PERASMIAN HARI KELUARGA LOVEPENANG 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PERASMIAN HARI KELUARGA

LOVEPENANG 2023

 

Ahad, 11 Jun 2023

Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony, Seberang Jaya

Selamat pagi, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Selamat datang kepada keluarga Pulau Pinang yang sudi bersama-sama kita memeriahkan penganjuran Sukaneka Hari Keluarga LovePenang 2023 pada pagi ini.  

Umumnya, saya amat berbangga apabila mengetahui seramai 240 keluarga yang terdiri daripada pelbagai umur dan latar belakang telah mengambil bahagian dan begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan acara ini!

Sebagai sebuah negeri yang mementingkan nilai kekeluargaan terutamanya pada aspek pembinaan modal insan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu untuk muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Saudara dan saudari sekalian,

Berdasarkan data yang diperoleh dari Jabatan Perangkaan Malaysia, dijangka 15 peratus daripada rakyat di negara ini akan mencecah umur 60 tahun pada tahun 2030. Keadaan ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tua atau ‘aged nation’. Dalam pada itu, Pulau Pinang ketika ini merupakan negeri kedua tertinggi bagi penempatan masyarakat tua.

Berlandaskan perangkaan berkaitan, saya amat berterima kasih kepada Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Selain Islam iaitu YB Chong Eng yang berada dengan saya pada hari ini atas inisiatif beliau serta pasukannya dalam menyediakan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif sebagai persediaan dalam menghadapi situasi berkenaan dan sekali gus melahirkan masyarakat Pulau Pinang yang sihat daripada segi mental serta fizikal pada masa hadapan.

Hadirin sekalian,

Saya bangga melihat betapa eratnya jalinan kekeluargaan di hadapan saya ini dan yakin ramai dalam kalangan anda merupakan ibu dan bapa yang saling menyokong dan membimbing anak-anak.

Syabas kerana bukan mudah menggalas tanggungjawab apatah lagi dengan pelbagai cabaran dan persekitaran yang ada pada masa kini. Sesebuah unit keluarga yang bahagia akan mendorong pembentukan sahsiah anak-anak, daripada sikap bertoleransi, bertanggungjawab sehinggalah lahirnya perasaan saling menghargai serta menghormati antara satu sama lain.

Didikan dan dorongan ini mampu melahirkan generasi yang berketerampilan serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi sekali gus dilihat mampu meningkatkan produktiviti masyarakat yang menjadi pemangkin kestabilan dan kemakmuran bagi sesebuah negeri.

Amat mustahil untuk kita mencapai kemakmuran, perpaduan dan kejayaan andai kata kita tidak mempunyai semangat kekeluargaan yang tinggi. Sesuailah dengan tema yang dipilih untuk Hari Keluarga LovePenang 2023 iaitu Bangkit Bersama LovePenang: Selamat, Cekal, Memupuk.

Keluarga Pulau Pinang yang dikasihi,

Sebagai insan yang menggalas tanggungjawab dalam mendidik generasi akan datang, laksanakan tanggungjawab dengan penuh kesabaran dan bijaksana kerana masa depan negeri ini pada masa hadapan bergantung kepada anak-anak kita hari ini. Sejajar dengan konsep Malaysia Madani digagaskan oleh Perdana Menteri kita yang merangkumi aspek manusiawi holistik berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Maka, penting untuk kita mendukung konsep ini supaya ia mampu membuahkan manfaat yang memenuhi keperluan dan potensi semasa negara kini.

Tahun ini merupakan tahun kelima Hari Keluarga disambut yang mana Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang atau PWDC menjadi agensi pelaksana. Sambutan tahunan ini bukan sahaja menyediakan platform untuk keluarga di Pulau Pinang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti malahan juga program-program semasa yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. 

Justeru, ambillah kesempatan ini untuk melakar masa berkualiti bersama-sama ahli keluarga dan ambillah peluang ini untuk mengeratkan lagi hubungan kita semua sebagai sebuah keluarga Pulau Pinang yang LovePenang.

Hadirin yang saya kasihi,

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepada semua rakan-rakan strategik yang mengambil bahagian pada hari ini.

Tanpa sokongan dan usahasama ini termasuk para penaja, sambutan ini tidak mungkin dapat dijayakan. Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak terlibat yang tanpa henti memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri termasuk menjayakan penganjuran program pada hari ini.

Marilah bersama-sama kita menyemai rasa cinta dan bangkit menyokong aktiviti serta program Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Ayuh, Bangkit Bersama Keluarga Pulau Pinang!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang