MAJLIS PERASMIAN SEMINAR JENAYAH DAN KEPOLISAN

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

 

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR JENAYAH DAN KEPOLISAN

 

21 DISEMBER 2022 | 1 PETANG

MACALISTER BALLROOM, TINGKAT 5,

HOTEL E&O

__________________________________

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang) dan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah bergabung tenaga menganjurkan seminar mengenai isu-isu kontemporari berkaitan jenayah dan kepolisan yang turut disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur kerana diberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi pada hari ini.  

Perbuatan jenayah, seperti yang kita semua sedia maklum, merupakan isu sosial yang kompleks, namun bagi mengurangkan perbuatan jenayah daripada terus berleluasa, masyarakat harus berusaha untuk memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada perbuatan tersebut dalam kalangan masyarakat kita.

Justeru, saya berharap agar seminar hari ini dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada semua peserta mengenai isu-isu jenayah yang dihadapi masyarakat umum serta global kini.

Para hadirin sekalian,

Sering kali punca perbuatan jenayah dikaitkan dengan pelbagai keadaan melibatkan sama ada faktor sosial, ekonomi, budaya dan situasi kekeluargaan yang tidak kondusif.  Akar umbi punca berlakunya jenayah wajar diperhalusi agar penawar yang mujarab dapat diambil secepat mungkin, dan adalah amat penting untuk kita memahami dahulu punca berlakunya jenayah sebelum mengambil pendekatan dalam pencegahannya.

Faktor signifikan yang harus diberikan perhatian adalah daripada segi ekonomi atau khususnya kemiskinan yang mana ia dipercayai berkait secara langsung dengan kadar jenayah semasa. Kesempitan hidup seseorang adalah tidak dinafikan menjadi salah satu punca yang mana ia mendorong seseorang individu untuk bertindak melakukan jenayah demi survival atau pemikiran rasional yang difikirkannya ketika itu.

Sebagai tambahan, tidak dinafikan juga bahawa faktor persekitaran sosial, terutamanya melibatkan pengabaian dan kekurangan sokongan daripada ahli keluarga serta komuniti; ketidakupayaan untuk mengakses perkhidmatan yang ada, dan pengabaian kebajikan kanak-kanak serta individu turut menyumbang kepada kemungkinan berlakunya perilaku jenayah.

Malah, struktur institusi kekeluargaan turut dilihat menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada tindakan sama. Situasi ini sering kali dipengaruhi oleh struktur keluarga yang tidak berfungsi dengan baik serta ketidakupayaan pasangan ibu bapa membesarkan anak masing-masing yang kadang-kala membawa kepada insiden penderaan serta pengabaian, jenayah kekeluargaan dan keganasan rumah tangga.

Saudara dan saudari sekalian,

Berlandaskan kepada situasi-situasi di atas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan usaha-usaha berkebajikan dalam memastikan seluruh rakyat negeri ini merasai setiap manfaat polisi yang dilaksanakan dari semasa ke semasa khasnya pada aspek pembangunan ekonomi.

Umumnya, peruntukan bagi pembayaran Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) bagi tahun 2021 dari RM8 juta telah dinaikkan kepada RM8.2 juta mulai tahun 2022, dan ia dikekalkan bagi tahun depan bagi membolehkan lebih ramai yang berkelayakan dapat menikmati faedah bantuan berkaitan. Berkongsi statistik, sehingga Oktober 2022, seramai 1,305 penerima bantuan telah mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.

Menerusi program i-Sejahtera yang sangat dekat di hati rakyat Pulau Pinang, ia juga diteruskan pada tahun 2023 dengan bajet berjumlah RM53 juta bagi memastikan warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa mahupun seorang bayi berumur dua (2) tahun dan ke bawah memperoleh sumbangan insentif khas berkaitan.

Malah, golongan rentan (vulnerable groups) termasuk ibu tunggal, wanita daripada kumpulan B40 dan warga emas turut memperoleh perhatian khas daripada Kerajaan Negeri yang mana dalam pelaksanaan ‘Dasar Keterangkuman Gender dan Dasar Keluarga Selamat’ serta program-program pemerkasaan wanita dalam mengurangkan jurang gender akan terus diberikan fokus utama. Sejajar dengan Dasar Keluarga Selamat juga, Pulau Pinang kini mempunyai 234 pegawai ‘First Support Point’ di 53 lokasi bagi menghadapi serta mengendalikan kes keganasan rumah tangga.

Hadirin sekalian,

Tidak dinafikan bahawa isu-isu sebegini yang sering kali dilihat di dalam paparan media menimbulkan perasaan gerun serta kerisauan kepada kita. Namun, di Pulau Pinang, kita bersyukur kerana mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang, indeks jenayah dari bulan Januari hingga November 2022 menunjukkan penurunan di bawah nilai ambang sebanyak 42 peratus iaitu bersamaan 2,385 kes berbanding tempoh sama pada 2021. Syabas dan sekalung penghargaan diucapkan kepada pasukan keselamatan kita.

Walau bagaimanapun, angka tersebut sama sekali tidak boleh membuatkan kita leka, sebaliknya kita perlu meneruskan perjuangan dalam memerangi jenayah demi terus menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat yang lebih selamat untuk semua dan juga anak-anak kita. 

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru serta menggalakkan setiap individu di sini supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam bersama-sama pasukan keselamatan kita mencegah dan menangani kegiatan jenayah di dalam komuniti kita.

Saya yakin dengan usaha kolektif daripada semua pihak, kita akan dapat mengurangkan isu sosial yang kompleks ini dan seterusnya mencapai Visi Penang2030 iaitu ke arah 'Negeri Hijau dan Pintar Berfokuskan Keluarga Inspirasi Negara'.

Dengan kata-kata ini, sekali lagi, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat, dan semoga semua peserta dan para hadirin yang berada di sini dapat memperoleh manfaat menerusi penganjuran yang dibawa khas ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang