MAJLIS PENUTUP MALAYSIA BOOK OF RECORDS ‘MOST MEE GORENG GIVEAWAY’ ANJURAN YOUNG MUSLIM SPORTS CLUB
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENUTUP MALAYSIA BOOK OF RECORDS ‘MOST MEE GORENG GIVEAWAY’ ANJURAN YOUNG MUSLIM SPORTS CLUB
23 JUN 2024 (AHAD) | 4.30 PETANG
JALAN PADANG KOTA
[SALUTASI]
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.
- Terlebih dahulu, saya menzahirkan perasaan syukur ke hadrat Tuhan kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita dapat berkumpul bersama-sama pada hari ini bagi meraihkan satu usaha mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Kategori “Most Mee Goreng Sotong Giveaway”.
- Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Munawer Sadiq, Presiden Young Muslim Sport Club kerana sudi mengundang saya untuk merasmikan majlis ini.
Hadirin yang dikasihi,
- Saya difahamkan bahawa program pada hari ini merupakan program MBOR yang kedua diusahakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Young Muslim Sport Club yang mana rekod pertama merupakan usaha melukis dan mengecat mural terpanjang di Malaysia yang diadakan pada tahun 2003.
- Setelah 11 tahun berlalu, lukisan sepanjang 541 meter dengan ketinggian 3.3 meter itu masih mengekalkan rekod MBOR dan usaha mengecat semula lukisan tersebut telah diadakan pada tahun 2018. Tahniah saya ucapkan kepada Young Muslim Sport Club dalam menjaga serta mengekalkan rekod tersebut yang mampu menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke Pulau Pinang.
- Secara tidak langsung, wujudnya program-program sebegini akan meningkatkan kadar kemasukan pelancong tempatan serta membantu dalam meningkatkan kadar jual beli makanan, minuman dan barangan dalam kalangan penjaja jalanan di kawasan sekitar ini.
- Sebagai Ketua Menteri, saya menyambut baik usaha-usaha sebegini kerana ianya telah membuktikan bahawa rakyat di negeri ini begitu aktif mengambil bahagian dalam usaha memajukan negeri tercinta ini dengan melibatkan diri dalam pertubuhan-pertubuhan atau NGO sebagaimana kelab ini.
- Usaha ini adalah bertepatan dengan Tema C Visi Penang 2030 iaitu ‘Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam’ yang mana ianya akan melahirkan sebuah masyarakat yang aktif, kreatif dan kritis kearah masyarakat Madani.
- Saya dengan ini juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyalurkan bantuan dari segi kewangan, tenaga dan sokongan padu bagi menjayakan majlis ini secara menyeluruh dalam mencapai objektif utama iaitu mencipta rekod baharu dalam MBOR. Sesungguhnya kerjasama dan ukhuwah ini harus dipelihara.
- Saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap pada petang ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada para ahli jawatankuasa serta semua pihak yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan majlis pada petang ini.
- Sebagai penutup kata, semoga majlis yang diadakan pada hari ini mendapat sinar rahmat dan keberkatan dari-Nya.
Sekian, terima kasih.