PERASMIAN SEMINAR JALAN BANDAR @ PENANG 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERASMIAN SEMINAR JALAN BANDAR @ PENANG 2024
4 JUN 2024 (SELASA) | 8.50 pagi
PICCA CONVENTION CENTRE,
BUTTERWORTH ARENA
Terima kasih kepada saudara/saudari Pengacara Majlis.
YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia
YBhg. Dato’ Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan)
YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool
Presiden Road Engineering Association of Malaysia (REAM)
YBrs. Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid
Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang
Ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil agensi kerajaan
Wakil-wakil jurutera, perunding dan syarikat swasta merangkap peserta-peserta seminar
¬
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur, Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Road Engineering Association of Malaysia (REAM) yang telah bertungkus-lumus dalam usaha menjayakan Seminar Jalan Bandar @ Penang 2024 buat julung kalinya. Usaha ini membuktikan contoh “Blue Ocean Strategy” iaitu kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Tidak lupa juga kepada semua peserta seminar yang telah memberikan komitmen untuk menyertai program sebegini yang mana ia wajar diberikan pujian dan juga tepukan gemuruh. Saya difahamkan bahawa penganjuran pada hari ini disertai oleh peserta dari pelbagai negeri, dan yang paling jauh datangnya dari Sarawak. Selamat datang ke Pulau Pinang saya ucapkan kepada semua.
Saya percaya, tujuan seminar ini dianjurkan adalah sebagai medium untuk membincangkan mengenai jalan bandar serta ciri-ciri penting yang perlu ada pada jalan bandar agar ia dapat ditingkatkan menjadi lebih baik pada masa hadapan. Ini adalah bersesuaian dengan hasrat negeri Pulau Pinang sebagai contoh bandar urbanisasi menuju Penang Visi2030, malah saya percaya ianya juga merupakan hasrat semua Kerajaan Negeri secara umumnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang diketahui, pihak kerajaan sememangnya komited dalam membangunkan infrastruktur dan menyediakan prasarana untuk kemudahan rakyat di seluruh negara. Dengan rangkaian jalan raya yang komprehensif, ianya mampu meningkatkan jaminan keselamatan kepada pengguna di seluruh negara, selain dapat pembangunan berterusan kegiatan ekonomi setempat.
Setelah mendapat mandat daripada rakyat, pihak kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan semua kemudahan serta infrastruktur yang diberikan terutamanya jalan raya sentiasa dalam keadaan yang baik dan tidak membahayakan pengguna. Justeru, sejumlah peruntukan sewajarnya melalui Kementerian Kerja Raya / Jabatan Kerja Raya telah diberikan untuk pembinaan dan penyelenggaraan Jalan Persekutuan serta Jalan Negeri di seluruh negara. Malah, Kerajaan juga memandang serius berhubung pemantauan kualiti jalan yang dibina dan diselenggara agar ianya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.
Di peringkat Kerajaan Negeri, pentadbiran ini menjalankan usaha melalui Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan) yang mana dalam usaha untuk mengawal kesesakan lalu lintas di negeri Pulau Pinang, projek jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) sedang dalam pelaksanaan dengan kemajuan tapak sebanyak 57.49 peratus sehingga kini.
Siapnya projek ini, jajaran Pakej 2 yang merupakan pintasan bebas tol akan memberikan kelebihan dan keselesaan kepada orang awam daripada segi pengurangan masa perjalanan yang dianggarkan dari 40 minit kepada lima (5) minit sahaja. Dengan adanya contoh seperti projek pembinaan jalan seperti ini, saya percaya bahawa semua peserta dapat mengambil inspirasi dalam mempertingkatkan mutu jalan raya ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.
Hadirin sekalian yang dihormati,
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah memperoleh peruntukan berjumlah RM75.35 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi tujuan penyelenggaraan jalan sehingga 30 April 2024. Penyelenggaraan jalan negeri ini akan dilaksanakan oleh semua Jabatan Teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan senarai projek penyelenggaraan yang dikemukakan kepada Jabatan Kewangan Negeri (JKN). Dengan data jumlah peruntukan bagi penyelenggaran jalan sedia ada yang agak tinggi, ianya serba sedikit telah mempamerkan kualiti jalan raya sedia ada.
Sekali lagi, tahniah saya ucapkan kepada JKR Pulau Pinang kerana mengambil inisiatif dengan menganjurkan majlis pada hari ini. Dengan adanya seminar sebegini, besarlah harapan saya agar semua peserta yang terlibat dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pembinaan serta penyelenggaraan jalan di samping berkongsi ilmu dan kemahiran yang sedia ada sesama para peserta.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas komitmen yang dicurahkan dalam menjayakan seminar ini. Saya amat mengharapkan agar pendekatan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam penganjuran seminar ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Banyak durinya pohon semalu,
Tumbuh melata dipijak orang,
Janganlah malu mencari ilmu,
Untuk pengetahuan masa akan datang.
Sebagai penutup kata, saya dengan ini sukacitanya merasmikan Seminar Jalan Bandar @ Penang 2024.
Sekian, terima kasih.