MAJLIS MALAM APRESIASI MEDIA DAN ANUGERAH BERITA KELAB MEDIA MUTIARA PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA

MAJLIS MALAM APRESIASI MEDIA DAN ANUGERAH BERITA KELAB MEDIA MUTIARA PULAU PINANG

 

8 NOVEMBER 2023 (RABU) | 9.15 MALAM

VOUK HOTEL SUITES

____________________________________

Selamat Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran kerana dapat berkumpul pada Majlis Apresiasi Media dan Anugerah Berita Mutiara 2023 yang diadakan pada malam yang berbahagia ini.

Saya amat berbesar hati berada di sini dan bertemu dengan saudara saudari sekalian. Malah, saya bangga kerana buat julung kalinya dapat bersama-sama ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang boleh dikatakan begitu akrab dalam menyaksikan liku-liku perjalanan kerjaya politik saya yang kini memasuki penggal kedua sebagai Ketua Menteri. Adalah menjadi harapan saya agar hubungan akrab yang terbina ini dapat kekal berpanjangan.

Hadirin sekalian,

Hari ini, kita berkumpul dalam majlis apresiasi ini adalah untuk meraikan pencapaian serta sumbangan berharga yang telah dicurahkan oleh ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang terdiri daripada para wartawan, editor, jurufoto, juruvideo penerbit, pengacara dan kru teknikal yang terlibat dalam dunia media. Tidak boleh dinafikan bahawa peranan pengamal media dalam pembangunan negeri Pulau Pinang adalah amat signifikan terutama melalui ketajaman penulisan dan penyampaian berita.

Umum maklum bahawa beberapa tahun kebelakangan ini merupakan tempoh yang mencabar untuk semua industri, dan ini termasuklah rangkaian komunikasi dan media massa. Ledakan teknologi maklumat juga amat ketara ditambah dengan perkembangan media sosial dan keperluan rangkaian internet telah menjadi sebahagian cabaran yang harus didepani oleh para pengamal media massa kini.

Justeru, saya berpendapat bahawa malam apresiasi ini antara platform yang sesuai untuk menyampaikan penghargaan kepada para pengamal media yang bertungkus-lumus melakukan liputan terutama ketika pandemik COVID-19 dahulu. Walaupun tidak dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan secara rasmi, pengamal media tampil menggalas tanggungjawab sebagai petugas hadapan, berani melakukan liputan berita sambil berdepan risiko kesihatan bagi memberikan maklumat dan panduan yang tepat, jelas dan segera kepada rakyat.

Anda juga adalah wira-wira negara yang wajar sentiasa diingati dalam lipatan sejarah dunia.

Tidak terhenti di situ, selepas pulih daripada pandemik, para pengamal media juga telah mengharungi dua pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun lepas dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini. Oleh itu, mengambil kesempatan ini, sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada anda yang turut memainkan peranan dalam memastikan kelancaran dua pilihan raya ini.

Walau apapun jua cabaran dan rintangannya, saya berpandangan bahawa perkara paling asas adalah jalinan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan media. Saya yakin, melalui jalinan kerjasama yang baik akan membantu mengendalikan maklumat yang lebih tepat dan betul untuk disampaikan kepada rakyat. Maka, saya percaya majlis apresiasi ini dianjurkan untuk mempereratkan lagi jalinan kerjasama selain menghargai sumbangan yang dicurahkan selama ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Syabas dan tahniah saya zahirkan kepada pihak Kelab Media Mutiara Pulau Pinang atas komitmen tidak berbelah bahagi terutama dalam melaksanakan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat atau CSR untuk rakyat. Program-program seperti Mutiara Prihatin (program caruman Perkeso kepada pengamal media sambilan); Ziarah Kasih Aidilfitri (bantuan kepada keluarga miskin) dan Ceria Mutiara Raya (bantuan persiapan perayaan kepada keluarga miskin) telah memberi impak yang positif dan menyentuh hati masyarakat. Saya berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi legasi buat Kelab Media Mutiara Pulau Pinang.

Terima kasih Kelab Media Mutiara Pulau Pinang kerana berusaha gigih dalam mempromosikan etika dan standard bermutu tinggi dalam pelaporan berita, rangkuman dan liputan isu-isu semasa, penerbitan artikel, rencana serta gambar-gambar yang lebih bermutu sekali gus membuktikan bahawa penyampaian maklumat kini lebih telus dan komprehensif seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam ini, sekali lagi saya berharap agar hubungan yang erat antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan media Pulau Pinang dapat dipertingkatkan lagi demi memastikan maklumat yang tepat dan berkualiti sampai kepada rakyat Pulau Pinang dalam merealisasikan Visi Penang 2030.

Malah, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat menghargai segala pelaporan berita yang dilakukan secara langsung dan tidak langsung yang menyumbang ke arah kemakmuran, kesejahteraan dan kejayaan negeri Pulau Pinang.

Kepada barisan pemenang Anugerah Berita Mutiara 2023 yang bakal diumumkan sebentar lagi, sekalung tahniah saya ucapkan atas kejayaan anda. Semoga kemenangan anda menjadi inspirasi dan suntikan semangat kepada rakan-rakan media untuk terus memberi liputan terbaik.

Dengan kata-kata itu, saya berbesar hati untuk menyempurnakan Malam Apresiasi Media dan Anugerah Berita Mutiara 2023.

Selamat maju jaya dan selamat malam. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang