MAJLIS BERBUKA PUASA DI MASJID JAMEK PERAI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA DI MASJID JAMEK PERAI

31 MAC 2024 (AHAD) | 7 PM

MASJID JAMEK PERAI

_____________________________________________

YB Dato’ Seri Sundarajoo Somu
Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai

YBrs. Tuan Haji Abdul Wahab Haniff
Pengerusi Kariah Masjid Jamek Perai

YBrs. Encik Suhairi Musa
Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Perai
Saudara Sri Sangar a/l Sivalingam Raman
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perai

YBrs. Encik Ir. Jauhar Mohamed
Pengurus Loji Janakuasa Malakoff Perai

YBrs. Encik Md Yuha Ismail
Pengurus Kanan, Hal Ehwal Korporat Malakoff Kuala Lumpur

Barisan ahli jawatankuasa kariah Masjid Jamek Perai dan MPKK.

Para Jemputan serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Ramadan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam. Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pengurusan Masjid Jamek Perai, yang telah berusaha bagi memastikan Majlis Berbuka Puasa dan Bantuan Ramadan pada petang yang berbahagia ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti yang saya nyatakan di majlis-majlis sama sebelum ini, Kerajaan Negeri sememangnya amat menghargai peranan dan jasa barisan kariah masjid, badan bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Sesungguhnya usaha murni ini bukan sahaja memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima, tetapi turut memudahkan urusan Kerajaan Negeri terutama dalam pengagihan bantuan-bantuan kepada golongan sasaran ini.

Saya difahamkan bahawa sumbangan daripada pihak Malakoff pada hari ini akan diberikan kepada seramai 30 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan rendah pendapatan. Diharapkan dengan sumbangan ini, ia dapat membantu dalam mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan terutamanya menjelang sambutan Syawal tidak lama lagi. Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada Malakoff kerana sudi menghulurkan bantuan kepada sebahagian rakyat Pulau Pinang yang memerlukan.

Hadirin sekalian,

Sebagai Ketua Menteri, saya amat menghargai dan terharu dengan pelaksanaan program mengedarkan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di sepanjang bulan Ramadan ini. Ia membuktikan bahawa budaya ini terus kukuh dalam kalangan masyarakat. Bahkan, penganjuran majlis berbuka puasa dan edaran bubur lambuk juga banyak melibatkan tetamu-tetamu yang bukan beragama Islam sekaligus membuktikan keteguhan nilai perpaduan di negeri ini. Justeru, saya telah bersetuju untuk meluluskan RM10,000 untuk kelancaran majlis ini supaya ianya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Saya juga difahamkan bahawa Masjid Jamek Perai ini juga merupakan masjid yang baru siap dibina dan telah beroperasi sejak bulan Ogos tahun lalu. Ia boleh menempatkan seramai 1,600 Jemaah dalam satu-satu masa. Pembinaan masjid ini merupakan salah satu bukti bahawa penyediaan infrastruktur buat ruang beribadah dan pengumpulan komuniti itu tidak pernah terhenti di Pulau Pinang. Melalui Visi Penang2030 yang dijadikan panduan untuk memacu negeri ini, sememangnya pemerkasaan rakyat melalui kepelbagaian program serta dasar yang sedang dan telah direncanakan mampu membawa golongan sasaran keluar dari kepompong sedia ada dan mengurangkan ketidaksamaan yang wujud.

Saudara dan saudari sekalian,

Saya tidak mahu berucap dengan lebih Panjang, sebagai penutup, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis ini. Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan rasa rendah diri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang