MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR MBSP TAHUN 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG, YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR MBSP TAHUN 2024

 

 

26 JUN 2024 (RABU) | 3.00 PETANG

 

 

DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

[Salutasi]

Salam sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.

Pada petang yang berbahagia ini, saya amat berbesar hati kerana menerima jemputan untuk menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar MBSP Tahun 2024.

Pada kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada YBrs. Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid di atas pelantikan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk meneruskan perjuangan membawa aspirasi Kerajaan Negeri khususnya, dan Kerajaan Persekutuan amnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk di daerah Seberang Perai.

Pengosongan kerusi Datuk Bandar MBSP ini berlaku dalam masa yang agak singkat, dan saya pasti ramai pihak berteka-teki dengan status tersebut. Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkaitan dan berpendapat bahawa kekosongan ini perlu diisi dengan segera supaya momentum pentadbiran tidak terganggu atau tergendala serta segala urusan dapat diselesaikan dengan segera demi memberi pekhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Dalam usaha merealisasikan Visi Penang2030 iaitu dalam melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, seseorang yang dilantik sebagai Datuk Bandar mestilah menyahut seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus memacu Seberang Perai sebagai sebuah banda raya yang maju yang mana penduduknya hidup dengan selamat dan selesa.

Kerajaan Negeri mengambil maklum akan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh MBSP selama ini dan berharap supaya Datuk Bandar yang baru ini dapat menyuntik idea-idea serta misi yang lebih kreatif supaya Seberang Perai terus mengekalkan prestasi yang baik.

Tahun ini, Seberang Perai telah disenarai pendek sebagai 10 bandar terbaik dalam kalangan 150 bandar dari 46 negara yang telah mengambil bahagian di dalam Toyota Mobility Foundation Sustainable Cities Challenge. Walaupun tidak terpilih sebagai tiga (3) negara yang menerima USD 3 juta, Seberang Perai telah membuktikan daya saing yang positif di peringkat antarabangsa. Ini adalah salah satu cabaran yang bakal digalas oleh Datuk Bandar baru iaitu bagaimaana untuk membawa MBSP meneroka peluang mendapatkan bimbingan dari segi bantuan teknikal serta kewangan dalam membawa pembangunan dan pembaharuan di Seberang Perai.

Warga MBSP yang dihormati,

Jangan lupa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming dalam salah satu siri lawatannya di Seberang Perai juga telah mencabar MBSP untuk menyertai Shanghai Global Awards pada tahun ini. Saya berharap MBSP di bawah pentadbiran Datuk Bandar yang baru ini dapat menyahut cabaran ini, dan seterusnya mengharumkan nama Seberang Perai serta Pulau Pinang di persada antarabangsa.

Saya percaya, MBSP mampu meraih sebuah lagi pengiktirafan dunia kerana MBSP sangat aktif menyertai pelbagai program di peringkat antarabangsa. Malah, Datuk Bandar MBSP sendiri pernah dilantik menjadi Penasihat bagi Global Executive Committee (GEXCOM) untuk Pertubuhan Local Government for Sustainability (ICLEI) dan EXCOM Member bagi World Smart Sustainable Cities Organization (WEGO) bagi tahun 2021-2023. Penyertaan aktif MBSP di persada dunia memberi banyak peluang berhubung perkongsian amalan terbaik di peringkat antarabangsa, pindahan kepakaran dan pembiayaan projek-projek rintis MBSP.  Dengan ini, Datuk Bandar diharap dapat meneruskan kerjasama ini dan meluaskan lagi jajaran hubungan antara Seberang Perai dan negara-negara luar.

Namun begitu, dalam keghairahan mengecapi pelbagai pengiktirafan, saya berharap Datuk Bandar tidak lupa akan tanggungjawab hakiki MBSP iaitu menyediakan perkhidmatan perbandaran yang terbaik kepada penduduk di Seberang Perai. Seberang Perai haruslah menjadi sebuah bandar bersih, mempunyai infrastruktur yang lengkap dan teratur dalam usaha untuk menjadikan banda raya ini sebagai sebuah bandar yang berdaya-huni, mampan, inklusif, hijau, kompetetif dan pintar.

Dengan ini, dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan pelantikan Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai yang baharu iaitu YBrs. Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid yang akan membaca ikrar dan seterusnya menandatangi pengakuan menerima jawatan sebentar sahaja lagi. Sekali lagi tahniah saya ucapkan, semoga tanggungjawab ini dipikul dengan penuh amanah demi kesejahteraan rakyat jelata.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang