SEMINAR PELABURAN SEKTOR AGROMAKANAN MALAYSIA DAN PELANCARAN LEMBAH TEKNOLOGI SEDUSUN
UCAPAN PERASMIAN
KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
SEMINAR PELABURAN SEKTOR AGROMAKANAN MALAYSIA DAN PELANCARAN LEMBAH TEKNOLOGI SEDUSUN
30 OKTOBER 2023 (ISNIN) ; 1130 PAGI ;
BERTAM RESORT, KEPALA BATAS
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua yang hadir ke Majlis Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia dan Perasmian Lembah Teknologi Sedusun pada pagi ini. Semoga majlis ini dapat memberi manfaat kepada kita semua di sini.
Projek Sedusun Tech Valley ini merupakan salah satu projek strategik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk mewujudkan sebuah ‘Lembah Silikon Pertanian’ di Pulau Pinang yang mana ia akan memfokuskan kepada industri pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian secara optimum berbanding yang diamalkan kini.
Walaupun dikenali dengan nama jolokan sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang tidak pernah sesekali menafikan sumbangan sektor pertanian kepada pembangunan negeri ini.
Pertanian mampan merupakan hala tuju Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di Pulau Pinang. Serentak itu juga, ia adalah bagi membolehkan penggiat sektor pertanian seperti petani, penternak dan agroprenuer muda setempat menjana pendapatan yang kukuh dan menguntungkan.
Antara hala tuju tersebut termasuk menyediakan khidmat pengembangan teknologi pertanian, pembangunan dan naik taraf pusat kecemerlangan teknologi pertanian, pembangunan tanaman padi, buah-buahan serta sayuran, pembangunan industri pemprosesan makanan dan lain-lain inisiatif berkaitan bagi memastikan industri pertanian di negeri ini dapat berkembang sebagai antara penyumbang penting ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.
Setakat ini, sektor pertanian menyumbang sebanyak 1.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang. Malah setelah beroperasi sepenuhnya, Sedusun Tech Valley akan turut membantu meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Pulau Pinang.
Hadirin yang saya hormati sekalian.
Dalam masa yang sama, kawasan Projek Sedusun Tech Valley ini juga akan dijadikan pusat ekopelancongan yang unik di Pulau Pinang bagi memberi peluang kepada pemain industri dan orang awam untuk menyaksikan sendiri bagaimana pertanian sertateknologi boleh diintegrasikan.
Pembinaan Sedusun Tech Valley ketika ini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2026 dan dianggarkan kawasan ini akan menarik lebih 10,000 pelancong menjelang 2030.
Saudara dan saudari sekalian,
Pada hari ini, kita akan menyaksikan tiga kerjasama awal yang berjaya dibentuk untuk mengukuhkan ekosistem dan menerapkan elemen ‘smart farming’ dalam pembangunan Sedusun Tech Valley dan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) secara amnya.
Tiga organisasi berkenaan ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), RedTOne IOT dan Elliance. Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan penglibatan agensi Kerajaan Pusat dan juga pihak swasta dalam membangunkan sektor ekonomi khususnya pertanian berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, saya juga dimaklumkan bahawa hari ini sebuah lagi program sedang berlangsung iaitu Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia yang melibatkan perkongsian pengetahuan dan pembentangan kertas kerja. Saya amat menggalakkan dan akan menyokong sebarang usaha dalam mentransformasikan sektor pertanian, kerana ia penting dalam menjamin sekuriti makanan secara mampan di negeri ini.
Seperti yang diketahui umum, agromakanan merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan Persekutuan pada hari ini amat prihatin tentang keselamatan makanan negara kerana ia merangkumi tanggungjawab dalam memastikan rakyat mendapat makanan yang mencukupi, selamat dimakan dan juga mudah diakses.
Semoga dapatan daripada Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia ini dapat menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan Sedusun Tech Valley, malah kepada sektor pertanian di seluruh Pulau Pinang dan membantu negara merealisasikan Agenda Sekuriti Makanan Nasional secara keseluruhan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan yang tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), maka sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memberi tumpuan dalam pembangunan mampan sektor pertanian.
Bagi memperkukuh lagi rantaian bekalan makanan melalui sektor pertanian, Kerajaan Negeri Pulau berhasrat untuk mempelbagaikan pendapatan golongan petani dan nelayan menerusi agrikultur moden, padi berhasil tinggi, pelancongan agro, pelancongan sungai dan aktiviti promosi berkaitan selain memberikan bantuan bayaran sara hidup kepada pesawah serta pekebun sayur dan bantuan pukat kepada golongan nelayan. Malah, Kerajaan Negeri juga merancang untuk mewujudkan zon akuakultur baharu bagi menggalakkan penternakan kerang, ikan, ketam nipah dan tiram.
Ketika ini, daripada segi penghasilan sektor pertanian, Pulau Pinang telah pun menerajui dalam sektor akuakultur, durian dan juga padi. Saya yakin, apabila kepakaran kami dalam E&E digabungkan dengan pertanian berteknologi tinggi, negeri ini pasti mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan kukuh pada masa depan. Oleh itu, Sedusun Tech Valley merupakan platform terbaik untuk Kerajaan Negeri menggerakkan usaha berkenaan.
Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Semoga segala usaha yang dilakukan dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat gagasan Visi Penang2030.
Terima kasih juga kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas sokongan dalam menganjurkan seminar pada hari ini.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia dan melancarkan Lembah Teknologi Sedusun.
Sekian, terima kasih.