MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI PARLIMEN TANJONG 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI

PARLIMEN TANJONG 2023

 

26 NOVEMBER 2023 (AHAD) | 8.00 MALAM

 

SIA BOEY, GEORGE TOWN

 

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada jawatankuasa kawasan Parlimen Tanjong atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama dalam Majlis Rumah Terbuka Parlimen Tanjong pada malam yang berbahagia ini.

Hadiri sekalian,

Seperti yang diketahui, Hari Deepavali merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat berketurunan India. Lazimnya, saya amat teruja kerana apabila tibanya Pesta Cahaya, saya dapat melihat warna-warni perayaan ini disambut dengan sangat meriah. Sebagai contoh hari ini, majlis sambutan Hari Deepavali di Kawasan Parlimen Tanjong memperlihatkan ikatan keharmonian dalam kalangan komuniti di sini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan juga kepercayaan.

Keharmonian kaum adalah aspek yang amat penting dalam pembentukan sesebuah negara yang majmuk serta maju. Dalam memperkukuhkan nilai ini, seseorang pemimpin memainkan peranan yang amat penting bagi menjamin keadilan kepada setiap lapisan masyarakat supaya tiada sebarang isu yang mampu memecah-belahkan keharmonian sedia terjalin.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sentiasa komited untuk terus menjaga kebajikan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuklah masyarakat India, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam usaha untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta pada tahun akan datang bagi melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Pada dasarnya, daripada aspek pendidikan, seramai 2,932 pelajar yang layak telah menerima pembiayaan biasiswa dengan jumlah keseluruhan RM4,180,367.33 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dari tahun 2010 sehingga 2023.

Namun, usaha ini tidak hanya terhenti di situ, kami juga komited untuk menangani masalah tanah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil. Sebagai contoh, tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM29 juta baru-baru ini telah diperoleh untuk Sekolah Tamil Rajajee di Ayer Itam, sementara sekolah-sekolah lain seperti SJKT Azad, SJKT Batu Kawan, SJKT Ladang Valdor, SJKT Subramaniya Bharathee dan SJKT Rajaji juga telah mendapat bantuan tanah daripada pihak Kerajaan Negeri. Hal ini kerana saya percaya pembinaan sesebuah bangsa Madani itu bukan hanya perlu kukuh dari segi pembinaan sahsiah, malah ianya perlu diiringi dengan akses pendidikan tanpa keciciran.

Inilah antara manifestasi kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga kini demi pembangunan berterusan masyarakat berketurunan India di negeri ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap semua usaha yang direncanakan akan membantu meningkatkan keberdayatahanan masyarakat India sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang menginspirasikan dunia.

Sebagai penutup bicara, sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan penganjur yang menjayakan penganjuran majlis yang penuh bermakna ini. Semoga sambutan ini diraikan dengan penuh bermakna bersama-sama orang tersayang.

Bagi saya, limpahan manfaat daripada Kerajaan Negeri kepada rakyat jelata adalah selari dengan maksud serta tujuan hakiki di sebalik perayaan Deepavali yang mana ia turut membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum untuk saling menyantuni antara satu sama lain.

Saya dengan tulus ikhlas ingin mendoakan semoga sambutan Pesta Cahaya pada tahun ini akan menerangi kehidupan semua rakyat Pulau Pinang yang tercinta ini. Semoga semua intipati yang membentuk negeri ini hidup dalam keadaaan aman, saling bertoleransi, sayang menyayangi dan penuh harmoni.

Dengan ini, Selamat Menyambut Hari Deepavali dan ‘Deepavali Vaalthukal’ kepada semua.

Sekian, terima kasih.

DEEPAVALI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang