KEMPEN PENANG GOES ORANGE

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA KEMPEN PENANG GOES ORANGE

 28 NOVEMBER 2023 (SELASA) | 12 PM

 ST. XAVIER INSTITUTION

Terima kasih saudara/i pengerusi majlis

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan untuk saya hadir bagi menutup acara Taklimat Anti Buli yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Padang Kota dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama pelajar di St. Xavier Institution pada hari ini.

Hadirin sekalian,

Kempen Penang Goes Orange (PGO) pada tahun ini bertemakan #Kindness4wellness: Stop Bullying merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membendung kegiatan buli yang mana selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat dalam membendung isu buli di alam fizikal dan siber.

Laporan terkini daripada KPM mendedahkan jumlah kes buli di sekolah terus melonjak tahun ini berbanding daripada tahun 2022 dengan 4,994 kes direkodkan setakat bulan Oktober lalu. Dengan bilangan kes buli yang semakin meningkat, maka kempen bagi mewujudkan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dalam isu ini adalah sangat penting bagi menanam sifat-sifat kemanusiaan, prihatin, hormat-menghormati dan terbuka dalam menerima perbezaan.

Selain daripada aspek pembangunan pendidikan dan bakat dalam kalangan anak-anak muda, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat memberikan perhatian kepada pembangunan sahsiah dan pembentukan peribadi yang mulia. Fokus ini adalah bagi menjamin masa depan negara akan diwarisi dan dipimpin oleh sebuah generasi berakhlak dan berperikemanusiaan di samping penerapan komponen-komponen penting lain yang melayakkan seseorang itu mampu menjadi seorang pemimpin dan individu yang holistik.

Anak-anak yang disayangi sekalian,

Ketahuilah bahawa menjadi manusia yang berakhlak mulia merupakan nilai yang amat penting bagi seseorang individu. Ia merupakan nilai yang amat penting bagi pembentukan jati diri dan identiti. Dengan menyakiti orang lain tidak kira dari segi emosi, lisan mahupun fizikal, tanpa disedari seseorang individu itu telah merendahkan martabat dirinya kerana tidak ada yang harus dibanggakan dengan seseorang yang membawa identiti sebagai seorang pembuli.

Sebagai seorang ayah dan Ketua Menteri di negeri ini, saya amat mengharapkan supaya anak-anak sekalian sentiasa berfikir panjang sebelum membuat sebarang tindakan. Anda semua adalah bakal pemimpin pada masa hadapan. Sekiranya ada di antara anda terlibat dalam kegiatan buli, ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada mangsa malah secara tidak langsung ianya akan memberi impak kepada ibu bapa, waris, keluarga, guru-guru dan pentadbir sekolah.

Hadirin dan hadirat khususnya buat para guru dan waris yang hadir,

Seperti yang sedia maklum, pelajar yang melakukan kes buli ini kebanyakannya mengikut kajian membesar dalam persekitaran atau keluarga yang tidak sihat atau tidak kondusif. Keadaan ini juga boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar malah mencetus pelbagai tingkah laku negatif lain. Dengan nilai kasih sayang, kita harus menjalankan kewajipan kita sebagai orang yang lebih tua untuk mengenal pasti corak tingkah laku ini dan tidak mudah melenting dengan perlakuan anak-anak sebaliknya mencari satu solusi yang sesuai untuk membantu mereka.

Saya sedar dan sangat menghargai pengorbanan para guru yang sudah diketahui banyak mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendidik anak-anak bangsa. Guru merupakan satu pekerjaan yang mulia dan amat penting dalam pembangunan sesebuah tamadun bangsa. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala khidmat bakti dan pengorbanan anda semua selama ini.

Saya berharap agar semua pihak mendapat manfaat daripada taklimat yang telah diberikan oleh wakil daripada PDRM pada hari ini. Impian saya adalahh suatu hari nanti, Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya akan bebas dari gejala buli demi masa depan yang lebih cerah.

Masalah ini mungkin sukar dibendung sekiranya tiada kerjasama dari semua pihak. Oleh itu, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada pihak penganjur, JPWK Padang Kota, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut serta pihak sekolah yang berinisiatif untuk mencapai sifar buli di negeri tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang