MAJLIS MENANDATANGANI PROJECT DEVELOPMENT AGREEMENT (PDA) UNTUK PELAKSANAAN PROJEK PENANG SOUTH ISLANDS (PULAU A)
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI
PROJECT DEVELOPMENT AGREEMENT (PDA) UNTUK PELAKSANAAN PROJEK PENANG SOUTH ISLANDS (PULAU A)
6 MAC 2023
DEWAN SRI PINANG
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyudin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I
(Merangkap Pengerusi Penang Infrastructure Corporation Project Development Sdn. Bhd.)
YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
(Merangkap Ahli Lembaga Pengarah Penang Infrastructure Corporation Project Development Sdn. Bhd.)
YB Dato’ Norazmi bin Mohd. Narawi
Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan bin Darus
Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd.
Yang Berusaha Encik Szeto Wai Long
Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd.
Yang Berusaha Encik Azmi bin Mohamad
Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd.
Ketua-Ketua Jabatan
Para Jemputan
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Saya mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Menandatangani Project Development Agreement (PDA) untuk pelaksanaan projek Penang South Islands (PSI) Pulau A di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Silicon Island Development Sdn. Bhd. pada petang yang berbahagia ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sesi menandatangani Project Development Agreement (PDA) ini adalah satu agenda penting yang akan membawa kita selangkah ke hadapan dalam membangunkan PSI untuk menjamin pertumbuhan ekonomi negeri kita.
Walaupun Pulau Pinang mempunyai hab perindustrian yang unggul dan persekitaran perniagaan yang kompetitif, ia terus menghadapi cabaran terutamanya dari segi kekurangan tanah di lokasi strategik untuk pembangunan lestari. Oleh yang demikian, projek PSI ini merupakan projek Kerajaan Negeri yang dilihat sebagai projek Transformasi Ekonomi Pulau Pinang untuk mewujudkan hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang mantap. Dengan 4,500 ekar tanah baharu, Kerajaan Negeri dapat menyediakan rumah mampu milik berkualiti di lokasi strategik yang dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan seperti LRT, trem dan lebuh raya. Pelan induk komprehensif ini boleh menarik minat pelabur asing dan terus meningkatkan kedinamikan Pulau Pinang. PSI yang akan ditambak ini akan menjadi milik Kerajaan Negeri dan dapat membantu menangani masalah kekurangan tanah dan seterusnya melestarikan lagi hab perindustrian Pulau Pinang yang telah mencipta sejarah lebih 50 tahun. Hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi melaksanakan projek tambakan PSI, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pada tahun 2021 bahawa penambakan dan pembangunan Pulau A akan dilaksanakan secara usaha sama atau joint venture.
Syarikat usaha sama ini adalah sebuah “public-private partnership” yang melibatkan SRS Consortium dengan wakil Kerajaan Negeri iaitu syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) iaitu Penang Infrastructure Corporation (PIC) dengan pegangan perkongsian masing-masing pada 70 peratus dan 30 peratus.
Di bawah perjanjian ini, Kerajaan Negeri memberi kebenaran kepada syarikat usaha sama ini iaitu Silicon Island Development Sdn. Bhd. untuk membangunkan Pulau A termasuk mendapatkan kelulusan merancang, menyediakan infrastruktur awam (common infrastructure) dengan ciri bandar raya pintar termasuk Lebuhraya Pan Island Link 2a (PIL 2a) serta menjalankan aktiviti pemasaran untuk menarik pelabur dari industri berteknologi tinggi dan penjualan tanah.
Untuk memastikan kerja penambakan dan pembangunan berjalan dengan lancar dan mengikut jadual, SRS akan membiayai semua modal ekuiti dan menguruskan pinjaman yang diperlukan untuk menunaikan segala kewajipannya dalam pembangunan projek.
Selaku pemilik projek, Kerajaan Negeri pula akan memainkan peranan untuk memastikan tanah Pulau A yang seluas 2,300 ekar dibangunkan mengikut objektif yang ditetapkan demi masa depan yang lebih cerah untuk Pulau Pinang dan rakyatnya.
Hadiran sekalian,
Saya ingin menegaskan sekali lagi betapa pentingnya pembangunan PSI kepada Pulau Pinang. Projek ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 untuk membangunkan sebuah negeri Pulau Pinang yang pintar dan hijau berteraskan keluarga yang dapat memberi inspirasi kepada negara selain membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat negeri.
Seperti yang kita sedia maklum, salah satu tema di bawah Visi Penang2030 adalah menaik taraf ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Ini melibatkan usaha memajukan ketersediaan industri pembuatan tempatan untuk era digital dan ekonomi hijau.
Satu lagi tema adalah melabur dalam persekitaran terbina bagi menambah baik daya pemulihan yang melibatkan usaha mengimbangi pembangunan melalui perancangan ruang yang berkesan.
PSI memainkan peranan secara langsung dalam dua (2) aspek ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam merancang pembangunan sektor pembuatan Pulau Pinang, khususnya pembuatan Elektrikal dan Elektronik (E & E), untuk jangka masa panjang.
Kita bercadang untuk membangunkan sebuah bandar pintar hijau yang memenuhi prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG – Environmental, Social & Governance) di Pulau A yang termasuk sebuah taman perindustrian berteknologi tinggi iaitu Green Tech Park, dan GBS Belt yang menyediakan perkhidmatan perniagaan global kepada hab pembuatan di Pulau Pinang dan wilayah utara.
Sebagai sebuah destinasi pelaburan antarabangsa yang terkenal sebagai pengeluar semikonduktor untuk pasaran dunia, Pulau Pinang perlu sentiasa mengembangkan sektor industrinya untuk ekonomi Negara dalam sektor pembuatan Elektrikal dan Elektronik (E & E).
PSI dijangka akan membawa kesan penggandaan ekonomi sebanyak 3.62 kali untuk setiap RM1 yang dilaburkan dalam projek, dan menyumbang:
- Impak keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion;
- Jumlah hasil kerajaan sebanyak RM226.5 bilion (dengan purata hasil tahunan RM7.8 bilion selepas pemberian insentif sebanyak RM55 bilion); dan
- 460,000 pekerjaan dalam pelbagai sektor yang akan menarik bakat baru dari luar negara dan mengekalkan bakat tempatan untuk membasmi “brain drain”.
(sumber kajian Deloitte tahun 2021)
PSI juga akan memberi kita satu peluang yang baik untuk membangunkan satu bandar baru pintar yang rendah karbon dan mempunyai reka bentuk mesra alam serta berdaya tahan untuk menghadapi perubahan iklim.
Maka, Kerajaan Negeri dan barisan pemimpin yang ada, termasuk saya sendiri, meletakkan harapan dan impian untuk membina sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera dalam pembangunan ini.
Walaupun kita mungkin tidak dapat melihat PSI selesai dibangunkan sehingga Pulau C, kita berharap impian kita pada hari ini akan memberi manfaat yang besar dan bermakna kepada generasi pelapis kita yang akan datang.
Dengan ini, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua agensi terlibat yang sentiasa sedia berkhidmat dan menjalankan amanah untuk memuktamadkan Project Development Agreement (PDA) ini. Semoga dengan termeterainya perjanjian ini, perjalanan kita yang seterusnya akan lancar.
Saya juga mendoakan agar keputusan Jabatan Alam Sekitar yang sedang meneliti Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) PSI akan memihak kepada kita untuk membolehkan Pulau Pinang dapat memulakan projek ini secepat mungkin.
Sekian, terima kasih.