MAJLIS PENGHARGAAN PASUKAN BOMBA SUKARELA DAN PENYELAMAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN PASUKAN

BOMBA SUKARELA DAN PENYELAMAT

NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

 

23 JUN 2023 | THE LIGHT HOTEL,

SEBERANG JAYA

_______________________

 

 

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana sudi berkunjung ke Pulau Pinang bagi lawatan kerja di negeri ini.

Pada masa sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya para anggota Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang yang sudi bersama-sama memeriahkan Majlis Penghargaan Pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Sesungguhnya, majlis pada hari ini diadakan bagi meraikan kesemua 37 pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat yang aktif di setiap lima (5) daerah di Pulau Pinang demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Malah, tanpa mengira masa dan waktunya, wirawan serta warawati ini sentiasa bersedia dan komited memberikan perkhidmatan yang terbaik bukan hanya kepada negeri yang kita cintai ini malah juga kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat sememangnya terbukti mampu memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat. Tidak terhad dengan peranan membantu memadamkan kebakaran, namun pasukan ini juga banyak membantu Kerajaan Negeri pada tempoh pandemik COVID-19, krisis air, bencana banjir khasnya bukan hanya dalam negeri malah juga di negeri-negeri lain yang memerlukan bantuan. Kesepakatan dan semangat membantu serta juang adalah sesuatu yang wajar dibanggakan. Syabas!

Pulau Pinang amat bertuah kerana mempunyai pasukan bomba sukarela yang sentiasa sedia untuk membantu walaupun dengan alat kelengkapan yang terhad. Namun, saya yakin dengan prestasi ditonjolkan oleh saudara dan saudari yang ada pada malam ini, pastinya setiap peralatan kemudahan yang dimiliki digunakan dengan sebaiknya demi kebaikan, kebajikan dan keselamatan orang ramai. Malah, saya juga difahamkan bahawa terdapat pasukan bomba sukarela yang menyediakan kenderaan bersaiz lebih kecil agar mudah untuk sampai ke kawasan luar bandar dengan laluan yang sempit dalam tempoh terpantas.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, jasa serta pengorbanan anda semua akan sentiasa dikenang dan sudah pastinya terpahat dalam hati masyarakat.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Saya sedar bahawa majoriti ahli Pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat mempunyai kerja yang tetap, namun komitmen mengorbankan masa yang terluang demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah tidak ternilai harganya. Oleh itu, di sini, mewakili Kerajaan Negeri, kami bersetuju memperuntukkan RM370,000 kepada 37 pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang yang mana setiap cawangan akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000.

Semoga dengan sedikit sumbangan ini, ia dapat membantu memperkasa dan memantapkan lagi operasi termasuk menjaga kebajikan serta keselamatan para ahli pasukan. Terima kasih dan syabas atas pengorbanan anda!

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Pulau Pinang khasnya yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menganjurkan latihan dan kursus-kursus kepada anggota-anggota bomba sukarela.

Semoga kerjasama baik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan perkhidmatan dan bantuan yang terbaik dapat diberikan kepada rakyat dan negeri ini secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PERASMIAN BALAI BOMBA BAHARU PERSATUAN BOMBA SUKARELA (PBS) TAMAN SUKUN  

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BALAI BOMBA BAHARU PERSATUAN BOMBA SUKARELA (PBS)

TAMAN SUKUN

 

23 JUN 2023

TAMAN SUKUN, BUKIT MERTAJAM

 

 

YB Nga Kor Ming

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

YB Dato’ Law Choo Kiang

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Phee Boon Poh

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

 

YB Steven Sim Chee Keong

Timbalan Menteri Kewangan, merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berbahagia Dato’ Abdul Wahab bin Haji Mat Yasin

Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Yang Berusaha Saadon bin Mokhtar

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang

 

ACP Tan Cheng San

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah

Dato' Lee See Nee                                               

Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kawasan Bukit Mertajam                                      

                                                 

Encik Loh Soon Lee                                    

Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam

Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Jemputan

Para Pemimpin Masyarakat

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.   

Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Taman Sukun, Bukit Mertajam yang telah mengaturkan Majlis Perasmian Balai Bomba Baharu pada petang yang berbahagia ini.

Sudah pastinya dengan kehadiran YB Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan delegasi serta para jemputan yang lain memberikan kegembiraan dan makna yang cukup besar khususnya kepada PBS  Taman Sukun ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sekitar bulan Julai tahun lepas, saya hadir ke sini bagi upacara pecah tanah sebagai simbolik permulaan projek pembinaan balai bomba baharu ini untuk menggantikan pusat operasi lama yang sering berdepan dengan masalah banjir.

Dan hari ini, saya gembira dan berpuas hati dengan kemajuan projek ini kerana akhirnya impian PBS Taman Sukun untuk mempunyai sebuah balai yang lebih selesa telah dapat direalisasikan.

Tahniah dan syabas kepada PBS Taman Sukun serta para penyumbang baik daripada peruntukan pihak kerajaan, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu yang tampil menghulurkan bantuan dan menyokong projek ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Dengan kos keseluruhan sebanyak RM370,000.00, saya percaya pembinaan balai bomba baharu ini bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada lebih kurang 80 ahlinya, tetapi sudah pastinya sangat membantu dalam memastikan pengurusan PBS sentiasa dalam keadaan baik dan teratur.

Sejak pasukan ini ditubuhkan pada 24 tahun yang lepas, kini PBS Taman Sukun boleh berbangga dengan pencapaian pasukan ini yang menjadi antara PBS yang aktif dan  cekap dalam memberikan perkhidmatan respon kecemasan awal terutamanya dalam mengendalikan tugas-tugas operasi pemadaman dan penyelamatan kepada komuniti.

Meskipun berdepan cabaran sukar sepanjang tempoh ini, kita berharap komitmen, kegigihan dan dedikasi para ahli PBS akan terus kekal utuh bagi meneruskan kerja-kerja sukarelawan ini.

Di peringkat Kerajaan Negeri, kita konsisten dan memberikan sokongan penuh terhadap pengoperasian kesemua 37 PBS yang aktif di negeri ini, dan kita berharap dengan kerjasama yang dibentuk di peringkat Kerajaan Persekutuan, aspek-aspek lain termasuk kebajikan para ahli PBS akan mendapat pertimbangan dan perhatian yang sewajarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah bersetuju untuk menyewakan tanah seluas 2,512 meter persegi untuk pembinaan balai bomba baru ini, dengan bayaran sewa tanah hanya RM112 setahun.

Ini sedikit sebanyak membuktikan kesungguhan pihak berkuasa tempatan dalam menyokong pembangunan PBS demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PBS Taman Sukun yang menerima balai bomba baharu ini. Semoga dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada komuniti dan negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang