UPACARA MENERIMA JAWATAN SEBAGAI AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI  PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA UPACARA MENERIMA JAWATAN SEBAGAI AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TAHUN 2023

 

6 JANUARI  2023

DEWAN BANDARAYA, PULAU PINANG

 

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

 

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berusaha Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-ketua Jabatan

Rakan- rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir bersempena Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 24 orang termasuk empat (4) muka baharu yang akan dilantik secara rasminya dan bakal menerima watikah sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi penggal yang bermula 1 Januari sehingga 31 Ogos 2023.

Saya percaya gabungan muka lama dan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion ini dapat bekerjasama dan membentuk sebuah pasukan yang kukuh bagi memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai perantara di antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan.

Sehubungan itu, saya berharap setiap daripada anda dapat melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi dan tugas masing-masing dengan penuh integriti, cekap, telus dan akauntabiliti, selari dengan aspirasi merakyatkan perkhidmatan awam.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dari sudut geografi, sememangnya Pulau Pinang telah menyediakan kemudahan-kemudahan bagi menjadikan George Town sebagai Bandar Global. Datuk Bandar MBPP sendiri yang juga merupakan Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) telah membawa nama Pulau Pinang dalam forum-forum antarabangsa terutamanya di platform Segitiga Emas Indonesia - Malaysia - Thailand (IMT-GT).

Sejajar dengan ini,  Ahli Majlis-Ahli Majlis yang bakal dilantik ini diseru untuk lebih peka dan sentiasa ke hadapan dalam mencari idea yang inovatif bagi meningkatkan daya saing dan daya huni bandaraya ini.

Bagi memastikan Pulau Pinang terus menerajui pembangunan negara, multi tasking infrastructure perlu tersedia agar ia dapat menyokong kepada tarikan Pelaburan Terus Asing (FDI) ke Pulau Pinang.

Sebagai contoh, bagi Ahli Majlis yang dipilih untuk mengganggotai Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas, aspek multi tasking infrastructure ini perlu diterjemahkan bagi mendapatkan output yang bersesuaian dengan keperluan rakyat.  

Selain daripada itu, pengenalan teknologi-teknologi baru seperti Digital Twin juga perlu diberikan perhatian oleh Ahli Majlis dalam membantu pentadbiran majlis mencapai world class standard.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Bandar dan pasukan atas inisiatif yang telah diambil dalam memperkenalkan penggunaan teknologi baharu yang sekaligus telah menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan tahunan majlis.

Kerajaan Negeri menyambut baik dan akan terus menyokong segala usaha serta gerak kerja yang bermatlamat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, di samping mengekalkan kesejahteraan dan kelestarian negeri ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada  kesemua 24 Ahli Majlis yang telah dipilih dan dilantik untuk menggalas tanggungjawab ini. Semoga dengan pelantikan ini akan menjadi pencetus kepada kesinambungan aspirasi Kerajaan Negeri selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang