MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SILATURAHIM SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW

MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SILATURAHIM SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)

24 APRIL 2024 (RABU) | 8 MALAM

SUNSHINE SQUARE

__________________________

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor

Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd. Yussof Latiff
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)

Hadirin sekalian, Tuan-tuan, Puan-puan dan barisan media sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Sebagai pembuka kata, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) kerana sudi menjemput saya dan isteri untuk menghadiri majlis pada malam ini.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, serta isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor kerana sudi untuk bersama-sama kita dalam majlis yang berbahagia ini.

Dalam masa yang sama, saya ucapkan selamat datang dan terima kasih kepada para tetamu serta dif jemputan atas kesudian meluangkan masa untuk turut bersama kita pada hari ini bagi meraikan Majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PEMENANG.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Penganjuran rumah terbuka dalam keadaan muhibah seperti malam ini menggambarkan keadaan sebenar hubungan harmoni antara kaum bukan saja di negeri ini malah di seluruh Malaysia.

Sebagai salah seorang pemimpin dalam era Kerajaan Perpaduan, saya mengharapkan hubungan harmoni seperti ini bukan sahaja dapat dikekalkan, malah semakin teguh dalam mengharungi peredaran masa. Tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di samping pembangunan ekonomi yang pesat.

Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus konsisten dengan amalan pentadbiran yang cekap, bersih dan akauntabiliti demi memastikan pembangunan sosioekonomi di negeri ini terus pesat membangun dalam usaha mengukuhkan nilai-nilai murni ke arah kehidupan bermasyarakat yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan juga toleransi.

Maka besarlah harapan saya untuk terus mendapatkan sokongan dan dokongan daripada rakyat Pulau Pinang supaya usaha-usaha pembangunan yang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan Visi Penang2030 boleh dicapai dengan jayanya. Kejayaan demi kejayaan ini akan membawa impak positif kepada kehidupan rakyat di negeri ini, dengan harapan kemakmuran ekonomi yang diperoleh mampu dinikmati oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini.

Saya sedar, terdapat beberapa projek mega yang akan dapat disiapkan selepas tempoh saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri. Namun tidak mengapa, kerana biarlah saya terlibat dalam permulaan projek-projek ini yang menjadi saksi bahawa saya telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli PEMENANG yang turut hadir bagi menjayakan majlis sambutan Aidilfitri ini.

Adalah diharapkan majlis perayaan yang diadakan sebegini secara tidak langsung dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan jalinan muhibah yang sedia terjalin.

Dengan ini, izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan dua rangkap pantun.

Bersiar-siar di Padang Kota,
Melihat ombak berhempas ke batu,
Bersatulah kita seia sekata,
Capai kemajuan sepanjang waktu.

Terang bulan di malam hari,
Cahaya memancar ke ruang udara,
Sesama kita mengamal bakti,
Demi perpaduan bangsa dan negara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang