MAJLIS MAKAN MALAM INAIVOM UYARVOM SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-70 SJKT SUBRAMANIYA BARATHEE

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA MAJLIS MAKAN MALAM INAIVOM UYARVOM SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-70 SJKT SUBRAMANIYA BARATHEE

 

25 FEBRUARI 2023 | 7 MALAM |

SUNSHINE BANKUET HALL, BAYAN BARU

--------------------------------------------------------

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Puan Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Pendidikan

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Puan Mageswary a/p Kunjappa

Guru Besar SJKT Subramaniya Barathee

Encik Govindasamy @ Suresh Jayabalan

Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJKT Subramaniya Barathee

Dr. Venugopal Balakrishnan

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

SJKT Subramaniya Barathee

Encik Veerayah Gopal

Pengerusi Pertubuhan Bekas Pelajar SJKT Subramaniya Barathee

Bekas Guru Besar-Guru Besar SJKT Subramaniya Barathee

Guru-guru Besar Sekolah Tamil negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan media

Tuan- tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan Majlis Makan Malam Inaivom Uyarvom bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniya Barathee dapat diadakan dengan jayanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada sekitar tahun 1949, sekumpulan pemimpin berketurunan Tamil telah bergabung lalu menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan sebagai Persatuan Pendidikan Tamil Pulau Pinang dengan matlamat untuk memartabatkan pembangunan pendidikan Tamil di negeri ini.

Dalam mencapai usaha tersebut, persatuan berkaitan telah bergerak aktif dengan pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan beberapa buah sekolah Tamil, termasuk SJKT Subramaniya Barathee yang bertapak di Ladang Brown, Gelugor ini.

Bermula dengan hanya sebagai sebuah institusi kecil di bawah seliaan pentadbiran Kuil Sri Veerama Kaliamman Devasthanam, SJKT Subramaniya Barathee hanya mempunyai beberapa buah bilik darjah dan guru besar pertama pada masa itu ialah Encik M. K. Subramaniam yang mana beliau telah menjadi insan yang sangat penting dalam membentuk visi serta misi sekolah ini.

Masa berlalu dengan cepat, kini SJKT Subramaniya Barathee boleh berbangga dengan segala pencapaian dan kemajuan yang diperoleh pada hari ini. Selama lebih 70 tahun dan menjadi antara sekolah Tamil tertua dalam kalangan 28 buah sekolah Tamil di negeri ini, SJKT Subramaniya Barathee telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik para pelajar selama ini.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Sejak berpindah ke tapak baharu yang sedang digunakan kini iaitu pada sekitar tahun 2014, statistik kemasukan murid telah menunjukkan peningkatan ketara iaitu pada tahun 2015 membabitkan seramai 208 murid dan angka berkaitan telah meningkat kepada 340 pelajar pada tahun 2023.

Situasi berkenaan telah menyebabkan ketidakcukupan bilik darjah dan fasiliti bagi menampung peningkatan bilangan murid tersebut. Meskipun pihak pengelola sekolah telah menambah beberapa bilik darjah sementara untuk kegunaan pelajar, akan tetapi ia masih tidak mencukupi sehingga terpaksa menggunakan bilik perpustakaan, makmal sains serta pusat sumber sebagai bilik darjah sementara.

Hal ini telah membawa satu lagi masalah baharu iaitu menyebabkan kekurangan bilik-bilik khas yang lain seperti bilik seni, bilik teknologi maklumat (ICT), bilik muzik dan infrastruktur lain yang secara tidak langsung telah menyukarkan proses pembelajaran para pelajar.

Dengan ini, Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha daripada pihak sekolah yang menganjurkan majlis makan malam amal ini sebagai salah satu inisiatif bagi mengumpul dana untuk penyediaan infrastruktur serta prasarana yang lebih baik dan berkualiti demi memantapkan lagi proses pembelajaran.

Sehubungan itu, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan sukacitanya mengumumkan saluran peruntukan berjumlah RM100,000 sebagai sumbangan bagi melaksanakan projek pembinaan blok bangunan empat (4) tingkat yang dilengkapi dengan infrastruktur diperlukan seperti bilik ICT, makmal sains, bilik seni dan bilik-bilik darjah.

Saya berharap sumbangan ini akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya demi keperluan barisan pelajar khasnya yang merupakan modal insan kepada pembangunan negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

Dengan ini, saya merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-70 SJKT Subramaniya Barathee.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang