MAJLIS JEJAK LANGKAH PENANG SOUTH ISLAND (PSI)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB KETUA MENTERI TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS JEJAK LANGKAH PENANG SOUTH ISLAND (PSI)

10 DISEMBER 2023 (AHAD) | 840 PAGI
DEWAN KOMUNITI MARKAS PASUKAN POLIS MARIN WILAYAH SATU, BATU UBAN


 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

xxxxx

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang; Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen

Yang Berbahagia Dato’-Dato’; Dif – dif kehormat

Tetamu-tetamu jemputan yang dihormati; Rakan-rakan media; Tuan–tuan dan Puan–puan sekalian.

Selamat pagi, Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

(Opsyen 1: Intro cuaca baik)

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk sama-sama berkumpul bersempena Majlis Jejak Langkah Penang South Island (PSI) pada pagi yang amat bersejarah ini terutamanya untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di atas ‘Silicon Island’ yang kini sedang giat ditambak.

Pengalaman menjejakkan kaki di ‘Silicon Island’ yang telah memulakan kerja tambakan pada 1 September lalu merupakan bukti awal kejayaan pelaksanaan projek berkaitan. Bermula dengan proses tambakan, ia kemudiannya akan disusuli pembangunan infrastruktur, landskap dan lain-lain berkaitan sebelum pembangunan fizikal industri, perumahan serta komersial bermula.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Saya secara peribadi sangat bersyukur projek PSI yang dimiliki Kerajaan Negeri telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan dan kerja penambakan telah berjaya dimulakan sehingga kita selamat melawat tapak projek untuk melihat dan merasai tanah yang terbentuk di bawah kaki kita kini.

-------------------------------
(Opsyen 2: Intro cuaca buruk)

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk sama-sama berkumpul bersempena Majlis Jejak Langkah Penang South Island (PSI) pada pagi yang amat bersejarah ini.

Mengikut perancangan asal, kita sepatutnya bersama-sama menaiki bot ke tapak projek untuk melihat dan merasai sendiri permukaan tanah yang telah terbentuk. Akan tetapi, keadaan cuaca dan laut yang bergelora pada pagi ini adalah tidak mengizinkan. Walaupun majlis hanya diadakan di sini, secara peribadi, saya merasakan bahawa ia tetap cukup bermakna dan bersyukur bahawa projek PSI yang dimiliki Kerajaan Negeri telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan dan dapat dilaksanakan dengan lancar.

(sambungan teks ucapan)

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya terlebih dahulu ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak ke majlis ini yang mana kesudian Tun telah menyerikan lagi majlis yang bakal terukir di dalam sejarah negeri ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya mereka yang telah begitu lama terlibat dalam projek ini boleh memahami perasaan saya, kerana setelah ianya dicadangkan pada tahun 2015, perjalanan kita untuk sampai di sini pada hari ini adalah amat mencabar dan penuh dengan rintangan.

Justeru, mengambil kesempatan ini, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan ikhlas daripada Kerajaan Negeri kepada agensi-agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, PLANMalaysia, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Saliran dan Pengairan, Jabatan Laut Malaysia dan lain-lain berkaitan atas segala kerjasama yang telah diberikan bagi merealisasikan projek yang merupakan masa depan Pulau Pinang ini.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan pemaju projek, syarikat usaha sama Silicon Island Development Sdn. Bhd. kerana telah berusaha dengan bertungkus-lumus menjayakan projek ini walaupun berhadapan dengan rintangan yang begitu besar sebelum kita semua dapat berada di sini pada hari ini.


Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

‘Silicon Island’ merupakan sebuah projek pembangunan strategik jangka masa panjang yang membawa impian seluruh rakyat Pulau Pinang. Dengan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, lokasi ‘Silicon Island’ juga adalah amat strategik terutamanya untuk terus menarik pelaburan ke negeri ini.

Melalui pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, Green Tech Park; hab perkhidmatan perniagaan global atau GBS Campus; pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau, ‘Silicon Island’ dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion dan pelaburan sebanyak RM74.7 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan yang akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang dan juga negara secara keseluruhan.

Serentak itu, saya juga sangat yakin bahawa ‘Silicon Island’ akan mengulangi kejayaan FIZ Bayan Lepas yang telah membawa pembaharuan kepada ekonomi Pulau Pinang lebih 50 tahun lalu. Pada hari ini, kita masih lagi merasai dan bergantung kepada sumbangan FIZ Bayan Lepas yang membekalkan produk E&E kepada pasaran dunia. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kita memerlukan ‘Silicon Island’ untuk mengembangkan lagi tanah perindustrian di Bayan Lepas bagi menjamin perkembangan serta peningkatan daya saing sektor pembuatan E&E negeri kita yang terkemuka.

Berasaskan faktor-faktor berkenaan, kita perlu terus membina daya saing industri bagi memastikan Pulau Pinang kekal releven. Green Tech Park yang direka berdasarkan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG akan dapat menarik pelaburan yang mementingkan pematuhannya yang kini menjadi fokus korporat global. Di samping itu, ia yang dilengkapi dengan infrastruktur digital juga bakal menarik serta membina industri bernilai tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (research & development), pembuatan teknologi tinggi (high tech manufacturing), pengemasan tingkat lanjut (advanced packaging), otomasi (automation), teknologi AI serta robotik.

Buktinya, ingin saya berkongsi perangkaan terkini pelaburan negara yang mana Pulau Pinang terus mencatatkan prestasi amat memberangsangkan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya bagi sektor pembuatan. Terbaru, berdasarkan sumber daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dikeluarkan pada 6 Disember lalu, Pulau Pinang Pinang tersenarai antara lima negeri yang telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara berjumlah RM44.9 bilion dari Januari hingga September 2023. Pulau Pinang berada di kedudukan kedua selepas Persekutuan Kuala Lumpur (RM48.9 bilion) diikuti Selangor (41.6 bilion), Kedah (RM22.6 bilion) dan Johor (RM20 bilion) yang mana kelima-lima negeri ini menyumbang sebanyak 60.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh berkaitan. Oleh hal demikian, Kerajaan Negeri optimis bahawa ekosistem pelaburan negeri akan lebih berdaya saing selepas ‘Silicon Island’ berjaya direalisasikan kelak.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Secara keseluruhan, pembangunan ‘Silicon Island’ adalah selaras dengan gagasan Visi Penang2030 yang memandu dasar pembangunan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang hijau, pintar dan berteraskan keluarga. Projek berkenaan direka bentuk untuk:-
• meningkatkan daya huni dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan sistem kebajikan serta kemudahan yang lebih baik;

• meningkatkan pendapatan isi rumah dengan mengembangkan kawasan perindustrian bebas Bayan Lepas di Green Tech Park yang akan menarik pelabur dari sektor E&E berteknologi tinggi dan seterusnya mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi;

• memperkasakan rakyat, khususnya nelayan setempat melalui skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang menawarkan pelbagai bantuan bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tersebut antaranya menerusi program latihan, kemahiran dan sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka;

• meningkatkan daya tahan alam bina (built environment) dengan ciri biru-hijau dan mampan untuk mengurangkan pengeluaran karbon, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta menangani cabaran perubahan iklim.

Berasaskan pendekatan-pendekatan tersenarai, kita yakin bahawa ‘Silicon Island’ akan memainkan peranannya sebagai sebuah projek yang memperjuangkan prinsip ESG dalam terus menarik pelabur, membangunkan ekonomi negeri ini dan pada masa sama menjaga kesejahteraan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga berharap ‘Silicon Island’ boleh menjadi sebuah pembangunan yang boleh dicontohi dari segi pelaksanaannya, terutamanya skim SIMP yang memberi pelbagai manfaat kepada golongan nelayan setempat seperti bantuan kewangan (ex-gratia), saiz bot lebih besar, enjin lebih berkuasa tinggi, latihan kemahiran, peluang pekerjaan seta perniagaan, kemudahan jeti baharu, sokongan pendidikan untuk anak-anak dan juga skim perumahan. Menerusi maklum balas yang diterima, ramai pihak termasuk institut pengajian tinggi (IPT) sama ada dalam dan luar negeri tertarik dengan skim SIMP yang cukup komprehensif dan pelaksanaan program-programnya yang menambah baik taraf sosioekonomi komuniti nelayan sekitar secara menyeluruh.

Selain itu, pelaksanaan projek berkaitan turut meliputi Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) bertujuan mengurangkan kesan projek terhadap alam sekitar dan mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut. Inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dijalankan adalah termasuk penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan serta unjam, pelepasan benih ikan serta udang, pembinaan garis pantai mesra alam dan sebagainya.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Pembangunan ‘Silicon Island’ dijangka mengambil masa kira-kira 15 tahun. Nescaya, pada tempoh masa itu, sudah ramai dalam kalangan kita di sini pastinya sudah bersara. Namun, saya berasa kita semua boleh berasa bangga kerana kita telah sama-sama memainkan peranan dalam memulakan projek ini yang akan menjamin pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara berterusan pada masa depan.

Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ribuan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kehadiran ke majlis ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik sehingga kini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mencurahkan sepenuh sokongan secara berterusan terhadap visi dan dasar yang dirumus dalam mencipta lonjakan baharu kepada negara dan negeri Pulau Pinang khasnya.

Dengan ini, saya juga ingin menyeru semua di sini untuk senantiasa mendoakan kejayaan PSI khususnya ‘Silicon Island’ demi negeri yang kita cintai ini. Semoga proses penambakan dan pembinaannya terus berjalan dengan lancar dan selamat ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sekian, terima kasih.

PSI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang