LAWATAN KE KUIL ARULMIGU BALATHANDAYUTHAPANI TEMPLE (WATERFALL HILLTOP TEMPLE) BERSEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM 2024  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA LAWATAN KE KUIL ARULMIGU BALATHANDAYUTHAPANI TEMPLE (WATERFALL HILLTOP TEMPLE) BERSEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM 2024

 

25 JANUARI 2024 (KHAMIS) | 3.45 PETANG


KUIL THANNEERMALAI BALATHANDAYUTHAPANI DEVASTANAM ((HILLTOP)

 

 Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, izinkan saya memanjatkan kesyukuran atas kesempatan kepada kita semua untuk berkumpul pada petang ini bagi meraikan penganjuran acara tradisi yang disambut dengan penuh bermakna ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) dan Jawatankuasa Pengurusan Kuil Arulmigu Sree Balathandayuthapani Devasthanam atas jemputan kepada saya sempena Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam Tahun 2024.

Sejak semalam lagi, Pulau Pinang telah dibanjiri dengan penganut serta pelancong dari dalam dan luar negara yang menandakan bahawa upacara ini sememangnya dinanti-nantikan oleh semua pihak. Jawatankuasa Kuil Arulmigu Sree Balathandayuthapani Devasthanam juga telah menjangkakan hampir 1.5 juta individu yang menyertai hari bersejarah ini bagi melaksanakan aktiviti keagamaan termasuk menunaikan nazar.

Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengalu-alukan kehadiran semua pihak ke Pulau Mutiara ini. Sesungguhnya, kami di Pulau Pinang amat berbesar hati dan gembira dengan kunjungan yang sudah tentunya bukan sahaja menyokong dan memeriahkan lagi Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam 2024, malah juga mampu mempromosikan kekayaan budaya yang telah lama terpateri di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Semalam, saya berkesempatan untuk menyertai acara walkabout sepanjang Jalan Utama ke Jalan Kebun Bunga, dan berpeluang untuk turut mengunjungi ‘thanir panthal’ atau barisan khemah-khemah kecil yang telah didirikan dengan struktur yang menarik dan hiasan berwarna-warni.

Dalam pada itu, saya juga turut berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis kudapan yang disediakan di setiap ‘thanir panthal’ dari pelbagai pihak termasuk syarikat swasta serta pemain industri. Saya percaya inilah sebenarnya antara kekuatan dan keistimewaan yang menjadikan acara Thaipusam di negeri ini lebih unik dan menarik. Semoga tradisi dan keunikan ini akan terus dikekalkan supaya dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan segala perancangan dan hala tuju yang telah direncanakan supaya ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha mengekalkan pembangunan yang seimbang serta keharmonian beragama dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Ini termasuk dengan perancangan bagi perarakan pedati emas dan perak ataupun lebih dikenali sebagai ‘Silver dan Golden Chariot’ pada tahun ini untuk bermula dan membuat perarakan secara bersama sehingga mencapai destinasi.

 


Hadirin yang dihormati sekalian,

Mengambil peluang ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PHEB, serta semua jawatankuasa penganjur di atas segala persiapan yang telah dilaksanakan bagi menjayakan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang pada tahun ini. Saya berharap agar PHEB di bawah kepimpinan Saudara Sanisvara Nethaji Rayer akan terus melaksanakan komitmen dan peranan secara konsisten dalam usaha memperkasakan rakyat di Pulau Pinang khususnya masyarakat India. Kerajaan Negeri berharap komitmen serta jalinan kerjasama ini dapat terus diperkasakan demi kemajuan dan pembangunan komuniti India di negeri ini secara keseluruhannya.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta kepada PHEB. Semoga sumbangan ini dapat membantu dalam kelancaran perayaan Thaipusam 2024 selain membantu dalam pelaksanaan acara-acara keagamaan, kemasyarakatan serta bantuan-bantuan kepada pihak yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Selamat Menyambut Hari Thaipusam! Vel Vel!

Sekian, terima kasih. Nandri. Vanakam.

THAIPUSAM

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang