MAJLIS JAMUAN HARI DEEPAVALI ANJURAN PERSATUAN PENDUDUK KOMPLEKS JALAN KEDAH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS JAMUAN HARI DEEPAVALI ANJURAN PERSATUAN PENDUDUK KOMPLEKS JALAN KEDAH

 

21 NOVEMBER 2023 (SELASA) | 8 MALAM

DEWAN SERBAGUNA TINGKAT 2,

KOMPLEKS JALAN KEDAH

_______________________________________

Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, ribuan terima kasih kepada Persatuan Penduduk Flat Jalan Kedah selaku penganjur Jamuan Majlis Hari Deepavali Tahun 2023 yang sudi menjemput saya ke majlis ini yang amat istimewa ini.

Saban tahun, majlis sambutan ini diraikan dengan penuh warna warni di sini, dan apa yang pasti ia mencerminkan ikatan keharmornian, muhibah serta semangat perpaduan yang terjalin dalam kalangan komuniti di sini. Amat unik and cukup bermakna.

 


Sebagaimana saya tekankan sebelum ini, Flat Jalan Kedah sentiasa terpahat di dalam sanubari saya. Saya sentiasa berasa sentiasa dialu-alukan di sini sama ada untuk sambutan perayaan mahupun aktiviti serta program-program yang diadakan demi meraikan golongan warga emas, suri rumah, belia dan juga golongan kanak-kanak.

Malah, sebagaimana seruan saya dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030, komuniti di sini yang begitu aktif termasuk mengambil inisiatif menubuhkan pertubuhan-pertuhan kebajikan dan bukan kerajaan (NGO) ke arah menjadikan negeri yang kita cintai ini sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin sekalian,

Meraikan sambutan Hari Deepavali yang mana perkataan ini merupakan gabungan dua perkataan. Deepa bermaksud cahaya. Vali bermaksud sebaris pelita. Deepavali adalah suatu perayaan kemenangan; cahaya menang mengatasi kegelapan; kebaikan mengatasi kejahatan dan keadilan mengatasi kezaliman.

Dalam konteks penduduk di sini, saya melihat perayaan budaya ini memberi makna yang lebih besar iaitu mengeratkan lagi semangat muhibah sedia ada dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di sini.

Malah, mengambil peluang ini, saya memberi sepenuh komitmen bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa memperkasakan peranan setiap lapisan masyarakat bagi memastikan tiada pihak yang tercicir atau tersisih daripada komitmen untuk maju bersama bagi mencapai Visi Penang2030. Ini termasuk memperkasakan masyarakat India dari segi politik, ekonomi dan juga sosial.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang bersetuju menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang untuk melaksanakan projek atau program khas merangkumi aspek pembangunan pendidikan, infrastruktur dan juga perubatan. Malah, pada pada 15 Oktober lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyerahkan insentif dalam bentuk biasiswa pendidikan kepada 264 pelajar keturunan India.

Saudara dan saudara yang dihormati sekalian,

Menyentuh mengenai NGO, di peringkat Kerajaan Negeri, kita amat menghargai penglibatan, peranan dan sumbangan pihak berkaitan yang sentiasa tampil dengan pelbagai usaha serta inisiatif sendiri melalui penganjuran pelbagai program berbentuk kemasyarakatan yang pasti amat membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030.

Malah, berlandaskan matlamat ini jua, adalah menjadi pegangan saya untuk bersama-sama barisan NGO di negeri ini membangunkan Pulau Pinang ke tahap yang lebih cemerlang. Sejak memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2018, setiap hari boleh dikatakan saya akan berjumpa dan mengadakan sesi perbincangan bersemuka dengan pihak-pihak berkaitan, dan ia kini masih diteruskan;


Saya menghargai setiap pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan oleh pihak NGO negeri Pulau Pinang dalam terus berkongsi idea demi percambahan pembangunan negeri ini dan juga dalam meningkatkan jalinan ukhuwah serta silaturahim sedia ada seluruh rakyat negeri ini.

Serentak itu, saya mengambil peluang ini menyeru semua NGO di negeri ini untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan menjayakan gagasan Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban. Dalam pada itu, sebagaimana termaktub di dalam Manifesto Perpaduan 2023, kita Kerajaan Negeri turut memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta kepada badan-badan NGO.


Hadirin sekalian,

Sebagai penutup bicara, sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan penganjur yang menjayakan penganjuran majlis yang penuh bermakna ini. Semoga sambutan ini diraikan dengan penuh bermakna bersama-sama orang tersayang.

Bagi saya, limpahan manfaat daripada Kerajaan Negeri kepada rakyat jelata adalah selari dengan maksud serta tujuan hakiki di sebalik perayaan Deepavali yang mana ia turut membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum untuk saling menyantuni antara satu sama lain.

Meriah Aidilfitri semua disambut,

Begitu juga Deepavali, Tahun Baru Cina,

Semangat muhibah kian bertaut,

Moga kerajaan dan rakyat bahagia selamanya.

Selamat menyambut Hari Deepavali. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang