MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK MENAIK TARAF STESEN BUKIT BENDERA (FASA 4)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA

MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK MENAIK TARAF STESEN BUKIT BENDERA (FASA 4)

 

3 FEBRUARI 2024 (SABTU) | 11 PAGI

 

STESEN ATAS BUKIT BENDERA

 

Salam sejahtera, Salam Visi Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

  

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua para hadirin yang sudi untuk bersama-sama kita pada pagi yang mulia ini. Syukur, kita dapat bersama-sama berkumpul bagi meraikan pembukaan semula Stesen Bukit Bendera yang telah dinaik taraf setelah beberapa tahun sejak gerak kerja penambahbaikan telah dimulakan.

 

 Saya amat bangga melihat Stesen Bukit Bendera baru dinaik taraf ini yang bakal menjadi mercu tanda seni bina mengagumkan kerana ia dibina dengan menggabungkan bangunan asal berusia 100 tahun dengan struktur moden tambahan untuk membentuk sebuah bangunan yang canggih dan mempunyai pelbagai fungsi. Umumnya, projek menaik taraf fasa empat (4) yang mengambil masa hampir tiga (3) tahun untuk disiapkan ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan pengunjung di Bukit Bendera.

  

Selari dengan Visi Penang2030 ke arah mencapai status sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’, bangunan yang canggih ini dibina berteraskan empat (4) objektif utama iaitu keselesaan, aksesibiliti, pendidikan dan amalan hijau. Sesuai dengan status Bukit Bendera sebagai tarikan pelancong dari dalam dan luar negara, stesen ini kini boleh menempatkan lebih daripada 700 orang dengan penambahan satu (1) tingkat baharu berbanding dengan kapasiti asal yang hanya boleh memuatkan seramai 200 orang dalam satu-satu masa.

 

 Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Arkitek LLA iaitu pihak yang bertanggungjawab untuk mereka bentuk projek ini yang mengambil kira kepentingan tempat berteduh untuk pengunjung berlindung semasa hari hujan. Selain itu, bangunan ini juga dilengkapi dengan eskalator dan lif penumpang bagi meningkatkan aksesibiliti kepada semua pengunjung bagi memudahkan semua pihak menikmati keindahan di Bukit Bendera ini.

 

 Hadirin yang dihormati sekalian,

 Saya juga ada melihat bangunan ini dibina dengan membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai Bukit Bendera melalui informasi-informasi yang dipaparkan di dinding-dinding sekitar. Strategi ini sekaligus mampu menambahkan pengetahuan para pengunjung mengenai sejarah Bukit Bendera khususnya dan Pulau Pinang umumnya kerana kita kini berdiri di salah sebuah Rizab Biosfera yang kaya dengan biodiversiti serta warisan dunia yang amat penting untuk diketengahkan bagi membentuk sebuah masyarakat berpengetahuan dan cintakan negara yang tersulam dengan pelbagai peristiwa dalam lipatan sejarah ibu pertiwi ini.

 

 

Serentak itu, saya turut difahamkan bahawa selain daripada pembukaan semula Skylift untuk kegunaan pengunjung, stesen ini kini turut dilengkapi dengan laluan pejalan kaki ke David Brown's Restaurant & Tea Terrace. Ciri-ciri ini bakal menambahkan lagi nilai kepada Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan berorientasikan keluarga, dan pada masa yang sama dapat merangsang perniagaan di sekitarnya.

  

Melalui Visi Penang2030, adalah amat penting bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memupuk penggunaan teknologi pintar serta hijau dalam pelbagai platform termasuk dalam menjalankan sesuatu operasi atau perniagaan di seluruh negeri ini. Berpandukan prinsip ini, saya bangga melihat Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) telah mempraktikkan amalan hijau dan lestari termasuk menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, penuaian air hujan, menggunakan peralatan cekap tenaga serta sistem automatik untuk mengawal lampu. Dengan adanya langkah-langkah efektif ini, saya yakin PBBPP mampu mendapat pengiktirafan kategori emas bagi Green Building Index (GBI) yang sedang diusahakan ketika ini.

 

 Hadirin yang dihormati sekalian,

 Saya sedar bahawa terdapat pelbagai variasi nama untuk stesen ini terutamanya dalam kalangan penduduk Pulau Pinang sendiri. Ada yang memanggil Stesen Atas Bukit Bendera (Penang Hill Upper Station), dan ada juga yang mengenalinya sebagai Penang Hill Top Station. Sempena hari yang penuh bermakna dan akan tercatat sebagai hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan secara rasmi penamaan semula stesen ini kepada "Stesen Bukit Bendera" (Penang Hill Station). Stesen di kaki bukit pula dikenali secara rasmi sebagai "Stesen Bawah Bukit Bendera" (Penang Hill Lower Station).

 

 Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada YBhg. Dato’ P’ng Soo Hong, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Operasi Pembuatan First Solar Malaysia Sdn. Bhd. kerana menyokong inisiatif hijau Bukit Bendera dengan menaja panel-panel solar untuk digunakan di sekitar Bukit Bendera termasuk di atas bumbung stesen ini, di Penang Hill Gallery@Edgecliff serta Stesen Bawah Bukit Bendera. Malah, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Arkitek LLA Sdn. Bhd., Perunding P.L.A, Perunding YAA Sdn. Bhd., Unitech QS Consultancy Sdn. Bhd. dan Persada Satria (M) Sdn. Bhd. di atas kejayaan dalam menyempurnakan projek menaik taraf ini dengan baik.

 

 Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam menambah baik dan menaik taraf Bukit Bendera supaya ia menjadi pusat peranginan pilihan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Suka juga saya nyatakan bahawa terdapat beberapa lagi projek menarik yang akan dilaksanakan di Bukit Bendera oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang dalam masa terdekat ini. Antaranya, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang giat dilaksanakan serta projek fasa Lima (5) iaitu menaik taraf Astaka Bukit Bendera yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Maklumat mengenai projek-projek ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  

Saya yakin dan percaya bahawa dengan iltizam, kesungguhan dan semangat tidak putus asa saya bersama warga PBBPP, usaha-usaha ini akan mempertingkatkan daya tarikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf antarabangsa.

  

Dengan ini, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Projek Menaik Taraf Stesen Bukit Bendera (Fasa 4).

  

Sekian, terima kasih.

Bukit Bendera

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang