Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Youngsters Basketball Club dan MPKK Kampung Kolam atas kerjasama bagi menganjurkan Acara LOVE PENANG 3X3 Streetball Challenge 2022 pada pagi yang berbahagia ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran kesemua 150 pasukan, bukan sahaja dari Pulau Pinang tetapi juga turut disertai dari pasukan-pasukan dari luar negeri dan luar negara.
Saya amat berbangga dengan inisiatif yang digerakkan oleh MPKK Kampung Kolam bagi menganjurkan acara yang julung kali diadakan dan sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai acara tahunan.
Streetball atau yang lebih dikenal dengan bola keranjang jalanan kini makin digemari oleh masyarakat kita, terutamanya di kalangan golongan muda. Walaupun pada dasarnya, permainan streetball ini menerapkan gaya yang sama seperti permainan bola keranjang yang biasa, namun ia berbeza dari segi peraturan dan gaya bermain.
Kalah dan menang itu adat permainan, dan saya berharap kesemua pemain akan mempamerkan aksi dan semangat juang yang tinggi, dengan pendedahan dan pengalaman yang cukup berharga ini.
Diharapkan menerusi platform ini, Pulau Pinang dapat mencungkil lebih ramai bakat muda yang baru, sekaligus melahirkan masyarakat lebih aktif dan sihat daripada segi jasmani, emosi, rohani serta intelek.