PERASMIAN EKSPO RUMAH MAMPU MILIK DAN HARTANAH PULAU PINANG 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERASMIAN EKSPO RUMAH MAMPU MILIK DAN HARTANAH PULAU PINANG 2023

 

23 DISEMBER 2023 (SABTU) | 10.30 PAGI

 

PICCA CONVENTION CENTRE,

BUTTERWORTH ARENA

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah Pulau Pinang tahun 2023 buat kali kedua selepas penubuhan LPNPP. Saya percaya, tujuan ekspo ini diadakan adalah untuk membantu rakyat negeri Pulau Pinang mendapatkan maklumat-maklumat terkini yang lebih tepat berkenaan projek-projek Rumah Mampu Milik dan hartanah semasa di Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya telah berjanji bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa dan akan terus memberi fokus kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang. Justeru, agenda pembekalan perumahan merupakan salah satu fokus utama di bawah pentadbiran saya supaya ianya dapat menyumbang dalam mewujudkan institusi keluarga yang sejahtera selaras dengan sasaran Visi Penang 2030, Inisiatif Strategik A1 iaitu: Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan seperti berikut:

Pertama: Pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik pelbagai kategori menjelang 2030;

Kedua: Pembekalan 22,000 unit sewa beli (RTO) bagi mengatasi isu pembiayaan pinjaman;

Ketiga: 3,000 keluarga mendapat faedah pembaharuan semula bandar.

Bagi menyokong sasaran Visi Penang2030 tersebut, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah dan Dasar Pemilikan Kediaman atau dikenali sebagai Home Ownership Campaign (HOC) 3.0 Plus yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2024. HOC 3.0 Plus ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu mempromosi pemilikan rumah kepada masyarakat. Khusus bagi Rumah Mampu Milik (RMM), had siling harga maksima telah diturunkan sebanyak 10 peratus dari RM300,000 di kawasan pulau kepada RM270,000 seunit dan RM250,000 di kawasan Seberang Perai kepada RM225,000 dengan keluasan minimum 850 persegi.

Dalam hal ini, komitmen Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti serta mampu dimiliki haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta. Malah, satu lagi kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri melalui LPNPP ialah kelulusan Garis Panduan Rumah Mampu Milik untuk menggariskan dasar dan piawaian bagi menyeragamkan aspek pembangunan rumah mampu milik agar lebih berdayahuni dan harmoni.

Menerusi garis panduan yang diperkenalkan dan telah diangkat untuk kelulusan SPC pada 21 Disember 2023, aspek perancangan dan pembangunan rumah mampu milik dapat direalisasikan dengan lebih sistematik serta bersepadu antara pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan serta agensi-agensi pelaksana bagi mencapai matlamat menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi dan mampu dimiliki oleh rakyat negeri Pulau Pinang. Dengan penerbitan garis panduan ini, diharapkan semua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta menjadikan garis panduan ini sebagai rujukan dan dapat menangani isu dan cabaran yang dihadapi dalam industri perumahan di negeri Pulau Pinang.

Serentak itu, bagi memastikan setiap keluarga atau individu mampu memiliki rumah kediaman sendiri, LPNPP juga telah memperkenalkan satu lagi kategori Rumah Mampu Milik (RMM) iaitu RMM B2 dengan harga maksima sebanyak RM100,000 yang berkeluasan 750 kaki persegi untuk mensasarkan golongan had pendapatan isi rumah bulanan pada kadar RM5,000.

Inisiatif bagi kategori RMM B2 tersebut adalah untuk merapatkan jurang had pendapatan isi rumah bulanan di antara RMM B bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 dan RMM C1 bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000. Kerajaan Negeri yakin dengan kewujudan kategori tersebut dapat membantu lebih ramai rakyat terutamanya golongan belia dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga bagi memiliki rumah kediaman mereka.

Usaha ini secara tidak langsung adalah selaras dengan Konsep Perumahan Inklusif MADANI dan sebagai kesinambungan pelaksanaan terhadap Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di bawah Tema: Perumahan Untuk Semua iaitu mencapai 220,000 unit perumahan mampu milik yang mana sehingga 100,000 unit akan ditawarkan melalui skim “Rumah Mampu Milik B40” pada harga RM100,000 ke RM150,000.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, kita dapat saksikan usaha kerjasama strategik antara LPNPP dan pemaju-pemaju swasta yang bersama-sama menyahut usaha kerajaan bagi meningkatkan pemilikan rumah melalui Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah ini. Selain itu, saya difahamkan juga penyertaan ekspo ini turut disertai oleh pelbagai institusi kewangan dan saya yakin, institusi kewangan yang hadir pada hari ini dapat memberikan pencerahan kepada pengunjung mengenai syarat-syarat serta kelayakan bagi memudahkan proses pinjaman dalam usaha bagi rakyat memiliki kediaman mereka. Saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Dato’ Seri Sundarajoo selaku Exco Perumahan dam Alam Sekitar, yang walaupun baru lima (5) bulan sahaja menggalas tanggungjawab portfolio berkenaan, tetapi telah berusaha sedaya upaya dan bekerja keras untuk merealisasikan tiga (3) sasaran Visi Penang2030 tersebut dengan mencadangkan pelbagai inisiatif berdasarkan pengalaman beliau sewaktu berkhidmat di pemaju perumahan.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana walaupun LPNPP hanya mula beroperasi kurang dari tiga (3) tahun, tetapi sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan RMM bagi memastikan pembekalan perumahan tercapai melalui kerjasama strategik bersama-sama pemaju perumahan swasta serta projek-projek RMMPg yang sedang dalam fasa perancangan dan pelaksanaan. Saya berdoa agar Pulau Pinang akan sentiasa mendahului dalam setiap inisiatif baru untuk memberi manfaat kepada rakyat di bumi bertuah ini.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur, LPNPP, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan, Pusat Khidmat ADUN Bagan Jermal, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Utara (PDTSPU), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan lain-lain jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di atas komitmen yang dicurahkan dalam menjayakan ekspo ini.

Sebagai penutup kata, sukacita saya merasmikan Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah Tahun 2023 ini.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang