MAJLIS PELANCARAN KEMPEN HARI TANPA TUNAI BAGI JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN HARI TANPA TUNAI BAGI JABATAN DAN AGENSI

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

 

10 JANUARI 2023

RUANG KONKOS, TINGKAT 3, KOMTAR

 

 

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa

YB Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Dato' Mohd Zakuan bin Haji Zakaria

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Yang Berbahagia Dato' Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

 

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berbahagia Dato' Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Encik Firdaus Ghani

Pengarah Syarikat Paynet Sdn Bhd

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan & Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi Dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas penganjuran Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai, khusus bagi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan kolaborasi daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) atas jalinan kerjasama ini, sebagai usaha sama dan komitmen berterusan bagi meningkatkan kesedaran tentang e-pembayaran kepada jabatan dan agensi pemungut hasil Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah transformasi digitalisasi penyampaian perkhidmatan awam.

Bersesuaian dengan tema 4P ‘Partnership’ iaitu Public, Private, Professional Partnership, Kerajaan Negeri mengorak langkah dengan kerjasama pihak institusi-institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank bagi memastikan Pulau Pinang berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan matlamat menjadi Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa menjelang tahun 2030 melalui penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PROJEK PERINTIS

Inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang telah pun bermula pada April 2020 di Pasar Awam Taman Tun Sardon yang telah dipilih menjadi projek perintis pasar awam pertama menjalankan transaksi perniagaan tanpa tunai, sebagai langkah untuk mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di pasar-pasar awam akibat penularan wabak COVID-19 ketika itu.

Berikutan kejayaan projek perintis itu, Kerajaan Negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank seperti Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Ambank, Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave dan Paynet untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang.

Sehubungan itu, berdasarkan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut, satu dasar untuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2020.

Hasil daripada pelaksanaan dasar tersebut, keseluruhan 23 jabatan pemungut hasil di negeri Pulau Pinang telah menggunakan perkhidmatan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu medium kutipan hasil.

Hadirin yang dihormati sekalian,

SASARAN INISIATIF DI AGENSI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Bermula 1 Januari 2022 hingga 30 November 2022, kesemua jabatan dan agensi pemungut hasil Kerajaan Negeri telah berjaya memungut sebanyak 2,110,566 bilangan transaksi iaitu 71.99 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhan, manakala nilai kutipan hasil yang diperolehi sepanjang tahun 2022 pula adalah sebanyak RM620,157,685.04 iaitu 50.16 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 100% pembayaran secara tanpa tunai akan dapat dicapai menjelang tahun 2030. Bagi meneruskan agenda transformasi digital di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai pada masa terdekat khususnya di tempat-tempat seperti berikut:

  1. Tempat pelancongan utama di sekitar Pulau Pinang, contohnya Bukit Bendera dan Batu Feringghi; 
  2. Perniagaan penjaja gerai PBT, peniaga peruncit, dan kompleks beli belah;
  1. Kafeteria, kedai dan pasar mini yang beroperasi di dalam syarikat multinasional di Zon Perindustrian Bayan Lepas dan Bayan Baru; dan
  2. Perniagaan di dalam dan sekitar kawasan KOMTAR.

Pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran ini juga akan dapat meningkatkan hasil kutipan Kerajaan Negeri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. Selain itu, usaha ini juga merupakan kaedah yang terbaik untuk menarik minat pelabur asing untuk melabur di Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri turut mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna dan peniaga untuk sama-sama menyokong inisiatif pembayaran tanpa tunai ini dan seterusnya meningkatkan daya saing untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri pintar.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Digital Penang Corporation yang akan turut membantu mempromosikan proses pendigitalan ekonomi negeri ini kepada peniaga dan rakyat melalui pendekatan yang mesra pengguna untuk meyakinkan mereka bagi mengunapakai kaedah tanpa tunai dalam sebarang transaksi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PELAKSANAAN KEMPEN HARI TANPA TUNAI BAGI JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN NEGERI

Sehubungan itu, bagi menyokong hasrat tersebut Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan Kempen Hari Tanpa Tunai bagi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan dilaksanakan selama tiga (3) bulan pada setiap Hari Jumaat bermula pada 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.

Orang awam yang hendak melakukan sebarang pembayaran di kaunter-kaunter pejabat kerajaan pada setiap hari Jumaat hendaklah membuat pembayaran secara kaedah e-pembayaran yang disediakan seperti e-wallet, QR Code, online banking atau terminal kad debit/kredit. Selain itu, orang awam juga boleh membuat pembayaran di smart kiosk dan secara atas talian melalui portal kerajaan seperti portal e-Bayar, Aspire, MBSPPay, Cyber Counter dan lain-lain.

Sukacita juga diumumkan bahawa pihak PayNet akan membiayai sebanyak RM500,000.00 bagi tujuan promosi dan hadiah wang tunai sempena pertandingan bagi Kempen Hari Tanpa Tunai tersebut.  Untuk makluman semua juga, sebanyak RM300,000.00 akan diperuntukkan sebagai hadiah wang tunai kepada jabatan pemenang yang dibahagikan kepada tiga (3) kategori kumpulan seperti berikut:     

    1. Kategori A: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2021 melebihi 30,000 transaksi.
    1. Kategori B: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2021 antara 1,000 hingga 30,000 transaksi; dan
    1. Kategori C: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2021 tidak kurang daripada 1,000 transaksi.

Malah, sebanyak 23 jabatan dan agensi layak bertanding bagi meraih hadiah lumayan wang tunai ditawarkan. Pemilihan pemenang bagi setiap kategori akan dipilih berdasarkan rekod bilangan transaksi tertinggi melalui platform e-pembayaran yang diperoleh oleh jabatan dan agensi kerajaan masing-masing.

Dalam pada itu, jumlah hadiah wang tunai lumayan yang ditawarkan kepada jabatan yang berjaya memperoleh rekod bilangan transaksi tertinggi melalui platform e-pembayaran adalah antara RM10,000.00 hingga RM70,000.

Sehubungan itu, diharapkan semua jabatan dan agensi dapat mempromosikan dan menjayakan kempen penggunaan perkhidmatan e-pembayaran di jabatan masing-masing untuk meraih hadiah-hadiah wang tunai tersebut.

Inilah antara komitmen Kerajaan untuk terus mara ke hadapan dalam usaha pembaharuan digital dan pintar seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri, selari dengan matlamat Visi Penang2030. Semoga inisiatif mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada rakyat negeri ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan ini merasmikan Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang