MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK KEPADA SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN (SMJK), SEKOLAH MUBALIGH DAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK

KEPADA SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN (SMJK),

SEKOLAH MUBALIGH DAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA

TAHUN 2023

 

7 FEBRUARI 2023 (3:00 PETANG)

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­--------------------------------------------------------------------------

 

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

 

YB Soon Lip Chee

Exco Belia dan Sukan

 

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

 

YB Daniel Gooi

ADUN Pengkalan Kota

 

YB H'ng Mooi Lye

ADUN Jawi

 

YB Joseph Ng Soon Siang

ADUN Air Itam

 

YB Kumaresan a/l Arumugam

ADUN Batu Uban

 

YB Satees a/l Muniandy

ADUN Bukit Bagan Dalam

 

Tuan Wong Hon Wai

Naib Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

 

Ahli-Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Para Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah dan Pihak Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Para Pengetua

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke acara tahunan yang sentiasa dinantikan ini, iaitu Majlis Penyerahan Replika Cek Kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian Tahun 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh di bawah kepimpinan YB Chong Eng yang telah menyempurnakan tugasan tahunan ini dengan jayanya.

Saya faham ini bukan sesuatu yang mudah untuk meneliti dan menilai kesemua 243 permohonan yang dibuat oleh 12 buah SMJK, 16 buah Sekolah Mubaligh, 5 buah Sekolah Menengah Cina Persendirian serta 85 buah SJKC, dalam tempoh hanya dua (2) hari sahaja.

Syabas dan tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang kita selalu tegaskan,peruntukan ini hanyalah berupa peruntukan tambahan daripada peruntukan utama yang sudah tentunya daripada Kerajaan Persekutuan.

Kita sedar bahawa kebanyakan bangunan seperti Sekolah Mubaligh ini ada yang telahpun melebihi usia 100 tahun, di mana bangunan-bangunan sekolah ada yang sudah usang dan kemudahan-kemudahan sekolah seperti meja dan kerusi, peralatan dalam makmal sains, kantin, bilik guru dan tandas juga berada dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan.

Justeru, Kerajaan Negeri berharap pemberian peruntukan yang telah disalurkan sejak tahun 2009 ini telah membantu pihak sekolah untuk memanfaatkannya secara optimum, kerana peruntukan yang ditetapkan ini sudah tentunya telah dinilai sebaiknya oleh jawatankuasa mengikut keutamaan dan keperluan semasa.

Meskipun jumlahnya mungkin tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh pihak sekolah mahupun Pihak Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada tahun 2023 ini, peruntukan sebanyak RM4.096 juta akan disalurkan kepada sekolah-sekolah yang terlibat, ia merangkumi RM1.230 juta kepada 12 buah SMJK, RM866,000 kepada 16 buah Sekolah Mubaligh dan RM2.0 juta kepada 5 buah Sekolah Menengah Cina Persendirian di seluruh Pulau Pinang.

Inilah komitmen oleh Kerajaan Negeri untuk memberikan sedikit keselesaan dari aspek prasarana kepada para guru dan pelajar terutamanya bagi menikmati suasana Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang lebih kondusif.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri memahami segala kesukaran dan kesulitan yang dihadapi oleh Lembaga Pengelora Sekolah atau PIBG dalam memperolehi sokongan kewangan daripada orang awam.

Sehubungan itu, saya menyeru agar Kerajaan Perpaduan memandang serius isu ini dan memberi pertimbangan sewajarnya akan pembangunan Sekolah Mubaligh, bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan seluruh negara.

Inisiatif memperuntukkan dana pembangunan secara konsisten dan sistematik kepada Sekolah Mubaligh mengikut keperluan harus dilaksanakan dengan secepat mungkinnya.

Kita bersedia untuk memperkasakan sebuah jalinan kerjasama yang lebih baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi memastikan sistem pengajaran serta pembelajaran di semua sekolah berjalan lancar, sekaligus melahirkan lebih ramai modal insan kelas pertama yang berpotensi dan bermutu tinggi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang