MAJLIS PELANCARAN AMBULANS 24 JAM SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PELANCARAN AMBULANS 24 JAM SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2024

 

4 FEBRUARI 2023 (AHAD) | 3 PM

 

GREATECH INTEGRATION (M) SDN. BHD. (BK3)

  

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis yang amat bermakna ini bagi merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ambulans 24 jam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024.

Seperti yang sedia maklum, setiap kali tibanya musim perayaan, berita kemalangan jalan raya sering kali memenuhi ruang-ruang berita tidak kira sama ada di surat khabar mahupun media dalam talian. Sebagai Ketua Menteri, umumnya, saya amat berterima kasih dan berbangga kerana pihak Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Pulau Pinang amat komited dalam kerja-kerja menyokong dan membantu agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta hospital-hospital kerajaan dalam pelaksanaan Ops Selamat sempena musim perayaan.

Dimaklumkan bahawa tahun ini, sebanyak empat (4) pusat perkhidmatan ambulans BSMM Negeri Pulau Pinang akan bertugas selama 24 jam sempena sambutan Tahun Baru Cina. Program Ops Selamat Perkhidmatan Ambulans 24 Jam ini bakal bermula dari 7 Febuari sehingga 13 Febuari tahun ini. Saya dengan ini dahulukan dengan ucapan terima kasih di atas inisiatif yang diusahakan.

Lazimnya, apabila berlakunya sebarang kecemasan perubatan atau trauma, adalah penting untuk ambulans tiba di lokasi kecemasan dalam tempoh masa singkat bagi memberi rawatan pra-hospital dan seterusnya membawa mangsa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Saya difahamkan bahawa ahli-ahli BSMM Negeri Pulau Pinang yang bertugas dalam operasi ini adalah terlatih dalam perawatan pra hospital dan bantuan hidup asas yang mana ia adalah amat penting kepada mangsa kemalangan, kes-kes perubatan serta trauma yang sering berlaku semasa musim perayaan.

Hadirin yang dihormati,

 

 

Pada hari yang berbahagia ini, saya amat syukur apabila melihatkan pelbagai pihak bersatu padu dalam usaha membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjaga kebajikan rakyat di negeri ini. Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Seri Tan Eng Kee yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Greatech Technology Berhad (Greatech) di atas sumbangan sebuah ambulans bernilai RM200,000 dan juga tajaan RM25,000 untuk program Ops Selamat Tahun Baru Cina BSMM Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Greatech turut menunjukkan komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat serta pendidikan melalui sumbangan amal menerusi program 'Great Care Day 2024' pada hari ini yang mana sebanyak RM500,000 telah disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pure Lotus Hospice of Compassion bagi menyokong pembiayaan operasi harian perkhidmatan rawatan kanser kritikal kepada pesakit memerlukan. Dalam pada itu, saya juga difahamkan bahawa pihak berkenaan juga telah menyumbangkan 13 unit Classroom Smart Board dengan nilai keseluruhan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Cina Pulau Pinang. Malah, sejumlah RM200,000 turut disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua untuk membina sebuah perpustakaan digital di sekolah berkenaan.

Sekalung penghargaan dan adalah diharapkan lebih banyak persatuan dan syarikat korporat lain dapat mengikuti jejak langkah BSMM Pulau Pinang dan Greatech untuk bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Negeri khasnya bagi memperluaskan khidmat bakti kepada rakyat yang memerlukan di negeri ini.

 

Hadirin sekalian,

Sebagai penutup kata, sekali lagi tahniah kepada barisan penganjur dalam bersama-sama menjayakan penganjuran program pada hari ini.

Mengambil kesempatan di sini juga, saya menyeru semua pengguna jalan raya supaya senantiasa berhati-hati sewaktu memandu dan mengamalkan sikap berwaspada. Sekiranya anda berasa letih semasa memandu, sila berhenti berehat di ruang rehat disediakan sebelum memulakan perjalanan, dan sebelum memulakan perjalanan, perlu dititikberatkan adalah untuk memeriksa keadaan kenderaan masing-masing sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah ini.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ambulan 24-jam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang