanjaan sebanyak RM255,150.00.

Manakala bagi Daerah Barat Daya, seramai 231 orang pelajar dari 12 buah sekolah layak menerima biasiswa ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM154,680.00.

Bagi Daerah Seberang Perai Utara, pemberian biasiswa ini melibatkan seramai 369 orang pelajar dari 28 buah sekolah dengan perbelanjaan sebanyak RM240,000.00.

Manakala bagi Daerah Seberang Perai Tengah, seramai 366 orang pelajar dari 30 buah sekolah layak menerima biasiswa ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM247,320.00.

Manakala bagi Daerah Seberang Perai Selatan melibatkan seramai 226 orang pelajar dari 17 buah sekolah dengan perbelanjaan sebanyak RM143,520.00.

Jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM1,040,670.00 telah dibayar melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT) kepada pihak sekolah untuk diserahkan kepada para pelajar, di mana kaedah ini telah ditambah baik berbanding sebelum ini melalui kaedah cek.

Dengan pemberian biasiswa ini, diharap dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa para pelajar terutamanya kepada yang kurang berkemampuan serta memberi motivasi dan perangsang kepada para pelajar dalam meningkatkan lagi mutu pembelajaran sepanjang tempoh persekolahan.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. Semoga bantuan yang diterima ini akan memanfaatkan para pelajar negeri ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang