MAJLIS SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA 2023 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN

HARI WANITA SEDUNIA 2023

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

MIDTOWN PERDA, KUBANG MENERONG

11 MAC 2023

YB Dato' Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan isteri, Ybhg. Datin Teoh Hooi Tuang      

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri, dan isteri Ybhg. Datin Zuraida binti Dahar   

YB Puan Chong Eng

EXCO Pembangunan Sosial & Hal Ehwal Bukan Islam

 

YB Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan dan isteri, Ybhg. Datin Wan Zuraida Amiruddin  

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YBrs Puan Ong Bee Leng

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

Ketua-Ketua Jabatan & Agensi

Para Penaja & Rakan Strategik

Para Peserta Haria! Mega Zumba

Rakan-rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan Puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Selamat Hari Wanita kepada semua.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) yang telah menjadi penggerak dalam menjayakan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya juga teruja untuk bersama dengan lautan peserta Haria! Mega Zumba yang cukup bersemangat untuk melaksanakan misi bagi mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk kategori “Penyertaan Terbesar Dalam  Acara Zumba”.

 

Berikan satu tepukan gemuruh untuk semua!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tahun ini kita semua diberi peluang dan kesempatan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang kali ke-11 ini dengan skala yang lebih besar, lebih meriah dan lebih mega sebagai satu solidariti bagi meraikan pencapaian wanita di negeri ini secara khususnya.

Dan sebagaimana yang sering saya nyatakan, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dalam pelbagai aspek, baik dari segi kemudahan serta dasar yang holistik sebagai strategi bagi memastikan golongan istimewa ini terus dilindungi, dibimbing dan disayangi oleh semua.

Tidak kiralah sama ada kanak-kanak perempuan, gadis remaja, golongan isteri dan ibu tunggal termasuk warga emas. Anda semua penting dan bermakna demi pembangunan keluarga dan negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk memberi akses sama rata kepada semua di mana saya ingin tegaskan di sini, usaha ini bukanlah satu keperluan semata-mata, tapi merupakan satu usaha yang betul serta menepati matlamat kelima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu mencapai kesaksamaan gender.

Maka, Kerajaan Negeri sentiasa progresif dalam memastikan usaha merapatkan jurang gender antara lelaki dan wanita terus dilaksanakan dengan berkesan.  Pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender (DKG) yang diperkenalkan sejak tahun 2019 adalah bukti dan komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan kesamarataan untuk lelaki dan wanita, mengikut keperluan masing-masing. 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi tahun 2023 pula, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan terus memberi fokus dalam pelaksanaan “Dasar Keterangkuman Gender dan Dasar Keluarga Selamat” serta program-program pemerkasaan wanita dalam mengurangkan jurang gender.

Setakat Disember 2022, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di kesemua 40 KADUN telah berjaya melaksanakan sejumlah 605 projek yang berfokus kepada ekonomi, hal ehwal keluarga dan hak-hak kemanusiaan selaras dengan Visi Penang2030 di peringkat komuniti masing-masing.

Sesungguhnya, penganjuran program sedemikian bukan sahaja menepati aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, malah turut menjadi platform untuk menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada di samping membuka peluang kepada kita semua tentang pengorbanan dan kejayaan seorang wanita – individu hebat di sebalik kejayaan seorang suami dan sebuah keluarga!

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Chong Eng, barisan EXCO saya, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, para penjawat awam, serta pasukan PWDC yang diterajui oleh Puan Ong Bee Leng yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan sambutan Hari Wanita tahun ini.

 

Terima kasih juga buat semua rakan kerjasama dan penaja-penaja yang menyumbang ke arah kejayaan sambutan tahun ini.

 

Saya percaya PWDC akan terus melebarkan sayapnya dalam memajukan agenda wanita dan keterangkuman gender untuk terus memperkasakan masyarakat melalui inisiatif-inisiatif pembangunan yang dirancang demi manfaat rakyat di Pulau Pinang.

Dengan tema pada tahun ini iaitu “Merangkul Kesamarataan”, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang