MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI KADUN PERAI TAHUN 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI
KADUN PERAI TAHUN 2023
18 NOVEMBER | 7 MALAM
DEWAN SERBAGUNA CHAI LENG PARK
___________________________
Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Timbalan Ketua Menteri II
Yang Berhormat Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Exco Perumahan dan Alam Sekitar selaku tuan rumah
Barisan Exco Kerajaan Negeri; ADUN-ADUN
Yang Berbahagia Dato’ Seri / Datin Seri / Dato’-Dato’ / Datin Datin; rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan perasaan syukur kerana dapat berkumpul bagi meraikan sambutan perayaan Hari Deepavali bersama-sama saudara dan saudari di kawasan Parlimen saya.
Hari ini juga, sambutan di peringkat negeri Pulau Pinang diadakan dan disusuli dengan beberapa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Seberang Perai Tengah (SPT). Selain membuktikan kepelbagaian dan keharmonian yang terukir, kemeriahan sambutan yang bukan hanya terhad kepada satu kaum jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang sebuah negeri yang makmur serta penuh dengan keunikan. Syabas kepada semua!
Sebelum berbicara dengan lebih lanjut, saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YB. Dato’ Seri Sundarajoo di atas jemputan ini. Malah, sekalung penghargaan diucapkan kepada beliau serta pasukannya yang telah menjayakan penganjuran pada hari ini.
Sebagaimana hadirin sedia maklum, Deepavali pada asasnya disambut untuk meraikan kejayaan terhadap kebaikan menentang kejahatan (triumph of good over evil). Secara tersirat, apabila kejahatan atau keburukan ditewaskan maka akan ada cahaya, itulah simboliknya perayaan Hari Deepavali.
Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada bangsa yang berbilang kaum, agama dan keturunan, sudah semestinya kita bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi serta menikmati bersama kepelbagaian perayaan dengan saling menghormati dan toleransi. Saya percaya bahawa keunikan inilah yang menyatupadukan kita semua.
Inilah keistimewaan, keunikan dan rezeki negara kita yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik-sebaiknya. Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Batu Kawan, saya dengan bangga mengakui bahawa rakyat di negeri tercinta ini telah menonjolkan semangat toleransi serta perpaduan yang sangat utuh dalam meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
Sejak saya dilantik menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan pada tempoh satu tahun yang lalu, saya dapat mengenal pasti dengan lebih teliti akan isu serta penambahbaikan yang perlu diberikan perhatian khususnya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Batu Kawan seperti Perai, Bukit Tambun dan juga Bukit Tengah.
Ketahuilah bahawa saya bersama-sama YB Dato’ Seri Sundarajoo, YB Goh Choon Aik dan YB Gooi Hsiao-Leung telah mengambil maklum serta tindakan bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk penyelesaian jangka panjang yang membabitkan Kerajaan Persekutuan. Dalam pada itu, sebagai ketua pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, penekanan saya umumnya amat tertumpu kepada usaha melahirkan modal insan yang kompeten bagi memastikan kemajuan negeri adalah terus terbela.
Pemerkasaan peranan setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat India adalah antara agenda utama bagi memastikan tiada pihak yang tercicir atau tersisih dalam era pembangunan kini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat menitikberatkan aspek akademik yang mana penyaluran peruntukan khas disalurkan ke sekolah-sekolah di mana lokasi anak-anak kita menuntut ilmu terus dipergiatkan. Sebagai makluman, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui bajet tahunan sejak dari tahun 2009.
Tidak terhenti di situ, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) juga akan terus menyokong pembangunan akademik serta modal insan masyakarat India di Pulau Pinang dengan menyalurkan bantuan biasiswa pendidikan kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pengajian di peringat yang lebih tinggi. Malah, kita juga telah bersetuju untuk menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun kepada HEB bagi memastikan agenda pembangunan masyarakat India terus dipergiatkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagai penutup kata, saya dengan tulus ikhlas ingin mendoakan semoga sambutan Pesta Cahaya pada tahun ini akan menerangi kehidupan semua rakyat Pulau Pinang yang tercinta ini. Semoga semua intipati yang membentuk negeri ini hidup dalam keadaaan aman, saling bertoleransi, sayang menyayangi dan penuh harmoni.
Dengan ini, Selamat Menyambut Hari Deepavali dan ‘Deepavali Vaalthukal’ kepada semua.
Sekian, terima kasih.