PERUTUSAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PENERBITAN BULETIN TAHUNAN DEWAN PERHIMPUNAN CINA PULAU PINANG 2024
PERUTUSAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PENERBITAN BULETIN TAHUNAN DEWAN PERHIMPUNAN CINA PULAU PINANG 2024
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang kerana memberikan peluang untuk saya berkongsi sepatah dua kata dalam penerbitan ini. Syabas juga saya ucapkan kepada Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di atas penerbitan Buletin Tahunan Dewan Tahun 2024 pada kali ini.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Tan Koon Hai kerana di bawah kepimpinan beliau serta barisan ahli jawatankuasa yang menjadi tulang belakang kepada persatuan ini, ia telah banyak memberikan sumbangan kepada seluruh lapisan masyarakat di Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang.
Saya yakin semua telah mengambil maklum bahawa Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang merupakan salah satu penyumpang besar masyarakat dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik. Sebagai Ketua Menteri, saya amat bangga kerana Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat, yang membolehkan penyaluran bantuan lebih cepat disampaikan serta masalah rakyat diselesaikan secara lebih efisien.
Dalam kita mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2023 dan menyambut tahun baru, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2024 kepada semua. Mengimbas kembali, 2023 merupakan tahun yang mencabar dan penuh dengan suka serta duka bagi pembangunan negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri kini mengorak langkah di bawah lembayung Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara untuk merealisasikan projek-projek mega seperti aliran transit ringan (LRT), projek pembesaran lapangan terbang serta projek ‘Silicon Island’ di samping sentiasa menarik pelaburan dari dalam dan luar negara demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pulau Pinang tampil sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus bagi tempoh suku ketiga dari bulan Januari hingga September 2023, dengan mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan iaitu RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan. Sudah pasti, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama daripada pihak swasta ataupun pertubuhan persatuan seperti Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang. Oleh itu, ribuan terima kasih saya ucapkan.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya akan terus mengekalkan kecemerlangan dan kejayaan yang telah dicapai. Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha menoktahkan kemiskinan tegar, meningkatkan dan mempelbagaikan ekosistem ekonomi Pulau Pinang, meneroka sumber ekonomi baharu, mengukuhkan rantaian bekalan makanan, mencungkil bakat anak-anak dalam bidang akademik, sukan dan kreatif serta menumpukan perhatian kepada aspek-aspek penting dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang mampan.
Saya ingin tegaskan bahawa dalam segala usaha pembangunan di Pulau Pinang, kesejahteraan merupakan fokus utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, saya ingin mengajak Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang untuk berdiri teguh bersama-sama pentadbiran ini untuk membantu memperkasakan pembangunan sosial bagi meningkatkan indeks kebahagiaan warga Pulau Pinang supaya negeri ini terus menjadi destinasi yang selamat dan mudah didiami, bekerja serta dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan jua luar negara.
Sebagai penutup kata, pada 2024 ini, saya berharap Pulau Pinang akan membuka lebih banyak peluang pembangunan dan kehidupan penduduk akan menjadi lebih baik. Marilah kita bersama-sama berganding bahu demi menjadikan Pulau Pinang negeri termaju dalam negara. Selamat Tahun Baru 2024, dan semoga Pulau Pinang sentiasa makmur serta harmoni.
Sekian, terima kasih.