MAJLIS PERASMIAN TABIKA PERPADUAN TAMAN MEWAH

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB CHOW KON YEOW

MAJLIS PERASMIAN TABIKA PERPADUAN TAMAN MEWAH DAERAH SEBERANG PERAI UTARA

18 FEBRUARI 2023 (SABTU)

PERKARANGAN TABIKA PERPADUAN TAMAN MEWAH

 

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah mengaturkan Majlis Perasmian Tabika Perpaduan Taman Mewah pada petang ini dengan jayanya.

Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah atas penubuhan Tabika Perpaduan Taman Mewah yang telah mula beroperasi sejak tahun lepas. Bangunan di mana Tabika ini sedang beroperasi merupakan bekas tapak surau milik MAINPP yang terbengkalai. Di sini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP kerana membenarkan bangunan milik mereka digunakan untuk manfaat anak-anak kecil kita di kawasan Taman Mewah ini.

Para hadirin sekalian,

Anak-anak merupakan aset negara paling bernilai yang diharapkan dapat menjadi generasi pelapis untuk memimpin negara. Pepatah Melayu mengatakan “jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pepatah ini bertepatan dengan anak-anak di Tabika. Merekalah “rebung” yang mudah dilentur dan dibentuk. Mereka jugalah “kain putih” yang mudah diwarna dan dicorakkan.

Sehubungan itu, pendidikan Pra-Sekolah merupakan salah satu aspek penting kepada para pelajar yang akan melangkah masuk ke sekolah rendah di negara kita. Walau bagaimanapun, kos pendidikan Pra-Sekolah ini telah menjadi bebanan kewangan kepada ramai para ibu bapa berpendapatan rendah disebabkan oleh yuran Tadika Swasta yang agak mahal dan bukan semua ibu bapa mampu membayar yuran yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke Tadika Swasta.

Apabila kanak-kanak terlepas pendidikan pada peringkat Pra-Sekolah ini akibat daripada bebanan kewangan, maka mereka mula mengalami kesukaran setelah memasuki pendidikan rendah dan keadaan ini akan membuatkan kanak-kanak sedemikian tercicir dalam pendidikan mereka.

Para hadirin sekalian,

Kerajaan sedar betapa pentingnya untuk menyediakan pendidikan awal yang baik dan berkualiti kepada kanak-kanak sebagai asas kepada pembangunan insan yang mampu melahirkan generasi pelapis berminda kelas pertama. Kerajaan amat prihatin bahawa kejayaan masa depan kanak-kanak bergantung kepada persediaan yang diterimanya semasa kecil. Oleh yang demikian, saya berharap semua Jabatan Persekutuan dan Negeri akan berganding bahu untuk terus berusaha menubuhkan lebih banyak institusi pra-sekolah di negeri ini yang menawarkan yuran secara percuma.

Saya dimaklumkan bahawa Tabika Perpaduan Taman Mewah ini adalah hasil usaha selama tiga tahun oleh pelbagai pihak khususnya Pejabat ADUN Bagan Dalam, Pejabat Perpaduan Daerah SPU, Pejabat Daerah dan Tanah SPU dan MPKK Heng Choon Thian di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk menubuhkan Tabika Perpaduan ini dan pihak Pejabat Perpaduan telah menyediakan tenaga pengajar serta menguruskan operasi tabika ini.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pejabat Daerah yang telah melaksanakan semua kerja-kerja pengubahsuaian berasaskan spesifikasi Pejabat Perpaduan dan kepada MPKK Heng Choon Thian yang membantu memantau operasi Tabika Perpaduan ini. Tahniah kepada semua!

Akhir sekali, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penubuhan Tabika Perpaduan Taman Mewah ini dan tahniah kepada seluruh ahli jawatankuasa majlis yang telah bekerja keras untuk memastikan majlis ini dapat berjalan dengan lancar. Saya dengan ini merasmikan Tabika Perpaduan Taman Mewah, Butterworth.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang