CITY WALK 1.1.24

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA ‘CITY WALK 1.1.24’

 

1 JANUARI 2024 (ISNIN) | 7.00 PAGI

 

JALAN PADANG KOTA LAMA

Terima kasih kepada saudara/i pengacara majlis.

 

YB Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

 

YBhg. Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Barisan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

YBrs. Sr. Cheong Chee Hong

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ketua-Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Para Penaja; Rakan-Rakan Media

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2024.

Terlebih dahulu, saya amat berbesar hati berada di sini untuk bersama-sama dengan para hadirin yang saya sayangi sekalian bersempena penganjuran acara City Walk 2024 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) saban tahun pada hari pertama tahun yang baru. Acara ini merupakan pembuka tirai kepada setiap tahun baru yang kita nanti-nantikan serta raikan, dan kini menjadi sebuah tradisi kepada MBPP yang bukan sahaja melambangkan semangat perpaduan dan kebersamaan, malah juga menjadi sebuah aktiviti wajib bagi keluarga besar Pulau Pinang.

Sekadar perkongsian, City Walk ini juga dianjurkan bersempena Hari Bandaraya (City Day), yang mana George Town telah menerima status bandar daripada Queen Elizabeth II melalui Royal Charter, dan menjadi bandar yang pertama di Malaya pada 1 Januari 1957.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Meskipun acara ini bermula dari awal pagi, saya berasa amat terharu melihat lebih daripada 5,000 peserta yang hadir pada hari ini, di antaranya ramai ibu bapa yang bangun awal dan membawa anak-anak kecil mereka untuk bersama-sama dalam aktiviti riadah yang penuh bermakna ini. Terbukti, acara seperti ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menrealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah mewujudkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

George Town adalah bandaraya kita, dan bandaraya ini penuh dengan nilai sejarah. Ketika perjalanan mengelilingi bandaraya sebentar lagi, kita akan melalui pelbagai mercu tanda di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Selain daripada menikmati keindahan persekitaran, marilah kita bersama-sama menghargai nilai sejarah serta warna-warni kepelbagaian budaya yang telah terpateri di tanah ini. Hakikatnya, nilai sejarah dan kepelbagaian budaya yang dikongsi serta ditoleransi di bandar ini telah membentukkan kita semua untuk menjadi sebuah komuniti yang berdaya tahan dan harmoni.

Hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong dan amat menggalakkan rakyat untuk menyertai acara-acara riadah komuniti. Justeru, Kerajaan Negeri giat menyediakan infrastrutur baru dan menaik taraf kemudahan sedia ada seperti taman-taman poket di kawasan perumahan, gelanggang-gelanggang futsal dan bola keranjang serta trek jogging di taman-taman bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar, Ahli Majlis-Ahli Majlis, pucuk pemimpin dan seluruh warga MBPP yang tidak pernah gagal menganjurkan acara tahunan berjalan kaki ini. Ribuan terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa pengelola yang bertungkus lumus memastikan penganjuran pada kali ini dapat dijalankan dengan lancarnya.

Saya tidak berniat untuk berucap panjang. Semoga acara City Walk 1 Januari 2024 ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga Pulau Pinang daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah juga dapat mengukir kenangan manis kepada semua peserta di samping aktiviti riadah yang sihat.

Sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2024 kepada semua. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang