MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL LOVEPENANG

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL LOVEPENANG

 

7 JANUARI 2023 7:30 MALAM

PADANG KOTA LAMA

-------------------------------------------------------------


Yang Berhormat Dato’ Ir. Zakiyuddin Bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

 

Yang Berhormat Tuan Yeoh Soon Hin

Pengerusi Jawatankuasa MMK Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

 

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee

Pengerusi Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan

 

Rakan-rakan Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

Salam Sejahtera, Vanakam, 大家好kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir ke penganjuran Karnival LovePENANG, yang mana didatangkan khas kepada anda semua! Mengambil kesempatan pada petang ini, Selamat Tahun Baru 2023 diucapkan kepada semua.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pandemik COVID-19 telah menguji dan menduga kita dengan cara yang tidak pernah kita bayangkan. Ramai yang menerima impak dan tempias daripadanya. Namun, apa yang membuatkan saya berasa terharu adalah semangat perpaduan yang terus terukir pada seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang serta kepercayaan dalam mempertahan serta terus membangunkan Pulau Pinang di persada dunia. Umumnya, nilai kasih sayang yang tersemai dalam setiap diri kita yang bergelar anak Pulau Pinang telah memberikan inspirasi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melancarkan kempen LovePENANG ini. Objektif utama adalah untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat pasca pandemik COVID-19, iaitu selepas kita semua berdepan dengan krisis kesihatan global yang cukup besar dan meninggalkan impak terhadap semua aspek kehidupan dan dirasai oleh setiap lapisan umur di negeri ini.

Sejak pelancaran kempen LovePENANG pada 2 Jun 2022, beberapa aktiviti serta inisiatif telah dilaksanakan iaitu bermula daripada siri jelajah sehinggalah pelancaran laman web dan media sosial LovePENANG bagi mengukuhkan semangat dan kesejahteraan masyarakat kita.

Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan sebuah kerajaan yang senantiasa cakna rakyat, cakna kebajikan, menghargai dan mendengar suara rakyatnya. Karnival LovePENANG pada hari ini merupakan sambutan kepada semangat itu, diwakili oleh elemen-elemen yang menyatukan kita semua di sini iaitu makanan kita; seni, budaya serta warisan kita dan juga rasa cinta terhadap negeri kita.

Hadirin sekalian,

Kini, melangkah ke tahun baharu 2023, kita lebih teguh serta utuh sebagai sebuah pasukan. Inilah masanya untuk kita sama-sama meraikannya demi merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Dari Seberang Perai ke bahagian pulau, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang penuh dengan inspirasi. Banyak kejayaan yang telah kita capai meskipun kita adalah negeri kedua terkecil dari segi keluasan tanah, yang mana kita berjaya menarik pelaburan asing dan tempatan serta mencipta peluang pekerjaan untuk semua.

Oleh itu pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi tumpuan kepada usaha pemulihan sektor-sektor yang terjejas oleh pandemik sejajar dengan Fasa 2 Visi Penang2030 sebagai strategi melengkapkan pelan pemulihan COVID-19 negeri dan mempercepatkan pencapaiannya.

Malah, sebagai antara negeri pembuatan utama dalam negara, iklim pelaburan di Pulau Pinang kekal teguh yang mana asas perindustrian yang kukuh adalah faktor penarik kepada aliran masuk pelaburan berterusan.

Bagi terus memantapkan prestasi tersebut, taman-taman perindustrian baharu sedang dibangunkan antaranya Science Park South, Batu Kawan Industrial Park 3 dan Bandar Cassia Technology Park selain terus menerajui industri ekonomi digital sebagai pemacu baharu ekonomi negeri, iaitu dengan memberi tumpuan kepada teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘big data’, ‘Internet of Things’ (IoT), ‘Integrated Circuit (IC) Design’ dan sebagainya.

Selain beberapa projek infrastruktur yang berjaya direalisasikan pada tahun 2022 seperti Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus), kita juga bangga kerana Pulau Pinang menjadi negeri pertama di wilayah utara yang mempunyai rangkaian 5G dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) merupakan lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai rangkaian 5G.

Bertitik tolak daripada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyusuli dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan projek-projek mega di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) iaitu projek penambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSI), Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar ke Bayan Lepas dan juga Penang Island Link (PIL) 1. Dalam pada itu, kita juga amat berharap Perdana Menteri kita yang merupakan anak Pulau Pinang dapat juga memberikan ‘projek istimewa’ kepada rakyat negeri ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada tahun 2023, kita akan terus komited membangunkan Pulau Pinang secara mampan (sustainable) yang mana akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Di samping itu, kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang adalah sentiasa dijaga melalui dasar-dasar kerajaan yang inklusif dan holistik, yang mana penyediaannya mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), para ahli akademik serta wakil-wakil komuniti setempat.

Serentak itu juga, aspek pembangunan kemahiran tenaga kerja turut diberikan perhatian bagi memastikan perjalanan transformasi perindustrian Pulau Pinang terus kekal kondusif serta mampu merangsang pertumbuhan untuk 50 tahun akan datang. Ini khususnya mentransformasikan Seberang Perai sebagai nadi pembangunan negeri bagi memastikan rakyat dapat merasai dan menikmati kemakmuran pembangunan mampan serta saksama sebagaimana saya tekankan sebelum ini iaitu Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang.

Dalam mendepani aspek pembangunan, program-program kebajikan akan diteruskan demi sejahtera rakyat merangkumi warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa mahupun bayi berumur dua tahun ke bawah khas kepada rakyat Pulau Mutiara ini.

Hadirin sekalian,

Tahun ini juga, kita akan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN). Pasukan saya akan terus komited dan bekerja keras bagi mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri demi kebaikan rakyat dan juga negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. Kami akan terus berusaha demi membangunkan negeri ini dan juga dengan sepenuh hati mendengar suara hati rakyat jelata.  

Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, saya menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus mempertahankan keharmonian yang sedia terjalin dan bersama-sama kita melangkah demi membawa nama negeri ke persada antarabangsa. Terus gegarkan dunia dengan pegangan ‘Penang Leads’ yang menjadi kemegahan kita bersama dan juga intipati LovePENANG disemat sebagai rencah yang menyatupadukan rakyat Pulau Pinang dengan keazaman dan semangat perpaduan yang tinggi dalam menempuh apa jua cabaran pada masa hadapan demi membentuk masa depan Pulau Pinang yang lebih baik, gemilang serta terbilang.


Semoga terhibur di Karnival LovePENANG. Rasai keenakan sajian kita, hayati seni budaya dan warisan kita dan enjoy persembahan yang dibawa khas ini untuk anda semua. Kita cintai Pulau Pinang, LovePENANG!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang