TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN SEMULA PROJEK ASTAKA TANJUNG BUNGAH, PULAU PINANG
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang turut serta dalam Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Projek Astaka Tanjung Bungah yang diadakan secara ringkas tapi amat bermakna pada pagi yang berbahagia ini.
Kerajaan Negeri memahami keluh-kesah rakyat, terutamanya kepada para peniaga di astaka ini yang terlibat dalam insiden kebakaran pada November 2020 yang lalu. Kita sedaya-upaya melakukan yang terbaik dan cuba menyelesaikan segera permasalahan yang timbul ini.
Melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dan dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kedua-dua agensi ini telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembangunan semula astaka yang dianggarkan akan selesai menjelang pertengahan tahun 2022.
Justeru, dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM3.5 juta, kerja-kerja di tapak projek ini akan bermula pada 1 Disember 2021 oleh kontraktor utama yang telah dipilih melalui tender terbuka Kerajaan Negeri.
Astaka Tanjung Bungah ini akan dibangunkan semula dengan beberapa kemudahan tambahan seperti surau, bilik pejabat dan kemudahan lain yang lebih mesra pengguna. Reka bentuk terkini juga dirangka bagi membolehkan orang ramai mendapat pandangan “sea view” yang lebih menarik berbanding dengan reka bentuk asal yang jenis bertutup tanpa pemandangan luar.
Sebanyak 40 ruang gerai akan disediakan di dalam bangunan Astaka Tanjung Bungah ini berbanding dengan bilangan gerai yang disediakan dalam astaka yang asal iaitu sebanyak 35 ruang gerai. Sudah tentunya peniaga asal akan diberi keutamaan untuk penawaran gerai selepas projek disiapkan kelak.
Diharapkan projek pembangunan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, sekaligus memberikan sinar harapan baru kepada para peniaga yang terlibat untuk kembali semula bagi memulakan perniagaan dalam suasana yang lebih selesa dan bersemangat.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada YB Zairil selaku ADUN Tanjong Bungah, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dan kesemua pihak yang terlibat dalam projek Pembangunan Semula Astaka Tanjung Bungah.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Veritas Architects yang sudi melaksanakan projek ini sebagai Arkitek Utama dengan kadar bayaran nominal sebagi satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Kerajaan Negeri. Kerjasama daripada pihak syarikat HPB & Associates Sdn. Bhd., Lumbini Consultancy GT Consultants Sdn. Bhd., Kuantibina Sdn. Bhd., dan Juru Ukur Alam dalam menawarkan perkhidmatan secara pro-bono amatlah dihargai oleh Kerajaan Negeri.
Dengan kata-kata ini, saya sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Astaka Tanjung Bungah.
Sekian, terima kasih.