MAJLIS PERASMIAN SENTUHAN AGRO MADANI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SENTUHAN AGRO MADANI

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

9 OGOS 2023

LOT KELOMPOK PADI, KAMPUNG SAMA GAGAH

 

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua terutama delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyokong program Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Yang Berusaha Encik Mohd Muhaimin bin Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM Inc.) Negeri Pulau Pinang serta pasukan atas komitmen dan kerja keras bagi menjayakan majlis ini.  

Sesungguhnya majlis ini sangat istimewa dan bermakna sebagai bukti kepada sinergi, penggemblengan tenaga serta gerak kerja berterusan antara warga KPKM Inc. dengan kerjasama Wira Agro bagi menzahirkan semangat baharu kepada para petani, penternak, nelayan dan usahawan tani di negeri Pulau Pinang sebagai pemangkin untuk memperkasakan sektor agromakanan negara amnya dan negeri Pulau Pinang khususnya.

Meskipun Pulau Pinang sebuah negeri kecil, namun kita tidak boleh nafikan sektor agromakanan tetap penting dan turut menyumbang terhadap angka serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri serta lain-lain agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai inisiatif secara lebih meluas bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Biarpun berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran sama ada di peringkat domestik mahupun global terutama melibatkan isu inflasi dan rencatan bekalan dunia, namun kerajaan komited dan meletakkan perhatian yang serius kepada pemerkasaan sektor agromakanan agar dapat kembali pulih, sekaligus memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana telah memperuntukkan RM21,657,195 bagi melaksanakan program pembangunan pertanian sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan modal insan serta bantuan khas di Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2023.

Menyedari keperluan sama, Kerajaan Negeri melalui pembentangan Bajet Negeri Tahun 2023 turut telah memperuntukkan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM17,355,000 yang merangkumi bantuan infrastruktur dan insentif dalam sektor tanaman makanan melalui Jabatan Pertanian dengan peruntukan berjumlah RM6.9 juta, bantuan pesawah RM500 seorang berjumlah RM2.46 juta, sektor penternakan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar berjumlah RM3.72 juta dan pembangunan kebun kerang sebanyak RM2.65 juta serta insentif bantuan pukat kepada nelayan sebanyak RM1.61 juta melalui Jabatan Perikanan.

Kerajaan Negeri berharap dengan saluran bantuan secara berterusan ditambah dengan dana dan sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta, kita mampu mencapai visi sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Pada hari ini, saya juga dimaklumkan bahawa jualan Agro Madani oleh pihak FAMA turut diadakan yang menawarkan produk-produk hasilan pertanian pada harga yang berpatutan bagi membantu rakyat menangani masalah kenaikan harga barang.

Justeru, saya berharap agar semua Jabatan/Agensi dan pemain industri agromakanan serta rakyat di negeri ini dapat memanfaatkan bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara melalui usaha sama yang utuh (collaborative effort) secara Whole-of-Government dan Whole-of-Society Approach dapat direalisasikan.

 

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Pertanian Negeri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Semoga platform ini dapat membuka peluang kepada warga KPKM untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan petani, penternak dan nelayan dan usahawan industri asas tani setiap agensi dan secara tidak langsung, pihak-pihak yang terlibat dapat membincangkan isu dan masalah yang berkaitan keselamatan, keterjaminan makanan dan mengambil insiatif penyelesaian bersama bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Saya ingin memberi penekanan bahawa keterjaminan makanan merupakan satu agenda nasional dan tanggungjawab semua. Oleh itu, saya mengharapkan semua warga tani di sini berusaha serta memberi sumbangan terbaik bagi meningkatkan dan memartabatkan sektor pertanian di Negeri Pulau Pinang demi memperkukuh agenda keterjaminan negara.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang