MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI KADUN KOMTAR

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS
RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI
KADUN KOMTAR
20 APRIL 2024 (SABTU) ; 745 PETANG
DEWAN KOMPLEKS TAMAN HARAPAN,
JALAN SP CHELLIAH
________________________________________

Terima kasih kepada saudara/saudari pengerusi majlis.

YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar

YB Wong Yuee Harng
ADUN Pengkalan Kota

Encik Wong Yi Hao
Wakil Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong YB Lim Hui Ying

Benji Ang Ming Quan
Ahli Majlis MBPP

Encik Hng Siah Hooi
Pengerusi MPKK Kampung Jawa

Encik Mohd. Hizer bin Omar
Penghulu Komtar

Semua Pengerusi dan AJK MPKK, JPWK, JBPP, Komuniti Madani KADUN Komtar dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Teh Lai Heng dan pasukannya berhubung penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KADUN Komtar pada hari ini. Sekalung penghargaan juga diucapkan kerana menjemput saya ke majlis ini saban tahun bagi bersama-sama meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri yang juga merupakan ‘hari kemenangan’ kepada rakan-rakan kita yang beragama Islam.

Penganjuran rumah terbuka dalam suasana penuh muhibah ini adalah gambaran sebenar hubungan harmoni yang terjalin antara kaum bukan saja di Pulau Pinang malah juga seluruh negara. Keistimewaan ini harus kita banggakan, dan tradisi amalan rumah terbuka perlu diteruskan dalam menyatukan dan menguatkan lagi ikatan kemasyarakatan di negeri ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebagai salah seorang pemimpin dalam era Malaysia Baharu ini, saya berharap hubungan harmoni seperti ini akan kekal berterusan demi kelangsungan pembangunan negeri yang kita cintai ini. Tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat negeri ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama dapat hidup dalam suasana aman serta bersatu padu.

Pada masa sama, penganjuran rumah terbuka seperti ini juga merupakan kesempatan terbaik untuk kita semua melupakan persengketaan dan seterusnya mengukuhkan lagi kerjasama di antara agensi-agensi berkaitan dengan masyarakat setempat.

Dalam usaha Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang mencapai Visi Penang2030, saya menyeru kepada semua yang berada di sini untuk turut bersama-sama merealisasikannya iaitu ke arah menjadikan negeri kita sebagai sebuah negeri yang berorientasi kekeluargaan, hijau dan pintar untuk menginspirasikan negara.

Segala pembangunan yang dirancang di negeri kita adalah berlandaskan kepada kehendak serta keperluan semasa komuniti setempat. Di Komtar misalnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta projek penaiktarafan untuk ‘meremajakan’ semula bangunan Komtar yang menjadi simbol keunikan bagi negeri Pulau Pinang sejak sekian lama.

Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM2.1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf ‘Komtar Walk’ berhadapan Jalan Dr. Lim Chwee Leong yang dilihat mampu memberikan nilai tambah dan meningkatkan potensi bangunan ikonik ini sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri melalui inisiatif pejabat Exco Pembangunan Sosial Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam dan kerjasama agensi-agensi berkaitan telah berusaha mengambalikan semula keceriaan Terminal Bas Komtar demi keselesaan pengunjung di sini terutamanya pengguna perkhidmatan bas awam. Hasil kerjasama strategik tersebut, Terminal Bas Komtar kini bertambah bersih serta ceria dan sekaligus juga telah mengurangkan masalah gelendangan sebelum ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Bagi keperluan penjagaan kanak-kanak dalam kalangan penjawat awam negeri ini, Kerajaan Negeri menubuhkan Taska D’Komtar 1.0 pada 2013. Rentetan permintaan yang tinggi, Taska D’Komtar 2.0 pula dibuka pada Julai tahun lepas. Selain itu, Kerajaan Negeri juga membelanjakan RM200,000 bagi menubuhkan sebuah Akademi E-sports di Aras 3, bangunan Komtar yang pastinya akan menarik kunjungan golongan belia yang meminati sukan ini ke sini.

Bahkan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama Pulau Pinang yang mula beroperasi mulai Ogos 2022 di Tingkat 2 dan 3 di bangunan Komtar telah berjaya menarik jutaan pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di sini. Penubuhan UTC Pulau Pinang bukan hanya mampu memberi nilai tambah kepada bangunan ikonik ini, malah juga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar secara keseluruhan yang mana ia menjadi pemangkin serta membuka peluang perniagaan baru di kawasan sekitar.

Saya percaya, segala inisiatif yang dilaksanakan ini adalah bagi memastikan kawasan yang juga sebahagian daripada Tapak Warisan UNESCO George Town ini dapat terus berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat ekonomi dan juga lokasi pelancongan kepada negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan pada hari ini, adalah menjadi harapan saya agar projek-projek infrastruktur yang dirancang dapat direalisasikan demi kebajikan rakyat negeri ini. Kita mahukan transit aliran ringan (LRT) melalui KADUN Komtar ini suatu hari nanti yang mana faedahnya dapat dinikmati oleh anak cucu kita kelak.

Serentak itu juga, adalah diharapkan Pulau Pinang terus memperoleh perhatian daripada Kerajaan Persekutuan bukan hanya pada aspek penambaikan infrastruktur, malah juga bangunan-bangunan warisan serta kegunaan orang ramai yang memerlukan kerja-kerja naik taraf secara berterusan di kawasan ini.

Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada barisan jawatankuasa penganjur yang tekah memastikan majlis ini berjalan dengan lancar. Saya ingin akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Berbaju Melayu segak dipandang,
Berkunjung ke rumah rakan dan taulan.
Ketupat lemang sudah terhidang.
Jemput makan janganlah segan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang