PROGRAM PERDA SANTUNI KOMUNITI MADANI : #PERDA DI HATI
TEKS UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PROGRAM PERDA SANTUNI KOMUNITI MADANI : #PERDA DI HATI
8 JUN 2024 (SABTU) | 9.30 pagi
PADANG AWAM PERMATANG DAMAR LAUT,
BAYAN LEPAS
Terima kasih saudara pengacara majlis.
YB Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I selaku Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Perpaduan Masyarakat
YBhg. Dato' Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin
Pengerusi PERDA
Tuan Haji Mohd. Asri bin Baharum
Pengurus Besar PERDA
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya menzahirkan terima kasih dan rasa syukur kerana dapat bersama-sama pada pagi ini bagi menjayakan program yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan beberapa agensi kerajaan di peringkat negeri iaitu Program PERDA Santuni Komuniti Madani: #PERDA Di Hati. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama pada program ini.
Hadirin yang dihormati,
Saya percaya bahawa Program PERDA Santuni Komuniti Madani ini bukan sahaja menyediakan ruang dalam menyampaikan maklumat tetapi juga memperkukuhkan ikatan antara agensi serta penduduk tempatan. Dengan penganjuran inisiatif seperti ini, ia secara langsung memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan dan nasihat daripada agensi-agensi yang terlibat untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan.
Saya difahamkan pada kali ini, agensi yang turut terlibat bersama PERDA adalah Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang, Penang Science Cluster (PSC), Jabatan Pendaftaran Negara, Institut Kemahiran Tinggi PERDA, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pulau Pinang, Perpustakaan Negara Malaysia Permatang Damar Laut, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Barat Daya dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.
Hadirin sekalian,
Seperti yang diketahui umum, penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia telah memberikan kesan drastik kepada kehidupan kita di samping ramai yang kehilangan orang yang tersayang. Mengambil kira situasi tersebut, Kerajaan Negeri sedar bahawa masyarakat memerlukan sokongan dan bantuan khususnya mereka yang berada malah terjatuh ke dalam golongan B40.
Oleh sebab itu, suntikan peruntukan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meringankan beban rakyat. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan bersyukur dengan kewujudan inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh rakan seperjuangan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub
ketika menjawat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum pemergian beliau. Sesungguhnya, beliau telah meninggalkan legasi yang telah membantu jutaan rakyat Malaysia terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi. Malah saya turut difahamkan, pada hari ini seramai 200 penduduk setempat telah terpilih untuk menerima sumbangan bakul rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas untuk kegunaan harian.
Di peringkat Kerajaan Negeri, pentadbiran ini memastikan kebajikan rakyat sentiasa dibela melalui Program i-Sejahtera yang berbentuk kewangan kepada rakyat Pulau Pinang yang memerlukan, contohnya golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berumur dua (2) tahun ke bawah.
Sehingga kini, penyaluran kewangan program i-Sejahtera telah mencecah RM 50 juta setahun biarpun negeri kini sedang menghadapi defisit dan pendapatan negeri hanya berjumlah RM 500 juta. Malah, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam telah memulakan sebuah inisiatif payung bertemakan “Manfaat Rakyat” yang merupakan sebuah pendekatan tindakan ke atas dasar, program dan juga inisiatif yang memberikan pulangan semula terhadap kesejahteraan sosial, ekonomi, kesedaran serta infrastruktur bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
Sebagai penutup kata, saya ingin mengajak semua pihak tidak kira daripada agensi kerajaan mahupun swasta untuk sama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.
Dengan ini, sukacitanya saya merasmikan PROGRAM PERDA SANTUNI KOMUNITI MADANI: #PERDA DI HATI bagi kawasan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.
Sekian, terima kasih.