MAJLIS MAKAN MALAM PDC

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PDC

 

16 DISEMBER 2022 ; 8 MALAM

GRAND BALLROOM, THE TOP

_____________________________________

 

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy 

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

Ahli-ahli EXCO

Ahli-ahli Lembaga, Pengurusan dan anak-anak Syarikat PDC

Para Jemputan

 

Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Makan Malam PDC 2022

Kakitangan-Kakitangan PDC

Tuan-Tuan dan Puan-puan yang dihormati disekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa yang terlibat atas komitmen dalam memastikan kelancaran Majlis Makan Malam PDC 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Masa berlalu pantas. Kita sudah menghampiri minggu-minggu akhir sebelum memasuki tahun baharu 2023. Pada malam ini, secara peribadinya, saya berasa amat terharu dan sukacita kerana berpeluang untuk bersama-sama seluruh warga kerja dan anak-anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meraikan satu lagi pencapaian yang kita capai sebagai sebuah pasukan yang unggul.

Hadirin sekalian, 

Sebagai agensi pembangunan unggul Kerajaan Negeri, PDC bersama-sama dengan rakan strategik pembangunan lain, baik daripada sektor awam mahupun swasta mempunyai tugas serta peranan yang penting dalam memacu dan memangkin pertumbuhan negeri, selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Bergerak dalam sebuah pasukan yang saling memerlukan antara satu sama lain, inilah sebenarnya kunci kekuatan PDC dalam menggalas amanat yang telah dianugerahkan sejak 53 tahun lalu.  

Mengambil kesempatan ini, saya ingin bersama-sama anda sekalian untuk mengimbas kembali pencapaian yang kita ukirkan bersama sepanjang tahun ini.

Umumnya, PDC telah berjaya merekodkan penjualan tanah industri termasuk pajakan jangka panjang seluas 172 ekar dengan nilai jualan RM345 juta sekaligus menjana penerimaan sebanyak RM285 juta kepada PDC pada tahun ini. Ianya melebihi sasaran bajet yang ditetapkan iaitu seluas 50.50 ekar, dengan prestasi tiga kali ganda.

Dalam pada itu, penjualan tanah bukan industri iaitu bagi tujuan pembangunan bercampur, perumahan dan komersial adalah seluas  65  ekar dengan nilai jualan berjumlah RM284 juta yang mana ia telah menjana penerimaan berjumlah RM80 juta. Sumbangan hasil penjualan tanah baru kepada PDC adalah sebanyak 52 peratus daripada keseluruhan. Syabas kepada semua!

Saudara dan saudari sekalian,

Kerajaan Negeri lazimnya optimis dengan kemampuan dan daya juang dinamik PDC untuk kita semua bangkit semula selepas terjejas teruk ekoran impak pandemik COVID-19 yang kini telah beralih ke fasa endemik.

Walaupun tahun 2023 mungkin merupakan tahun yang mencabar kerana pelbagai pihak menjangkakan kemelesetan ekonomi akan berlaku, namun PDC akan terus memantapkan asas-asas sumber pendapatan PDC, terutama dalam sektor baru iaitu:-

  1. solar;
  2. build & lease;
  • pengurusan projek;
  1. pengurusan taman indistri;
  2. pemantapan perniagaan anak-anak syarikat PDC.

Serentak itu, PDC turut menjangkakan bahawa Bandar Cassia iaitu bandar baharu ketiga yang dibangunkan oleh PDC selepas Bandar Bayan Baru dan Bandar Seberang Jaya bakal menjadi destinasi pilihan untuk melabur, berniaga, bekerja, belajar, beriadah, penjagaan kesihatan dan seterusnya penempatan komuniti-komuniti baru di Bandar Cassia.

Berlandaskan pendekatan berkaitan juga, komponen pendidikan akan terus dimantapkan dengan membawa lebih banyak pusat pendidikan dan pembelajaran ke Bandar Cassia seperti sekolah antarabangsa, pusat pendidikan serta latihan kemahiran yang berkaitan dengan perubatan dan lain-lain.

 

Dengan ini, adalah menjadi harapan saya agar PDC terus memainkan peranannya sebagai "game changer" di Pulau Pinang dengan menerajui pembangunan sosio-ekonomi negeri secara menyeluruh meliputi aspek pelaburan, perindustrian, pembangunan tanah, rumah mampu milik dan juga tanggungjawab sosial dalam memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri.

Tumpuan terhadap pembangunan dan kelestarian sosio-ekonomi harus menjadi agenda penting supaya ia dapat memberi impak yang positif dan menyeluruh khususnya rakyat negeri ini, sekaligus menjayakan pembangunan modal insan berdaya tahan khasnya untuk sebuah negeri tanpa sumber semula jadi seperti Pulau Pinang.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, saya berharap seluruh warga kerja PDC dapat terus mengekalkan ikatan kerjasama dan keharmonian dalam organisasi dengan baik. Bulatkan tekad serta iltizam untuk terus memperkasakan komitmen demi memacu kecemerlangan PDC sebuah organisasi yang disegani dunia.

Sekalung penghargaan di atas komitmen dan titik peluh yang dicurahkan sepanjang tahun 2022. Jasa anda adalah tidak ternilai harganya kepada saya dan juga Pulau Pinang. Bersama-sama kita bergerak seiringan demi memantapkan lagi kedudukan PDC ke arah kegemilangan.

Sekali lagi, tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Majlis Makam Malam PDC 2022 serta semua yang terlibat. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Makan Malam PDC 2022.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang