MAJLIS PERASMIAN PROJEK UBAH SUAI WISMA YOUNG MUSLIM SPORT CLUB (YMSC)
UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK UBAH SUAI
WISMA YOUNG MUSLIM SPORT CLUB (YMSC)
10 FEBRUARI 2023
YOUNG MUSLIM SPORTS CLUB
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden, Tuan Haji Munawer Sadiq dan seluruh pasukan Young Muslim Sport Club (YMSC) atas jemputan bersempena Majlis Perasmian Projek Ubah Suai Wisma YMSC pada petang yang penuh bermakna ini.
Dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM160,000 di mana Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM100,000 bagi tujuan ini, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan telah mengambil masa selama empat (4) bulan dan telah disiapkan sepenuhnya pada penghujung bulan Januari baru-baru ini.
Saya pasti dengan siapnya bangunan baharu ini, ia mampu memberikan suntikan baharu kepada YMSC untuk lebih produktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan yang telah dilaksanakan kepada komuniti di negeri ini.
Kita amat gembira dengan pencapaian ini, dan saya percaya sudah pastinya YMSC sedang merangka pelbagai program dan gerak kerja yang bermanfaat, tambah-tambah lagi menjelang ketibaan bulan ramadhan tidak lama lagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang saya selalu tegaskan, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen dan tanggungjawab yang dimainkan oleh anda semua sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentsa menjadikan kebajikan sosial masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing.
Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kerajaan Negeri berharap usaha sama yang sudah terjalin sejak sekian lama ini akan terus diperkukuhkan demi kebaikan komuniti dan negeri yang dicintai ini.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Turut tidak dilupakan kepada pihak kontraktor yang sangat efisien dalam memastikan kerja-kerja ubah suai ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Sekian, terima kasih.