MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BIL. 1 TAHUN 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BIL. 1 TAHUN 2024
9 JANUARI | 9 PAGI
GRAND BALLROOM THE TOP, KOMTAR
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, izinkan saya memanjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk kita semua berkumpul pada pagi ini. Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada para hadirin sekalian yang sudi untuk hadir bagi menyerikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bilangan 1 bagi tahun 2024.
Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang. Semoga tahun 2024 ini membawa kebahagiaan, kejayaan, dan kemajuan kepada kita semua. Tahun baru menandakan permulaan yang baru dan dengan semangat baru ini, semoga kita semua dapat terus meningkatkan usaha dan berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat dan negara.
Kepada semua para penjawat awam Negeri dan Persekutuan, terima kasih atas segala komitmen dan dedikasi anda sepanjang perkhidmatan sehingga hari ini. Ketahuilah bahawa setiap daripada anda merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam menjayakan misi dan visi pentadbiran ini. Ketelusan, kerjasama dan komitmen yang telah ditonjolkan adalah asas kejayaan kita bersama.
Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada Kerajaan dan rakyat, saya telah mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 3,867 penjawat awam negeri. Inisiatif tersebut merupakan satu penghargaan bagi penjawat awam Negeri Pulau Pinang yang telah mencapai pelbagai kejayaan dalam perkhidmatan pada tahun lalu. Umumnya, negeri Pulau Pinang amat beruntung kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan telus dan jayanya. Anda semua adalah tulang belakang kepada pembangunan dan kejayaan di negeri ini. Bagaikan aur dengan tebing, kejayaan ini juga mencerminkan sinergi antara pemimpin serta penjawat awam dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan pembangunan negeri yang mampan serta lestari.
Tidak lupa juga, saya ucapkan tahniah kepada Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah dilantik pada Ogos tahun lalu bagi membantu dalam usaha mengurus tadbir negeri Pulau Pinang. Saya berharap agar barisan Exco yang telah dilantik ini menunjukkan kewibawaan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan portfolio masing-masing, dalam masa sama, dapat membawa negeri ini mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri khususnya dan negara amnya, serentak mengurangkan impak ekoran kenaikan kos sara hidup serta mengurangkan defisit negeri.
Yang Berhormat Datuk Seri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Bajet 2024 yang telah dibentangkan pada November lalu disediakan berdasarkan prinsip outcome dengan menitikberatkan keberhasilan kepada setiap perancangan negeri demi kesejahteraan rakyat. Menyedari jurang defisit negeri yang semakin melebar, Kerajaan Negeri komited dalam merangka dan melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri. Langkah ini sekaligus supaya memastikan Visi Penang2030 berada pada landasan yang betul. Tahun lalu, Visi Penang2030 telah mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus, bersamaan kejayaan sebanyak 210 projek dan program. Tahun ini, saya yakin dengan kerjasama serta komitmen daripada semua, kita akan mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi dalam usaha untuk merealisasikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengarahkan perhatian ke lapan bidang keutamaan untuk lima (5) tahun akan datang. Antaranya termasuk peluang pekerjaan, pembangunan jaringan ekosistem, ketersambungan jaringan pengangkutan dan penambahbaikan aliran trafik, strategi mengatasi isu perubahan iklim, pembekalan air, pembangunan komuniti termasuk belia, wanita, dan warga emas, TBB atau 'energy transition', serta sumber pendapatan baharu di samping pelaksanaan projek-projek mega infrastruktur
Kerajaan Negeri amat serius dalam menerokai penjanaan pendapatan baharu dalam menangani anggaran perbelanjaan defisit dalam Bajet Negeri Tahun 2024. Justeru, pelbagai langkah dan inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan negeri ini mempunyai sumber pendapatan baharu. Kini, kita sedang menunggu keputusan kajian sumber minyak serta gas yang berkualiti tinggi di perairan Pulau Pinang. Hasil penemuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang kelak. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menumpukan perhatian kepada Peralihan Tenaga Boleh Baharu (TBB) pembinaan ladang solar serta menggalakkan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) untuk terus menerokai sumber-sumber baharu dan diberi hala tuju baharu supaya lebih bersifat ‘Enterprises Agencies’.
Usaha-usaha tersebut merupakan antara langkah yang proaktif untuk memperkasakan pembangunan negeri Pulau Pinang dalam memastikan negeri ini terus mengekalkan malah meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti yang telah dibuktikan pada tahun-tahun sebelum ini. Pelaksanaan usaha-usaha ini memainkan peranan penting dalam menangani cabaran semasa serta mampu membawa negeri ini ke arah masa depan yang lebih baik. Semoga usaha ini akan terus berjaya dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Pulau Pinang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya amat bersyukur kerana sekali lagi diberikan kepercayaan dilantik sebagai Ketua Menteri di negeri ini. Dalam usaha meneruskan mandat ini, Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang telah dilancarkan pra Pilihanraya Negeri tahun lalu oleh Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim. Selain daripada memfokuskan kepada lonjakan kedua ekonomi baharu sejajar dengan landasan Ekonomi Madani, manifesto ini berobjektif sebagai komitmen dalam menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada golongan sasaran serta kepada mereka yang memerlukan. Dalam usaha menjadi sebuah negeri ‘Inspirasi Negara’, adalah amat penting kepada Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat merasai manfaat daripada hasil kemajuan negeri ini. Di sinilah peranan para penjawat awam untuk turut bersama-sama turun padang dalam memastikan tiada lagi penduduk di negeri ini yang tercicir daripada pelbagai aspek.
Dengan tema "Kita Penang, Kita Boleh!", Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang memaparkan 16 tema utama dan keseluruhan 50 inisiatif. Setiap tema dan inisiatif tersebut tidak hanya menjadi panduan tetapi juga teras perjuangan dan amanah Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang. Melalui manifesto ini, hasrat Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang adalah selaras dengan konsep Malaysia Madani untuk membawa setiap warganya ke arah kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, slaing menghormati, berkeyakinan serta tinggi nilai ihsan di dalam diri masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Seri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 2 Januari lalu. Di bawah lembayung Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Majlis Statistik Dan Data Negeri telah bersetuju memberikan kerjasama terhadap pelaksanaan PADU ini.
Demi pembangunan sosioekonomi yang mampan, PADU dapat membantu kerajaan dalam pengurusan belanjawan negeri dan negara dengan lebih strategik. Sistem ini berpotensi untuk menambah baik pengurusan bantuan serta subsidi dengan menyasarkan kepada individu dan isi rumah yang benar-benar layak untuk menerimanya. Saya juga difahamkan bahawa sistem ini juga berupaya untuk membantu dalam memantapkan pengurusan bencana dan krisis, serta membantu usaha kerajaan berkaitan isu ketidaksepadanan pekerjaan dan pendidikan yang semakin disuarakan oleh rakyat ketika ini.
Sebagai sebuah negeri yang dijangka menjadi salah satu negeri dengan populasi warga emas terbanyak di Malaysia menjelang tahun 2040, saya teruja apabila mengetahui bahawa PADU turut berpotensi untuk membantu dalam usaha persiapan negara menghadapi penduduk menua selain dapat membantu dalam mengatasi ketidakseimbangan perlindungan sosial di Malaysia.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mengambil inisiatif ini dengan mengemas kini maklumat isi rumah masing-masing seterusnya mewar-warkan pelaksanaan PADU kepada masyarakat di luar sana. Saya turut difahamkan bahawa DOSM akan membuka kaunter di beberapa Pusat Khidmat Masyarakat ADUN dalam minggu ini. Syabas diucapkan atas tindakan yang pantas ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek yang telah dirancang, kita sebagai penjawat awam adalah dituntut untuk bersikap adil, telus dan efisien dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Rasa tanggungjawab serta patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam diri setiap penjawat awam dengan menjunjung ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan serta menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.
Menerusi etika dan sifat tanggungjawab yang tinggi, agenda negara dapat dilaksanakan secara efektif dengan penuh dedikasi. Saya faham, bukan mudah untuk kita semua menjadi penjawat awam kerana kita akan sentiasa dipantau, diperhatikan dan diadili rakyat atas kebolehan kita melaksanakan tugas serta amanah. Namun, perkara ini perlu kita lihat secara positif agar setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Laksanakanlah amanah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri yang tercinta.
Mari kita bersama-sama menjadikan tahun 2024 sebagai tahun kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi. Saya yakin dengan semangat kesetiaan dan keperibadian yang kita tunjukkan hari ini, kita dapat membawa negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih cemerlang.
Saya juga ingin mengingatkan bahawa mulai esok sehingga 14 Januari, negeri kita akan menghadapi kesukaran kerana terdapat gangguan berjadual dalam pembekalan air bersih kepada majoriti lokasi di negeri ini. Saya berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya bersabar dalam melayani soalan dan permintaan daripada rakyat kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita. Kita semua adalah cerminan kepada pentadbiran ini, justeru, saya berharap agar semua dapat memberi kerjasama yang utuh dalam mengendalikan keadaan ini dengan sebaik-baiknya.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada urusetia yang telah bekerja keras untuk menyusun majlis ini. Kerja mereka yang teliti dan penuh dedikasi telah menjadikan perhimpunan ini berjaya dijalankan pagi ini.
Sebelum saya sudahi ucapan ini, izinkan saya menyampaikan dua (2) rangkap pantun:
Tahun 2023 berlabuh pergi,
Pelbagai dugaan telah dihadapi.
Namun usaha tidak berhenti,
Semangat jati diri masih utuh berdiri.
Tahun 2024 telah menjelma,
Suka duka, usaha dan doa kita bersama.
Apa pun azam kita semua,
Moga tercapai hendaknya.
Sekian, terima kasih.