MAJLIS PERASMIAN DEWAN KOMUNITI MPKK PERWIRA DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN KOMUNITI MPKK PERWIRA DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

28 APRIL 2024 (AHAD) | 5.00 PETANG

DEWAN KOMUNITI MPKK PERWIRA,
SIMPANG AMPAT

YB Gooi Hsiao Leung
ADUN Bukit Tengah

YBrs. Encik Anuar Yusoff dan Puan Rachel Teh
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai

YBrs. Encik Ong Huai Hooi
Pengerusi MPKK Perwira

Barisan ahli jawatankuasa MPKK Perwira, barisan urus setia

Rakan-rakan media serta hadirin yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur, iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perwira kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pembukaan Dewan MPKK Perwira pada hari ini, sekaligus menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Saya difahamkan bahawa sebelum ini kawasan MPKK Perwira tidak mempunyai dewan serbaguna dan hanya menggunakan perkarangan pejabat MPKK yang agak sempit untuk menganjurkan program-program rakyat setempat. Justeru, pembinaan dewan ini adalah menjadi satu keperluan bagi menampung penganjuran pelbagai program rakyat dalam membina sebuah masyarakat yang sihat dan harmoni.

Hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan pembangunan sosial dan ekonomi secara sama rata di negeri ini. Pelbagai usaha telah, sedang malah akan dirancang bagi meningkatkan keselamatan, daya huni serta keselesaan rakyat dalam kawasan perumahan di seluruh negeri ini selari dengan yang telah dirangkakan dalam Visi Penang2030. Ini adalah bertepatan dengan Tema D iaitu ‘melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan’ menerusi inisiatif strategik D1 iaitu ‘menyeimbangkan pembangunan melalui perancangan kegunaan ruang yang efektif’.

Malah, Kerajaan Negeri melalui Manifesto Perpaduan 2023 juga dalam usaha untuk merealisasikan rancangan untuk mewujudkan Akademi e-Sports di setiap daerah manakala Gimnasium Rakyat dan Pusat Belia di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang.

Justeru, saya berharap, dengan keterlibatan MPKK Perwira yang sangat aktif dengan mendapat sokongan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat serta Ahli-Ahli Majlis, kawasan ini mampu menjadi lokasi yang paling tepat untuk penempatan pusat-pusat kegiatan belia serta Gimnasium Rakyat yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat daripada pelbagai lapisan usia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Saya berharap agar dewan komuniti ini dapat menjadi titik permulaan sebagai pusat untuk masyarakat berkumpul menjalankan aktiviti kemasyarakatan sebelum lebih banyak pusat-pusat kemasyarakatan yang akan dibina pada suatu hari nanti. Selain itu, saya difahamkan antara kemudahan yang disediakan di dewan baharu ini adalah Automated External Defibrillator (AED) yang berfungsi sebagai alat yang digunakan untuk menyelamatkan seseorang yang diserang sakit jantung di tempat awam.

Saya dengan ini ingin mengambil kesempatan di sini untuk memuji serta mengucapkan terima kasih kepada pihak Lions Club Bagan dan juga ADUN Bukit Tengah iaitu YB Gooi Hsiao Leung selaku penyumbang AED kerana mengutamakan keselamatan rakyat. Cuma di sini, saya menasihatkan agar pihak MPKK hendaklah terlebih dahulu mempelajari cara-cara penggunaan AED yang betul supaya kemudahan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sementara menunggu pasukan perubatan untuk sampai ke lokasi kecemasan.

Hadirin yang dihormati,

Saya di sini ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada barisan MPKK Perwira melalui Pejabat YB Gooi Hsiao Leung, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta pihak-pihak swasta yang menjadi sebahagian daripada komuniti penting dalam pembinaan bangunan ini.

Saya berharap agar ukhuwah ini sentiasa dipelihara demi masa depan Pulau Pinang yang lebih baik. Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang, dengan itu, sukacitanya saya merasmikan Dewan Komuniti MPKK Perwira. Malah, tidak terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang