SESI PEMBERIAN BANTUAN PENDIDIKAN OLEH LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA SESI PEMBERIAN BANTUAN PENDIDIKAN OLEH LEMBAGA WAKAF HINDU

NEGERI PULAU PINANG

 

15 OKTOBER 2023 | 5 PETANG

 

DEWAN CAT, KOMPLEKS MASYARAKAT PENYAYANG

 

 

Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi Majlis

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030, Salam Malaysia Madani, Vanakam.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada anak-anak yang hadir pada petang ini, bakal siswa dan siswi yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Serentak itu, saya juga mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa serta waris yang dapat bersama-sama kita pada petang yang mulia ini.

Mengambil peluang ini, tahniah diucapkan kepada barisan Ahli Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang di atas pelantikan saudara dan saudari bagi meneruskan kesinambungan dalam memartabatkan pembangunan komuniti India di negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri pada tahun 2008, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha untuk memperkasakan komuniti tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama demi pembangunan yang adil serta saksama.

Khususnya kepada komuniti India di negeri ini, di bawah kerangka Visi Penang2030, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyalurkan peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta kepada HEB Pulau Pinang. Peruntukan ini adalah bagi melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, seramai 2,932 pelajar yang layak telah menerima biayaan biasiswa berjumlah RM4,180,367.33 sejak tahun 2010 sehingga 2023.

Walaupun perhatian diberikan kepada tahap pendidikan lebih tinggi, peruntukan kepada sekolah-sekolah tidak pernah diabaikan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, peruntukan ditingkatkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).

Saudara dan saudari sekalian,

Pendidikan adalah asas kepada pembinaan tamadun dan pemerkasaan komuniti di samping pembentukan sahsiah yang terpuji. Oleh itu, saya sendiri dan Exco yang terlibat akan terus memantau usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat India di Pulau Pinang meliputi pelbagai aspek.

Status sebagai B40 tidak harus menjadi penghalang kepada akses pendidikan yang mana dengan usaha keras daripada HEB Pulau Pinang, kita dapat berkumpul bersama-sama dalam majlis ini bagi menyampaikan bantuan biasiswa kepada keseluruhan 264 pelajar dengan jumlah peruntukan hampir RM 300,000.

Umumnya, saya sangat kagum dengan usaha berterusan HEB Pulau Pinang dan difahamkan bahawa usaha pada hari ini merupakan langkah permulaan bagi barisan ahli lembaga serta ahli jawatankuasa baru dilantik dalam usaha terus memperkasakan komuniti India di Pulau Pinang. Walaupun masih baru, saya difahamkan bahawa sudah tersenarai banyak pengisian program-program pembangunan modal insan untuk masyarakat India di Pulau Pinang yang akan dijalankan secara berjadual.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berpesan kepada anak-anak yang dikasihi sekalian, supaya sentiasa bersyukur dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan manfaatkanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anak-anak sekalian, rezeki setiap orang adalah berbeza-beza dan tidak semua individu berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti anda semua di sini. Utamakan pelajaran dan pembentukan peribadi yang terpuji serta elakkan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Saya berharap ibu bapa dan waris di sini juga dapat memberikan sokongan penuh kepada anak-anak supaya dapat membantu mereka menjadi insan yang lebih baik dan berjaya. Ingat, mereka adalah harapan utama untuk menerajui negara serta negeri ini pada suatu hari nanti. Sokonglah apa sahaja pilihan kursus yang mereka minati asalkan ianya membawa manfaat kepada diri mereka dan komuniti secara keseluruhan.

Sebagai penutup kata, saya mengucapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anda semua. Tahniah sekali lagi!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang