PEMBUKAAN RASMI MODUL RAWATAN DISSOLVED AIR FLOTATION (DAF) 10 MLD BAHARU LRA BUKIT PANCHOR

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PEMBUKAAN RASMI MODUL RAWATAN DISSOLVED AIR FLOTATION (DAF) 10 MLD BAHARU LRA BUKIT PANCHOR

15 JUN 2024 (SABTU) | 9 PAGI

LOJI BUKIT PANCHOR

Terima kasih pengerusi majlis.

YB Zairil Khir Johari
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

YB H'ng Mooi Lye
Exco Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi

YB Goh Choon Aik
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun

Yang Berbahagia Ir. K. Pathmanathan
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)

Yang Berusaha En. Khitob Ahmad
Pengarah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Wilayah Utara

Ketua-ketua Divisyen dan Jabatan PBAHB & PBAPP

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan PBAPP kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pembukaan Modul Rawatan Air pengapungan udara terlarut, atau lebih dikenali sebagai Dissolved Air Flotation (DAF) di Loji Rawatan Air Bukit Panchor pada pagi yang berbahagia ini.

Daripada sudut kejuruteraan bekalan air, Ir. Pathamanathan telah menyatakan bahawa modul DAF ini bermanfaat kepada daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana ia membolehkan PBAPP untuk membekalkan tambahan 10.5 juta liter air sehari (JLH) pada tahun 2024, bersama-sama dengan dua (2) loji rawatan air mudah alih baharu yang terletak di Taman Sungai Duri Indah.

Hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air di seluruh negeri, tidak ketinggalan di daerah ini. Jumlah pelaburan PBAPP untuk daerah SPS pada tahun 2023 adalah bernilai RM20.52 juta yang mana PBAPP telah membelanjakan kira-kira RM18.6 juta untuk membina loji DAF ini, dan RM1.92 juta lagi dalam projek lain untuk menambah baik bekalan air di daerah SPS ini.

Pada tahun ini, PBAPP mempunyai perancangan untuk menambah lagi pelaburan bernilai RM10 juta bagi projek-projek tambahan di daerah ini. Pelaburan ini tidak termasuk peruntukan berjumlah RM31 juta untuk Pakej 12A Loji Rawatan Air Sungai Dua yang akan memanfaatkan para penduduk tempatan secara tidak langsung mulai bulan Julai 2024.

Pada masa sama, PBAPP telahpun melabur kira-kira RM49.6 juta untuk dua (2) projek iaitu di Bukit Panchor dan Sungai Dua iaitu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 atau WCP 2030. Dalam tempoh tahun 2024 hingga 2028, PBAPP telah merancang untuk melabur sebanyak RM1.134 bilion lagi untuk membina empat (4) loji rawatan air baharu di daerah Seberang Perai dan memasang dua (2) buah saluran paip utama untuk meningkatkan kapasiti pengepaman air ke bahagian pulau.

Hadirin yang dihormati,

Majlis perasmian pada hari ini secara tidak langsung telah menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP telah mengabaikan atau meninggalkan penduduk di daerah SPS apabila melibatkan isu bekalan air. Sebaliknya, kita berdiri pada pagi ini secara langsung menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP senantiasa memberi perhatian khusus kepada isu bekalan air di seluruh negeri ini termasuk SPS.

Punca gangguan bekalan air yang melanda beberapa kawasan kejiranan di SPS adalah disebabkan penggunaan air yang lebih tinggi dengan peningkatan populasi serta pengoperasian industri di sekitar daerah ini. Dengan peningkatan aktiviti sosioekonomi yang semakin pesat, permintaan air di daerah ini juga berkembang dengan mendadak sehingga bekalan 10.5 JLH setahun, dan realitinya adalah tidak mencukupi bagi kawasan ini. Sebagai rujukan mudah, 10.5 JLH mampu mengisi sebanyak 7 juta botol air minuman besar 1.5 liter setiap hari.

Oleh itu, saya memohon persefahaman, kesabaran dan sokongan warga SPS dalam kerja-kerja menyelesaikan isu air di daerah ini. Kerajaan Negeri melalui PBAPP sentiasa menjalankan tanggungjawab ini dan berharap agar penduduk di sini dapat memberikan sokongan kepada PBAPP untuk menyempurnakan projek-projek yang dirancang mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sebagai penutup kata, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PBAPP kerana berjaya menyiapkan dan memulakan operasi modul baharu ini, sekaligus mampu menjngkatkan infrastruktur bekalan air di daerah SPS ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang