KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW MENGENAI PROJEK TAMBAKAN LAUT SELATAN PULAU PULAU PINANG (PSI)

KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW MENGENAI PROJEK TAMBAKAN LAUT SELATAN PULAU PULAU PINANG (PSI)

 

PADA 26 APRIL 2023, RABU

DI KOMTAR, GEORGE TOWN.

__________________________________________________

 

Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kelulusan yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 April 2023 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan adalah berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh, Kerajaan Negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini sedang dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Negeri Pulau Pinang.

Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

Sekian, terima kasih.

MAKLUMAT TAMBAHAN:

Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP)

  • Pembayaran bantuan kewangan atau ex-gratia kepada nelayan berdaftar dengan SIMP adalah secara berperingkat dan telah bermula sejak Mac 2021;
  • Bantuan bot dan enjin (dengan anggaran kos sebanyak RM80,000 setiap set) kepada 20 nelayan yang diberikan pertimbangan khas oleh Kerajaan Negeri walaupun EIA dan EMP masih belum diluluskan juga telah dilaksanakan;
  • Kerajaan Negeri turut menyediakan kursus jurumudi percuma kepada para nelayan serta program sokongan pendidikan kepada anak-anak golongan berkaitan;
  • Pada masa kini, kerja-kerja awalan pembinaan jeti serta stor nelayan yang lebih terancang di muara Sungai Bayan Lepas juga telah dimulakan.

 

Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) PSI

 

  • Sebanyak 1,500 pokok bakau telah ditanam dan 2 juta benih ikan telah dilepaskan sebagai langkah-langkah mitigasi dan mewujudkan habitat marin baharu;
  • Saintis dari Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar perikanan Fanli Marine sedang menjalankan kajian untuk kerja-kerja pemeliharaan kehidupan laut di tapak PSI;

Pengiktirafan Reka Bentuk Pembangunan PSI

  • Reka bentuk pembangunan PSI mendapat pengiktirafan ‘Bandar Rendah Karbon’ daripada Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC).

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang