RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI TIMBALAN KETUA MENTERI II

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI
TIMBALAN KETUA MENTERI II

2 MEI 2024 (KHAMIS) | 7.50 PM

BALAI RAKYAT JALAN PATANI

Tuan yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

Datin Seri Utama Gurmit Kaur

YB Jagdeep Singh Deo a/l Dato’ Seri Utama Karpal Singh
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan isteri;

Yang Berbahagia Puan Belindar Bhar

Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, izinkan saya menzahirkan perasaan bersyukur dan gembira untuk berada bersama-sama bagi meraikan Aidilfitri di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Timbalan Ketua Menteri II. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan YABhg. Toh Puan kerana sudi meluangkan masa bersama-sama rakyat pada malam yang berbahagia ini. Pada kesempatan ini, saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada tuan rumah kerana berjaya mengumpulkan kita semua daripada pelbagai latar belakang dalam majlis yang penuh warna-warni ini.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan yang terdiri daripada kumpulan sasar penduduk di kawasan sekitar Datok Keramat. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua jemputan.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan serta hadirin yang saya kasihi sekalian,

Penganjuran majlis seperti hari ini secara tidak langsung memberi kesempatan yang terbaik kepada kita semua untuk mengeratkan dan merapatkan lagi tali persaudaraan, membuka ruang interaksi serta komunikasi, di samping menikmati pelbagai juadah enak yang telah disediakan.

Seperti yang telah saya katakan sebelum-sebelum ini, musim perayaan sememangnya menjadi salah satu bukti utama kukuhnya semangat perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang kerana ianya disambut tanpa mengira kaum dan agama secara harmoni.

Maka, saya berharap peluang ini digunakan dengan sebaik mungkin juga sebagai satu titik tolak kepada kita semua untuk meluangkan masa bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan juga kejiranan seperti yang digariskan dalam Visi Penang2030 iaitu dalam usaha melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Saya sedar akan kepentingan institusi kekeluargaan yang sihat adalah sangat penting dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berdaya saing dan mampan kerana ia merupakan platform terbaik dalam memupuk corak kehidupan anak-anak khususnya golongan remaja dan belia yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Justeru, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti menumpukan perhatian kepada pembangunan sosial terutamanya hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak-anak agar tidak ada seorang pun anak Pulau Pinang yang terjerumus dalam keciciran pelajaran mahupun kesihatan.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan serta hadirin yang saya kasihi sekalian,

Dengan perkembangan ekonomi negeri yang bertambah pesat berserta pelaksanaan projek-projek mega seperti pembinaan Pulau Silikon Pulau Pinang, projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Kereta Kabel Bukit Bendera, Teksi Air dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, segalanya dilakukan demi kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang. Adalah menjadi harapan saya agar rakyat yang disayangi sekalian dapat bersabar dan terus memberikan sokogan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri agar segala projek ini dapat disiapkan pada waktu yang telah ditetapkan.

Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada pihak jawatankuasa majlis atas kejayaan menganjurkan majlis ini. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua penduduk dan para hadirin sekalian.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang