MAJLIS PERASMIAN PINTU GERBANG KEPALA BATAS
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PINTU GERBANG KEPALA BATAS
29 JANUARI 2024 (ISNIN) | 9 MALAM
BERHADAPAN WISMA UMNO, KEPALA BATAS
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan kepada saya untuk hadir bersama-sama dalam Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kepala Batas pada hari yang mulia ini.
Umumnya, pembinaan pintu gerbang sering kali dijadikan sebagai lambang persempadanan atau mercu tanda bagi sesebuah lokasi. Kepala Batas meliputi kawasan seluas 138 kilometer persegi yang padat dengan pelbagai aktiviti ekonomi, pelancongan dan pendidikan. Tambahan pula, dengan pembukaan Bertam Souk & Waterpark, daerah ini semakin menjadi tarikan pengunjung, maka sudah tiba masanya untuk sebuah mercu tanda dibangunkan bagi meraikan kehadiran pengunjung ke Kepala Batas, dan pada masa sama, memberikan penghargaan kepada penduduk setempat yang telah menginap serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan ini.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana tanpa sokongan pucuk pimpinan di Putrajaya, maka projek ini tidak akan direalisasikan. Sebagai makluman, Pintu Gerbang Kepala Batas ini merupakan salah satu daripada tiga (3) projek yang telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2022 dengan kos sebanyak RM1.047 juta. KPKT telah membiayai kos projek sebanyak RM1 juta dan selebihnya oleh MBSP.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di bawah kepimpinan Datuk Bandar, Dato’ Azhar bin Haji Arshad atas pembinaan pintu gerbang Kepala Batas ini. Pintu gerbang ini semestinya akan memperindahkan lagi landskap persekitaran di kawasan Kepala Batas ini.
Reka bentuk melengkung yang diadaptasi memberikan elemen minimalisme dan kesan visual menarik kepada pengunjung yang melalui jalan ini. Ditambah dengan elemen pencahayaan lampu berwarna kuning dan biru melambangkan warna bendera negeri kita. Pujian harus diberikan kerana MBSP telah menggunakan panel solar untuk memberi bekalan elektrik kepada lampu LED dan logo yang terdapat di pintu gerbang ini. Aspek penjimatan kos serta penerapan ciri-ciri ’green environment’ dalam reka bentuk pintu gerbang ini merupakan langkah yang bijak selaras dengan gagasan Visi Penang2030 dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Saya tidak berhasrat untuk berucap panjang, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan pembinaan mercu tanda ini. Dengan ini, sukacitanya saya merasmikan Pintu Gerbang Kepala Batas.
Sekian terima kasih