MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI KADUN BUKIT TENGAH TAHUN 2023  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA

MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI

KADUN BUKIT TENGAH TAHUN 2023

 

10 DISEMBER 2023 (SABTU) | 8.00 MALAM

DEWAN SERBAGUNA PERKAMPUNGAN JURU

Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Deepavali bersama-sama saudara dan saudari di sini.

Sebagaimana hadirin sedia maklum, Deepavali pada asasnya disambut untuk meraikan kejayaan terhadap kebaikan menentang kejahatan yang mana apabila kejahatan atau keburukan ditewaskan maka akan ada cahaya, itulah simboliknya perayaan Hari Deepavali.

Saya amat teruja kerana apabila tibanya Pesta Cahaya, saya dapat melihat warna-warni perayaan ini disambut dengan meriah sekali. Sesungguhnya sambutan Majlis Hari Deepavali di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah pada malam ini menjadi lambang keutuhan dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini khasnya.

Malah, saya juga dimaklumkan bahawa persembahan-persembahan pada hari ini adalah dari kalangan warga Bukit Tengah termasuk Sri Selve Vinayagar Urumi Melam dari Juru, tarian tradisional bangsa Cina dari Perkampungan Juru dan nyanyian lagu Melayu dari Bukit Kechil Juru. Sememangnya, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam perayaan sebegini menunjukkan toleransi antara kaum di negeri ini secara keseluruhan.

Ini membuktikan bahawa perbezaan perayaan tidak menjadi penghalang kepada kebersamaan kita semua, sebaliknya kepelbagaian dari segi budaya, agama dan etnik ini menjadi satu keunikan yang diraikan dengan penuh makna.

Semoga nilai-nilai murni ini akan terus diterapkan dan menjadi kekuatan sebagai sebuah keluarga, selaras dengan pembentukan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara di samping menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Mengambil peluang ini, saya ingin berkongsi perasaan saya apabila menjejakkan kaki di atas ‘Silicon Island’ pada pagi tadi. Terharu, teruja dan begitu bersyukur kerana setelah sekian lama akhirnya projek berkaitan dapat dilaksanakan.

‘Silicon Island’ iaitu projek tambakan bahagian selatan pulau Pulau Pinang (PSI) merupakan sebuah projek pembangunan strategik jangka masa panjang yang membawa impian seluruh rakyat Pulau Pinang. Dengan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, lokasi ‘Silicon Island’ juga adalah amat strategik terutamanya untuk terus menarik pelaburan ke negeri ini.

Malah, melalui pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, Green Tech Park; hab perkhidmatan perniagaan global atau GBS Campus; pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau, projek berkaitan dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion dan pelaburan sebanyak RM74.7 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan yang akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya anak-anak kita dan juga negara secara keseluruhan.

Di sini, ingin juga saya berkongsi perangkaan terkini pelaburan negara yang mana Pulau Pinang terus mencatatkan prestasi amat memberangsangkan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya bagi sektor pembuatan. Terbaru, berdasarkan sumber daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dikeluarkan pada 6 Disember lalu, Pulau Pinang Pinang tersenarai antara lima negeri yang telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara berjumlah RM44.9 bilion dari Januari hingga September 2023. Pulau Pinang berada di kedudukan kedua selepas Persekutuan Kuala Lumpur (RM48.9 bilion) diikuti Selangor (41.6 bilion), Kedah (RM22.6 bilion) dan Johor (RM20 bilion) yang mana kelima-lima negeri ini menyumbang sebanyak 60.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh berkaitan. Oleh hal demikian, Kerajaan Negeri optimis bahawa ekosistem pelaburan negeri akan lebih berdaya saing selepas ‘Silicon Island’ berjaya direalisasikan kelak.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan pada malam ini, sekali lagi tahniah diucapkan kepada YB Gooi Hsiao-Leung dan pasukan serta rakan-rakan di jabatan dan agensi lain yang turut sama menjalinkan kerjasama yang baik dalam memastikan kelancaran program ini.

Semoga sambutan Hari Deepavali terus memupuk nilai perpaduan yang menjadi tunjang penting kepada pembangunan serta kesejahteraan kepada Pulau Pinang dan rakyatnya secara keseluruhan. Sekian, terima kasih.

DEEPAVALI, Bukit Tengah

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang