IFTAR RAKYAT BERSAMA PESAWAH DAN PELATIH INSTITUT PERTANIAN

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA IFTAR RAKYAT BERSAMA PESAWAH DAN PELATIH INSTITUT PERTANIAN

29 MAC 2024 (JUMAAT) | 7 PETANG

DEWAN SRI PERDANA SMK DATO KAILAN,
PAYA KELADI

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak kepada semua umat Islam yang hadir bagi memeriahkan program pada hari yang berbahagia ini, khususnya para pesawah dan pelatih Institut Pertanian Bumbong Lima.

Hadirin yang dihormati,

Program Iftar Rakyat pada hari ini merupakan salah satu daripada program-program di bawah inisiatif ‘Gebyar Ramadan’ yang mana melalui inisiatif berkaitan, penganjuran majlis-majlis berbuka puasa dan tradisi memasak bubur lambuk terus dijalankan di semua daerah untuk meraikan komuniti masjid serta masyarakat setempat, golongan asnaf, warga pendidik, kakitangan barisan hadapan dan malam ini, bersama warga petani yang membanting tulang bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan di Pulau Pinang.

Saya percaya dengan penganjuran majlis-majlis seperti ini mampu mengeratkan lagi silaturahim antara kita supaya lebih mengukuhkan nilai-nilai toleransi, perpaduan dan rahmah untuk membentuk sebuah masyarakat Madani.

Bercakap soal keterjaminan makanan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius aspek tersebut dalam usaha menjadikan negeri ini sebuah negeri yang mampan serta mampu menghasilkan makanan untuk kegunaan dalam negeri dan dijual ke luar negeri malah juga dieksport ke luar negara. Dalam menyokong usaha tersebut, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang sebanyak RM990,000 pada tahun 2023.

Saya difahamkan peruntukan tersebut disalurkan kepada Program Pembangunan Tanaman Padi yang mana Daerah Seberang Perai Utara (SPU) merupakan daerah yang paling tinggi menerima peruntukan berjumlah RM350,000. Program tersebut memfokuskan kepada tiga (3) projek pembangunan pertanian iaitu Program Pemberian Input Serta Insentif Kepada Petani, Program Kawalan Keladi Agas dan Program Kawalan Tanah Jerlus di daerah ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

Sebagai makluman, hasil dari Crop Cutting Survey (CCS) telah menunjukkan bahawa Pulau Pinang masih mengekalkan hasil pengeluaran padi perkapita tertinggi setakat ini dengan pencapaian hasil pada tahun 2023 berjumlah 5.054 metrik tan per hektar. Walaupun memegang reputasi sebagai antara negeri yang terkecil dalam negara, purata hasil ini menunjukkan bahawa negeri ini masih mengekalkan tangga kedudukan tertinggi jika dibandingkan dengan purata hasil negeri-negeri penanam padi lain di Malaysia.

Dengan itu, setinggi-tinggi syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada para petani kerana hasil titik peluh anda semua bukan sahaja dapat memastikan nasi dihidang di atas meja makan kepada seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga telah meletakkan Pulau Pinang di tangga teratas hasil pengeluaran padi perkapita tertinggi selama lima (5) tahun berturut-turut, diekori rapat oleh negeri Selangor.

Tahniah juga saya ucapkan kepada YB Fahmi bin Zainol, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang yang menerajui semua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang terlibat dalam industri tanaman padi iaitu Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan Pertanian & Pembangunan Pertanian (MARDI) serta sokongan daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) serta BERNAS yang turut menyumbang kepada kejayaan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Dalam memastikan agenda keterjaminan makanan dan penjanaan pendapatan yang lebih tinggi kepada para petani di Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Negeri akan menjadikan subsektor makanan pertanian sebagai tumpuan utama. Tumpuan bakal merangkumi usaha memperkukuhkan rantaian bekalan makanan, menambah sokongan dan perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknologi dan menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik melalui myGAP.

Kerajaan Negeri meletakkan harapan semoga usaha-usaha tersebut akan berjaya meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan dengan kaedah meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan lebih tinggi dan yang penting, menarik generasi muda agropreneur yang akhirnya akan menambah sumbangan nilai tambah pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hadirin yang dihormati, saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang, saya berharap agar segala usaha-usaha yang telah dan bakal dilakukan mampu membantu para petani di negeri ini untuk terus menghasilkan pendapatan yang lumayan untuk menampung keluarga masing-masing, di samping melahirkan generasi agropeneur demi pembangunan ekonomi yang lebih kukuh.

Sebagai penutup kata, saya ingin mengucapkan selamat berbuka puasa dan selamat menjalani ibadah solat tarawih. Semoga semuanya dikurniakan dengan kesihatan yang baik supaya boleh menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang