MAJLIS IFTAR RAKYAT BERSAMA WARGA PENDIDIK

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS IFTAR RAKYAT BERSAMA WARGA PENDIDIK

DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH

 

 

1 APRIL 2024 (ISNIN) | 6.45 PETANG

 

 

DEWAN AL-KHAWARIZMI,

SMK PERMATANG PASIR

 

 

 

Terima kasih saudara/i pengerusi majlis.

[Salutasi]

 

 

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua hadirin yang beragama Islam. Saya bersyukur kerana pada hari ini, saya berkesempatan untuk bersama-sama warga pendidik dalam majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Hadirin yang saya muliakan,

 

Kerajaan  Negeri  Pulau Pinang  sememangnya  amat  menghargai peranan dan sumbangan warga pendidik dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai Peneraju Transformasi Pendidikan Negara. Sebagai peneraju Saf  Kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya sentiasa memastikan pentadbiran ini kekal komited dalam  memperkasa sektor pendidikan demi pembangunan sosial anak-anak kita sentiasa terjamin.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas kepada tujuh (7) pelajar dan seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir ini yang telah berjaya mewakili Malaysia dalam pertandingan Robotik First Tech Challenge World Championship yang akan diadakan di Houston, Texas, Amerika Syarikat pada 17 sehingga 20 April 2024. Kejayaan  anak-anak  ini  membuktikan kesungguhan dan bakat mereka dalam bidang teknologi sekaligus mencerminkan sumbangan  serta  komitmen  guru  yang berjaya melahirkan generasi yang hebat dan berketerampilan.

Dalam usaha Kerajaan  Negeri  Pulau Pinang mencapai Visi Penang2030, sememangnya  penglibatan  masyarakat  termasuk  warga  pendidik  adalah amat   diperlukan  dan  menjadi  antara  penggerak  utama  transformasi  negeri  ke satu  tahap  yang  lebih  maju. Pemerkasaan  rakyat  melalui  pendidikan merupakan aspek yang sangat penting bukan sahaja dalam bidang kokurikulum malah juga pendidikan pembangunan sahsiah dan identiti. Saya percaya, dengan melahirkan generasi yang berilmu baik dari segi pendidikan mahupun peribadi mampu memantapkan lagi ketamadunan kita sebagai rakyat Malaysia.

Warga pendidik yang dihormati,

Saya sedar, tidak mudah untuk menjadi seorang guru terutamanya di masa ini. Oleh itu, terima kasih saya ucapkan kepada segala pengorbanan anda semua sebagai warga pendidik. Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami akan meneruskan pelbagai bantuan sedia ada, dan pada masa yang sama menyusun inisiatif-inisiatif yang telah digariskan dalam Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 termasuk memudahkan proses pengajaran serta pembelajaran supaya tiada keciciran dalam kalangan anak-anak khususnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun, serentak itu turut menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di samping usaha-usaha lain. Penganjuran kelas-kelas serta kursus-kursus menerusi insititusi-institusi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau STEM iaitu Tech Dome Penang, Penang STEM, Penang Math Platform, Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang Digital Library untuk menggalakkan anak-anak kita lebih terdedah kepada bidang-bidang berkaitan yang mana amat diperlukan dalam pasaran kerja kini turut dipergiatkan. Ini adalah bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia sekaligus dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang berkhidmat dalam negeri ini supaya kemasukan tenaga kerja asing dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Hadirin sekalian, 

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menzahirkan sekalung penghargaan dan syabas diucapkan kepada  semua pihak yang  terlibat  dalam penganjuran  majlis iftar rakyat pada hari ini walaupun  dalam  tempoh  yang  singkat dan  kesibukan  menggalas  tugas  hakiki. Saya  mengucapkan selamat berbuka puasa, dan saya sentiasa  berdoa  semoga segala usaha dan kerja baik kita ini akan mendapat  rahmat serta keredhaan daripada Tuhan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang